BERMULA 1 April 2022, Malaysia telah memasuki Fasa Peralihan ke Endemik.

Ia dikatakan sebagai susulan keberkesanan tindakan pencegahan dan kawalan kesihatan awam, termasuk program vaksinasi Covid-19 dalam menguruskan penularan jangkitan Covid-19 dalam negara.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam sidang media mengumumkan beberapa semakan dilakukan pihaknya berhubung prosedur operasi standard (SOP) dan protokol berkaitan pandemik Covid-19.

Selain kelonggaran pemakaian pelitup muka, penghapusan penjarakan fizikal dan imbasan kod QR MySejahtera berkuat kuasa Ahad, 1 Mei 2022, beberapa ketetapan baru diwujudkan selaras peralihan negara ke fasa endemik.

“Mengambil kira situasi Covid -19 di Malaysia ketika ini, Kementerian Kesihatan Malaysia telah meneliti dan melakukan semakan semula ke atas langkah-langkah kawalan dan pencegahan Covid-19 yang boleh dilaksanakan semasa dalam Fasa Peralihan ke Endemik ini,” katanya.

Antara protokol yang diumumkan ialah uji dan lepas pesakit positif Covid-19, keperluan vaksinasi bagi memasuki premis dan pengujian Covid-19 di pintu masuk antarabangsa.

Berikut tiga perkara penting yang diumumkan seperti berikut:

1. PROTOKOL UJI DAN LEPAS (TEST & RELEASE/ BAGI KES POSITIF COVID-19)

• Kes positif Covid-19 perlu menjalani pengasingan selama tujuh hari dari tarikh sampel positif diambil.

• Individu boleh dilepaskan daripada pengasingan bermula pada hari keempat sekiranya telah disahkan negatif menerusi ujian RTK Antigen yang diselia oleh pengamal perubatan.

• Walau bagaimanapun, sekiranya masih positif, individu tersebut perlu melengkapkan tempoh pengasingan tujuh hari.

• Ujian tersebut hendaklah dilakukan menggunakan RTK-antigen kendiri dengan penyeliaan oleh pengamal perubatan yang berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC), sama ada secara fizikal ataupun secara maya (virtual).

• Keputusan ujian tersebut hendaklah dimasukkan ke dalam sistem eCOVID oleh pengamal perubatan bagi memastikan integrasi data dengan aplikasi MySejahtera dapat berlaku dalam tempoh kurang daripada satu jam, agar individu tersebut segera mendapat perintah pelepasan daripada pengasingan apabila keputusan ujian pengesanan tersebut negatif Covid-19.

• Sekiranya individu tidak memilih untuk menjalani ujian pengesanan Covid-19, maka pelepasan akan diberikan secara automatik setelah menjalani pengasingan selama tujuh hari.

2. SEMAKAN SEMULA KEPERLUAN VAKSINASI LENGKAP UNTUK MASUK KE PREMIS

Kemasukan individu ke mana-mana premis adalah dibenarkan tanpa mengira status vaksinasi mereka. Bagaimanapun, individu yang tidak dibenarkan masuk ke premis adalah:

-Individu positif Covid-19 walaupun mempunyai status vaksinasi lengkap.

-Individu dalam tempoh Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) termasuk pengembara tanpa vaksinasi lengkap yang baru tiba di Malaysia.

3. SEMAKAN SEMULA KEPERLUAN UJIAN COVID-19 KE ATAS PENGEMBARA WARGANEGARA/ BUKAN WARGANEGARA  BARU TIBA DI MALAYSIA

• Keperluan pengujian pengesanan Covid-19 sebelum berlepas ke Malaysia dan pengujian Covid -19 semasa ketibaan digugurkan bagi kumpulan pengembara berikut:

1-Pengembara berusia 13 tahun dan ke atas yang telah lengkap vaksinasi.

2-Pengembara yang mempunyai sejarah jangkitan Covid-19 dalam tempoh enam hingga 60 hari dari tarikh sembuh sebelum berlepas ke Malaysia.

3-Pengembara berusia 12 tahun dan ke bawah tanpa mengira status vaksinasi

Iklan

Bagaimanapun, pengembara dengan status vaksinasi tidak lengkap atau belum menerima vaksinasi perlu melakukan perkara berikut:

a) Melakukan ujian pra-pelepasan dua (2) hari sebelum berlepas ke Malaysia (RT-PCR atau RTK-Ag Professional);

b) Menjalani ujian pengesanan Covid-19 dalam tempoh 24 jam selepas ketibaan menggunakan RTK antigen dengan penyeliaan pengamal perubatan swasta sama ada secara fizikal atau virtual;

c) Menjalani kuarantin wajib selama lima (5) hari di tempat penginapan termasuk rumah; dan

d) Dikehendaki menjalani RT-PCR pada hari keempat atau RTK-Ag professional pada hari kelima.

• Pengembara yang dikesan bergejala semasa berada di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) Negara akan diarahkan menjalani ujian saringan Covid-19 menggunakan RTK antigen (Ag) professional.

• Polisi yang sama akan diguna pakai bagi semua kategori pengembara termasuk Umrah, Haji dan pekerja asing.

• Bagi pengembara Umrah dan Haji, mereka dikehendaki mendapatkan vaksinasi dos penggalak sebelum berlepas ke Tanah Suci.

Iklan

• Semua pengembara masih perlu mengemukakan Traveller’s Card yang dipaparkan di dalam aplikasi MySejahtera semasa ketibaan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA).

 

4. SEMAKAN SEMULA KEPERLUAN INSURAN COVID-19 SEBELUM MASUK KE MALAYSIA

• Insurans Covid-19 bagi pengembara bukan warganegara Malaysia tidak lagi menjadi pra-syarat kemasukan ke Malaysia.

Khairy berharap pelbagai kelonggaran diumumkan dalam Fasa Peralihan ke Endemik digunakan sebaiknya.

“Menjadi tanggungjawab kita untuk pastikan perayaan ini tidak berakhir dengan kemudaratan. Kebebasan ini bukanlah bermakna kita telah menang dalam peperangan melawan Covid-19 dan kita kena pastikan perayaan ini tidak berakhir dengan kemudaratan,” katanya.

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI