SETIAP kali sebut mengenai durian lebih-lebih lagi di Perak, pastinya korang akan terbayang durian Batu Kurau yang sentiasa menjadi buruan peminat durian kampung, apabila tiba musim raja buah itu.

Namun, kalau korang nak tahu, di Mukim Pulau Tiga, Kampung Gajah, Perak, terdapat sejenis durian yang pernah dinobatkan sebagai durian terbaik di Perak pada 1985.

Ia dikenali sebagai Durian Paduka yang ditanam Allahyarham Abdul Malek Kulub Aji di dusun miliknya seluas lapan hektar.

Memetik laporan media tempatan, salah seorang daripada 13 waris Abdul Malek, Nordin berkata, durian itu dikumpul oleh arwah ayahnya sekitar tahun 70-an hingga 80-an, daripada pemilik dusun tradisional di Kampung Tok Paduka Raja, Pulau Tiga, Perak.

“Durian paduka mendapat namanya sempena Kampung Tok Paduka Raja dan diberikan oleh Tan Sri Ramli Ngah Talib, ketika menyampaikan hadiah kemenangan pada pertandingan durian peringkat negeri di Kampung Gajah pada 1985,” katanya.

Nordin yang merupakan Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (iGROW) di Kampung Gajah berkata, kegemilangan durian paduka perlu dikembalikan semula, kerana ia merupakan antara jenama durian terbaik di Perak, malah dalam negara.

“ Jika Pahang ada musang king, Pulau Pinang ada udang merah, maka durian paduka ini sepatutnya dijadikan antara jenama atau identiti Perak,” katanya.

Menurut Nordin, ketika ini dusun di iGROW mempunyai kira-kira 120 batang pokok pelbagai variasi durian kampung dan daripada jumlah itu dianggarkan hanya terdapat 10 batang pokok durian paduka, yang dilabel sebagai D148 oleh Jabatan Pertanian yang mampu mengeluarkan antara 200 hingga 300 biji buah setiap pokok.

Iklan

“Sejak banjir besar pada 2014, kami berhadapan dengan masalah banyak pokok mati dan terpaksa menanam semula, untuk memastikan orang ramai dapat terus merasai durian paduka dan mendapatkan benihnya yang kami semai semula dan jual.

“Saiz buah ini tidak besar, tapi setiap pangsa sentiasa penuh dengan warna yang kuning keemasan, rasanya lemak, manis, ada ‘gas’ serta biji kecil dan sedap dimakan begitu sahaja, tanpa perlu bersama pulut atau dibuat pengat,” katanya.

Tambah Nordin, sejak 10 tahun lalu, pihaknya tidak menjual durian paduka yang ada di dusun iGROW, sebaliknya raja buah itu dijadikan buah pengikat atau pengerat kasih sayang, dengan hanya dihidangkan kepada keluarga, rakan, dan kenalan, atau pelanggan iGROW, yang turut menawarkan pakej agro pelancongan.

Iklan

“Malah, beberapa pemimpin dan pengunjung luar negara antaranya dari Thailand dan Indonesia, turut datang ke iGROW ini untuk menikmati durian paduka,” katanya yang menjual benih D148 itu pada harga serendah RM50 setiap satu.

Nordin turut menyarankan supaya kerajaan negeri dapat memperkasa usaha mengkomersialkan durian di Perak, dengan menggalakkan pengeluaran produk berasaskan raja buah itu yang mempunyai peminat tersendiri, seperti kek dan dodol.