Kebebasan suri rumah moden: Memahami peranan dan cabaran dalam menjadi tulang belakang keluarga, masyarakat
Dalam masyarakat moden, peranan seorang suri rumah sering kali disalah tafsir dan kurang dihargai. Namun, menjadi suri rumah sebenarnya memberikan kebebasan luar biasa kepada wanita untuk mengatur kehidupan mereka sendiri sambil menjalankan tanggungjawab penting terhadap keluarga.
Walaupun begitu, peranan ini sering kali membawa cabaran yang tidak kelihatan, termasuk beban kerja emosi dan fizikal yang jarang mendapat penghargaan. Menyelaraskan tugas rumah tangga dengan keperluan keluarga boleh menjadi tekanan besar, terutama apabila tiada sokongan yang mencukupi dari segi emosi atau fizikal.
Oleh itu, penting untuk masyarakat memahami dan menghargai sumbangan suri rumah yang sering tidak diiktiraf secara formal.
Salah satu kelebihan utama menjadi suri rumah adalah kebebasan untuk menentukan jadual harian. Menurut Ketua Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga, Fakulti Ekologi Manusia (FEM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Rajanah Kahar berkata, kebebasan utama untuk wanita adalah mereka tidak terikat dengan jadual harian atau pekerjaan formal yang memerlukan waktu kerja tetap.
Kebebasan
Walau bagaimanapun, tidak semua wanita merasakan kebebasan kerana mereka kehilangan pendapatan dan memberi kesan terhadap kualiti hidup serta membuatkan mereka mengalami tekanan mental akibat tanggungjawab yang berat dan kurangnya pengiktirafan.
Beban kerja akan menyebabkan emosi mereka tidak dapat dipaparkan bagi memastikan kesejahteraan keluarga. Justeru, penting untuk masyarakat lebih menghargai peranan suri rumah dan memberi sokongan kepada wanita.
Ramai wanita pada zaman sekarang bijak menggunakan teknologi dan beralih arah kepada perniagaan dalam talian. Hal ini boleh dilakukan melalui bantuan rakan-rakan mereka agar mereka tidak rasa tersisih dan jauh ketinggalan.
Mereka boleh mempelajari kemahiran baharu seperti memasak, kraf tangan atau menyertai kursus dalam talian untuk menambahkan pengetahuan dan menjana pendapatan hanya dari rumah.
Bukan itu sahaja, sebagai seorang suri rumah mereka boleh membangunkan diri sambil menjalankan tanggungjawab harian dan memanfaatkan masa untuk menjana pendapatan sampingan, seperti menjalankan perniagaan kecil-kecilan di platform digital atau bekerja mengikut taraf pendidikan mereka secara bebas dari rumah.
Dengan akses kepada teknologi, internet, dan platform digital, wanita yang memilih untuk menjadi suri rumah boleh mengambil peluang untuk menjana pendapatan dari rumah.
Rata-rata suri rumah telah berjaya menjadi usahawan di platform e-dagang dengan perniagaan kecil-kecilan dan terdapat ramai suri rumah yang berjaya menjadi pencipta kandungan yang memberi manfaat kepada wanita di luar sana seperti Che Nom, dan Auntie Purple dengan menunjukkan kepakaran memasak dan kraf tangan dalam video mereka.
Melaksanakan tanggungjawab
Menjadi suri rumah tidak bermakna terperangkap dalam rutin yang membosankan. Sebaliknya, wanita boleh menentukan bagaimana tugas rumah tangga dijalankan. Seorang suri rumah itu boleh memilih pendekatan terbaik dalam memasak, mengemas, atau mendidik anak-anak, sesuai dengan nilai dan kepercayaan keluarga mereka.
Justeru, peranan suri rumah zaman sekarang membolehkan wanita menyumbang kepada ekonomi keluarga tanpa tekanan pekerjaan dari jam 9 pagi hingga ke 5 petang. Walaupun peranan suri rumah sering dipandang rendah, hakikatnya mereka memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan keluarga dan komuniti.
Wanita yang memilih untuk menjadi suri rumah adalah seorang yang berani dan berkeyakinan untuk mengutamakan nilai kekeluargaan walaupun sering kali kejayaan seorang wanita itu diukur berdasarkan pencapaian ekonomi.
Oleh itu, suri rumah adalah satu pekerjaan yang melibatkan kerja keras, kemahiran yang tinggi, dan tanggungjawab besar. Walaupun ia tidak selalu diiktiraf dalam bentuk gaji atau status sosial, ia tetap merupakan pekerjaan yang bernilai tinggi dalam keluarga dan masyarakat.
Dalam hal ini, kita perlu mengubah pandangan dan memberi penghargaan yang sepatutnya kepada wanita yang memilih untuk menjadi suri rumah, kerana mereka memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan keluarga dan komuniti.
Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin
Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), UPM
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang