Kajian Covid-19: Mampu jejas kesuburan lelaki

Kajian Covid-19: Mampu jejas kesuburan lelaki
January 29, 2021
Oleh Faezah Muda

COVID-19 boleh merosakkan kualiti sperma dan mengurangkan kesuburan pada lelaki, menurut kajian baru berdasarkan bukti eksperimen.

Penyelidik kajian hari ini, melaporkan dalam Jurnal Reproduction bahawa Covid-19 menyebabkan peningkatan kematian sel sperma, keradangan dan apa yang dikenali sebagai tekanan oksidatif.

Kata penulisnya, penemuan ini memberikan bukti eksperimen langsung pertama bahawa sistem pembiakan lelaki dapat disasarkan dan dirosakkan oleh Covid-19.

Walaupun begitu, para pakar yang mengulas kajian tersebut mengatakan bahawa keupayaan virus untuk mengganggu kesuburan pada lelaki masih belum terbukti.

Seperti diketahui, Covid-19 menyebabkan masalah pernafasan terutama pada orang tua dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan.

Menjangkiti melalui pernafasan, penyakit ini menyerang paru-paru, ginjal, usus dan jantung.

Walau bagaimanapun, penyelidikan sebelumnya menunjukkan bahawa Covid-19 yang disebabkan oleh virus SARS-CoV-2, juga dapat menjangkiti organ pembiakan lelaki, merosakkan perkembangan sel sperma dan mengganggu hormon pembiakan.

Reseptor yang digunakan oleh virus untuk mengakses tisu paru-paru juga terdapat di testis.

Tetapi kesan virus pada keupayaan pembiakan lelaki masih belum jelas.

Behzad Hajizadeh Maleki dan Bakhtyar Tatibian dari Justus-Liebig-University di Jerman melakukan kajian untuk mencari penunjuk biologi yang mungkin menunjukkan kesan negatif virus pada kesuburan lelaki.

Mereka melakukan analisis berkaitan kepada 84 lelaki yang dijangkiti Covid-19 selama 60 hari, dengan selang 10 hari dan membandingkannya dengan data dari 105 lelaki yang sihat.

Hasilnya, sel sperma pesakit Covid-19 menunjukkan peningkatan keradangan dan tekanan oksidatif yang ketara.

Iklan

Ini bermaksud bahawa terdapat ketidakseimbangan kimia yang boleh merosakkan DNA dan protein di dalam badan.

Baca juga Penyakit berjangkit kronik antara tertua di dunia, KKM kongsi fakta mengenai penyakit kusta

Menurut Maleki, kesan ini pada sel sperma dikaitkan dengan kualiti sperma yang lebih rendah dan potensi penurunan tahap kesuburan.

Iklan

Walaupun kesan ini cenderung meningkat dari masa ke masa, kesan ini masih lebih tinggi dan tidak normal pada pesakit Covid-19 serta turut mengatakan semakin parah penyakit ini, semakin besar perubahannya.

Selanjutnya, Maleki mengatakan bahawa sistem pembiakan lelaki "mudah terdedah jangkitan Covid-19 dan diisytiharkan sebagai organ berisiko tinggi oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)".

Bagaimanapun, pakar yang tidak terlibat dalam kajian ini menyambut baik hasilnya, tetapi mengingatkan bahawa lebih banyak penyelidikan diperlukan sebelum mereka dapat membuat kesimpulan dengan cepat.

Pengarah embriologi UK di CARE Fertility Group, Alison Campbell berpesan kepada kaum lelaki agar tidak perlu terlalu risau.

Katanya, pada masa ini tidak ada bukti pasti kerosakan jangka panjang yang disebabkan oleh Covid-19, baik pada sperma atau potensi pembiakan lelaki.

Menurut Alison, hasil kajian ini mungkin tidak tepat dan lelaki yang pulih dari Covid-19 dirawat dengan terapi kortikosteroid dan antivirus, sementara kelompok lelaki dalam kajian tersebut tidak.

Sementara itu, pakar perubatan pembiakan lelaki di University of Sheffield, Allan Pacey mengemukakan 'nota peringatan' tentang bagaimana data ditafsirkan.

Kata Allan, beberapa petunjuk penurunan kualiti sperma mungkin disebabkan oleh faktor selain Covid-19 dan kebanyakan lelaki dalam kumpulan Covid-19 dalam kajian ini mempunyai berat badan berlebihan.

Apapun, terus amalkan SOP yang ditetapkan bagi memutuskan rantaian Covid-19 ini. #kitajagakita

Sumber: Tribunnews