SEPERTI kita sedia maklum, memakai pelitup muka di tempat awam merupakan antara kaedah membantu pengawalan jangkitan pendemik Covid-19.

Bagaimanapun ia dilihat tiada keperluan bagi individu yang sihat untuk memakainya berikutan penggunaan alat perlindungan itu hanya untuk individu yang kurang sihat.

Pun begitu, bermula 1 Ogos ini, pemakaian pelitup separuh muka akan diwajibkan di pengangkutan awam dan tempat-tempat awam yang sesak. Jika tidak, korang akan dikenakan tindakan.

Memetik laporan media tempatan, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, orang ramai boleh dikompaun RM1,000 di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) sekiranya gagal mematuhi peraturan terbaharu itu.

“Keputusan ini dibuat semasa Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Ismail Sabri berkata, keputusan tersebut mengambil kira penambahan kluster-kluster baharu yang telah dikenal pasti, selain atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau berkata, pada masa ini, peraturan tersebut hanya dikuatkuasakan bagi menaiki semua kenderaan awam seperti LRT, MRT serta bas dan di tempat sesak seperti pasar dan pasar tani.

Iklan

Sementara itu, beliau menambah, spesifikasi bagi mereka yang mahu menjahit pelitup separuh muka sendiri akan dikeluarkan oleh KKM dalam media bagi memastikan pelitup muka yang dihasilkan itu menepati syarat ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Kerajaan selama ini tidak mewajibkan pemakaian pelitup (separuh) muka kerana memahami keadaan mereka yang berpendapatan rendah untuk membeli pelitup muka pakai buang.

Iklan

“Untuk pakai buang ini, yang terbaik pakai untuk tiga jam dan tukar, jika keluarga besar tentu tanggungan besar (beli pelitup separuh muka), jadi WHO keluarkan peraturan boleh pelitup muka biasa tetapi ada spesifikasinya,” kata beliau.

Jadi, korang lepas ni bermula 1 Ogos kalau nak keluar rumah pastikan pakai pelitup muka. RM1,000 macam-macam boleh beli. Makan Sushi King pun lebih daripada kenyang guys.