PETALING Jaya merupakan salah satu daripada kawasan dengan kepadatan penduduk tertinggi di Lembah Klang iaitu dengan lebih 770,000 penghuni.

Justeru, bagi memastikan bandar itu sentiasa kekal bersih dan bebas sisa pencemaran, pihak Nestle Malaysia, Majlis Bandar Raya Petaling Jaya (MBPJ) dan KPT Recycle Sdn Bhd (KPT) menandatangani Memorandum Persetujuan (MoA) Tiga Pihak.

MOA itu antara lain melancarkan secara rasmi fasa kedua program kitar semula dengan matlamat untuk meluaskan khidmat kutipan bahan kitar semula di kaki lima kepada empat lagi bandar di Petaling Jaya.

Ia ditandatangani Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohd Sayuthi Bakar; Ketua Pegawai Eksekutif, Nestlé (Malaysia) Berhad, Juan Aranols; Pengarah KPT Recycle Sdn Bhd, Lee Chay Chen sambil disaksikan oleh Exco Kerajaan Negeri Selangor bagi Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han dan wakil-wakil rakan projek dari Tetra Pak® (Malaysia) Sdn Bhd.

Sebelum ini, program perintis kitar semula yang dilancarkan pada Oktober tahun lalu untuk menyediakan kemudahan kutipan di kaki lima bagi 8,300 isi rumah di dua bandar iaitu Ara Damansara dan Bandar Sri Damansara telah memperoleh kejayaan besar.

Terkini, fasa seterusnya akan memperluaskan kemudahan kutipan di kaki lima di Kota Damansara, Mutiara Damansara, Tropicana & Damansara Indah, termasuk Aman Suria & Taman Bukit Mayang Emas dengan sejumlah 11,800 isi rumah.

Secara keseluruhannya, ia akan menyumbang sebanyak 10 peratus daripada jumlah isi rumah di Petaling Jaya.

USAHA KOLABORATIF

Mengulas mengenainya, Sze Han berkata, meskipun kadar kitar semula di Malaysia meningkat kepada 30 peratus pada tahun lalu, satu pendekatan menyeluruh diperlukan untuk menyemai amalan kitar semula yang lebih baik dalam kalangan masyarakat untuk mencapai sasaran nasional iaitu 40 peratus menjelang tahun 2025.

Sesungguhnya program ini merupakan satu contoh yang baik yang memperlihatkan kelebihan sektor awam dan swasta berganding bahu demi kepentingan masyarakat yang sudah pun mencapai hasil yang bermakna. Dari sudut ini, saya gembira untuk menyaksikan Nestlé, MBPJ dan KPT meluaskan projek ini demi membina komuniti yang maju dan lebih hijau di Selangor,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Sayuthi berkata, secara puratanya rakyat Malaysia menghasilkan 200,000 tan bahan sisa domestik sebulan.

Namun, jika tidak diuruskan dengan lestari, sisa buangan bukan sahaja memberi kesan kepada alam sekitar, tetapi juga memudaratkan kesihatan.

 

Kagum! Petaling Jaya jadi bandar hijau, kekal bersih, bebas sisa pencemaran
DARI KIRI Micheal Wu, Sze Han, Aranols dan Mohd Sayuthi hadir pada menandatangani pada majlis MOA Tiga Pihak. MOA itu antara lain melancarkan secara rasmi fasa kedua program kitar semula dengan matlamat untuk meluaskan khidmat kutipan bahan kitar semula di kaki lima kepada empat lagi bandar di Petaling Jaya semalam.

 

Justeru, langkah meningkatkan kadar kitar semula menjadi kunci kepada usaha menangani masalah ini dan kami telah mencapai kemajuan dalam fasa pertama projek dengan sambutan yang menggalakkan daripada penduduk.

Iklan

“Dengan meluaskan projek ini ke lebih banyak bandar, kami harap lebih ramai penduduk akan terdorong untuk melibatkan diri dan menyokong aspirasi pembangunan lestari untuk Petaling Jaya,” katanya.

Aranols pula menyifatkan, bagi mencapai masa depan bebas sisa memerlukan usaha kolaboratif semua pihak.

Ini jelas dilihat daripada kejayaan program perintis kerana hanya dalam masa enam bulan, kami telah mencatatkan gabungan kadar penyertaan isi rumah sebanyak 60 peratus di Ara Damansara dan Bandar Sri Damansara, dengan mengumpulkan bahan kitar semula lebih 112 tan.

“Berbekalkan keputusan positif ini, kami dengan sukacitanya memperluaskan projek fasa kedua dengan melibatkan empat lagi bandar di Petaling Jaya.

“Usaha ini akan membantu meningkatkan kadar kitar semula di Malaysia, memupuk peluang ekonomi kitaran dan menyumbang ke arah visi kami untuk memastikan tiada pembungkusan produk kami, termasuk bahan plastik dimasukkan ke kawasan kambusan tanah dalam bentuk sampah-sarap.

“Malah ia juga sejajar dengan ikrar global kami untuk memastikan 100 peratus daripada pembungkusan kami boleh dikitar dan diguna semula menjelang tahun 2025,” katanya.

Iklan

Bagi memudahkan penduduk memainkan peranan, program ini akan mengedarkan beg dan tong kitar semula kepada isi rumah dan melaksanakan proses kutipan sistematik iaitu melibatkan kutipan mingguan.

Dalam proses kutipan, data dan maklum balas dikumpulkan untuk mengukur tahap penyertaan isi rumah dan menjamin pengurusan kitar semula yang baik.

Untuk menggalakkan penyertaan kitar semula dalam kalangan penduduk dan meningkatkan pendidikan kitar semula bagi mendorong perubahan tingkah laku, pelbagai inisiatif libat urus dilaksanakan dari semasa ke semasa.

Ini termasuk mengedarkan risalah pelbagai bahasa mengandungi maklumat pendidikan kitar semula, berinteraksi dengan kumpulan WhatsApp penduduk dan dengan wakil persatuan penduduk.