TARIKH majlis persandingan sudah ditetapkan. Kos pendahuluan tempahan persalinan sepasang busana mempersonakan untuk si Adam dan Hawa, dewan, pelamin dan katering sudah dijelaskan.

Tinggal beberapa hari lagi majlis akan diadakan. ‘Malangnya’ detik istimewa yang diharap hanya berlangsung sekali dalam seumur itu tidak dapat dijayakan mengikut perancangan rapi yang sudah dibuat.

Hasrat jiwa yang bergejolak ingin disatukan dalam satu ikatan sah disambut iringan kegembiraan oleh kaum keluarga dan rakan taulan yang berkumpul dalam satu majlis terbantut hanya disebabkan ‘serangan’ membuta tuli wabak yang tidak berhati perut – Covid-19.

Siapa yang tidak kecewa dan kesal apabila hari dinanti yang sudah pastinya mengambil masa lama untuk diatur, akhirnya terpaksa dibatalkan di saat-saat akhir.

Apa yang pasti, kerajaan sudah menetapkan Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa kelmarin hingga 31 Mac nanti. Hal itu maknanya termasuk orang ramai tidak boleh sesuka hati berhimpun atau beramai-ramai berada di sesuatu tempat.

Hendak pula memang sudah menjadi tradisi masyarakat di negara ini yang melangsungkan perkahwinan pada musim cuti sekolah seperti sekarang, sudah tentu ramai bakal pengantin yang terkesan dengan arahan itu, bukan?

Begitupun, buat bakal pengantin yang majlisnya ‘terpalit’ dengan natijah wabak jahat menakutkan itu, usahlah menyalahkan takdir. Jika orang Islam, setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Percayalah!

Barangkali ia menjadi medan untuk menguji kecekalan pasangan masing-masing dalam menghadapi cabaran pertama sebelum menjalani kehidupan bersama.

Mana tahu, majlis yang menjadi pengganti perancangan asal lebih istimewa dan bermakna. Mengadakan resepsi menggunakan konsep drive-thru atau pandu lalu misalnya seperti majlis perkahwinan yang tular beberapa hari lalu?

Pengantin masih boleh memakai persalinan lengkap sepasang mempelai dan duduk bersanding di pelamin nan indah yang diimpikan.

Cumanya tatkala tiba masa meraikan dan diraikan oleh tetamu, pengantin hanya perlu berdiri, mengangkat sebelah tangan ke dada sambil menunduk sedikit kepala kepada tetamu.

Begitu juga apa yang perlu dilakukan oleh tetamu. Uniknya, tetamu hanya perlu berbuat demikian dengan duduk tanpa perlu keluar dari dalam kenderaan masing-masing!

Senyum dan ‘berbahasa basilah’ dengan pengantin sebelum meninggalkan majlis dengan nasi kenduri yang siap dibungkus. Jika mahu menghulurkan sumbangan, hanya masukkan ke dalam bekas khas yang disediakan.

Semuanya dikatakan boleh dilakukan dalam jarak selamat dan tanpa sebarang sentuhan yang dikatakan boleh menyebabkan sebaran atau jangkitan Covid-19!

Benarkah? Tanyalah pihak yang bertauliah!

Prihatin dengan ‘rintangan’ bakal pengantin yang terpalit dengan Perintah Kawalan Pergerakan, itu idea Pemilik Dinas Bridal, Noor Saidatull Asmah Mohamed Sicdek, dari Kluang, Johor.

Ramai tidak peka

Menjelaskan idea yang timbul, wanita berusia 36 tahun itu berkata, dalam keadaan sekarang nampak agak ‘kritikal’, ramai yang masih tidak peka dengan langkah berjaga-jaga.

“Lihat sahaja pada hari pertama pengumuman larangan dibuat, masih ramai yang tidak peka dengan cara bersentuhan, membawa anak kecil ke tempat tumpuan ramai dan sebagainya.

“Pengantin pula ada yang masih hendak meneruskan majlis mereka disebabkan banyak kos sudah dibelanjakan. Tapi disebabkan kita perlu patuh arahan kerajaan, (idea) inilah saja cara kita mungkin boleh bantu,” jelasnya kepada Sinar Plus ketika dihubungi hari ini.

‘KAHWIN drive-thru’ yang tular. – Foto Zenuz Production

Menariknya ujar Saidatull, terdapat banyak ‘kesalahan pengantin’ dalam rakaman foto perkahwinan drive-thru diatur pihaknya yang telah tular tersebut.

Katanya, semuanya dilakukan untuk menarik perhatian netizen.

“Bila ramai yang ‘membawang’ tentang kesalahan tersebut, baharulah ia dikongsi memandangkan itu juga sikap masyarakat kita.

Iklan

“Antara kesalahan tersebut yang kita sengaja ‘atur’ ialah meminta pengantin mengangkat tangan kiri ke dada, yang sepatutnya menggunakan tangan kanan dalam tradisi kita. Banyak lagi ‘kesalahan’ lain yang netizen dapat lihat. Dengan itu baharulah foto tersebut dikongsi.

“Tak apalah saya dikecam, biar orang lain komen (tentang langkah penjagaan sepatutnya) dan lebih ramai orang lain tahu tindakan sepatutnya,” ungkapnya yakin.

Menurut Saidatull, perkongsian foto itu juga diharap dapat membantu kerajaan membangkit kesedaran tentang kepentingan mengambil langkah merebaknya Covid-19.

Kolaborasi ‘rare’ bersama

Turut berkolaborasi menjayakan idea majlis perkahwinan drive-thru itu ialah Pemilik Zenuz Production, Muhammad Farid Sahar, 30, yang berpengalaman sebagai jurugambar selama 12 tahun.

Kata jurugambar muda itu, pada pengetahuannya belum ada lagi konsep kenduri drive-thru  seumpamanya.

“Itu cuma lakonan untuk bagi idea kepada pasangan yang mahu melangsungkan perkahwinan di musim wabak ini.

“Belum ada tempahan konsep itu, tapi dah ramai yang tanya. Pada saya OK sebab tak bersentuhan. Kosnya pun lebih rendah dan lebih kurang berisiko.

Iklan

“Siapa yang jalankan majlis ini lebih rare atau berbeza. Boleh tunjuk pada anak cucu mengapa majlis mereka sebegitu,” katanya.

Sangat optimis dengan apa yang berlaku, kata Farid setiap masalah yang timbul pasti ada penyelesaian.

“Maknanya kita ketengahkan opsyen dan idea baru. Ia juga dapat membantu pengantin dan juga mereka terlibat perniagaan ini yang kebanyakannya golongan muda seperti pihak katering, butik pengantin, malah jurugambar sendiri.

“Paling penting jurugambar perlulah dapat merakam momen terbaik bagi meninggalkan kenangan manis buat mempelai,” katanya yang menjalankan perkhidmatan merakam gambar dari Batu Pahat, Johor itu.

SAIDATULL (kiri) dan Farid (gambar kanan) mengetengahkan majlis perkahwinan berkonsepkan drive-thru.

Terdahulu, difahamkan pasangan ‘pengantin drive-thru‘ yang tular itu dikenali dengan nama ‘Mon’ dan ‘Ikin’. Mereka merupakan pasangan suami isteri yang merupakan pembantu Dinas Bridal yang sudah empat tahun mendirikan rumah tangga.

Oh ya, sebelum itu nasihat Sinar Plus kepada yang ingin melangsungkan perkahwinan seperti pengantin drive-thru tersebut, dapatkan nasihat pihak berkuasa sebelum melangsungkan majlis ya.