AKIBAT penularan pandemik Covid-19 dan kes yang dilaporkan naik mendadak baru-baru ini menyebabkan kerajaan terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hampir di semua negeri.

Disebabkan itu juga pergerakan orang ramai kini terpaksa dihadkan dan kebenaran untuk rentas negeri juga dikawal.

Surau di kawasan rehat dan rawat (R&R) di setiap lebuh raya juga diarahkan ditutup serta merta.

Namun, setelah sebulan berlalunya arahan tersebut, kini surau di kawasan R&R hentian sebelah dan plaza tol di semua lebuh raya kendalian PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan dibuka semula sepanjang tempoh perlaksanaan PKPB.

Syarikat konsesi itu dalam kenyataan media memaklumkan, pembukaan itu selaras dengan keputusan Jabatan Agama Islam negeri yang melaksanakan PKPB.

Menurut kenyataan tersebut, PLUS menasihatkan pelanggan lebuh raya yang berhenti untuk menunaikan solat agar terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) seperti yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan keselamatan semua.

Iklan

Antara peringatan dan syarat penggunaan surau di mana-mana R&R yang telah ditetapkan adalah seperti berikut :

Iklan
  • Pelanggan perlu mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera.
  • Jika gagal untuk mendaftar, pelanggan perlu menulis butiran diri secara manual bagi memudahkan urusan pengesanan kontak sekiranya diperlukan.
  • Pelanggan juga dinasihatkan membawa kelengkapan menunaikan solat seperti telekung dan sejadah sendiri untuk memastikan kebersihan diri terjaga kerana kelengkapan berkenaan tidak disediakan buat waktu ini.
  • Sentiasa jaga kebersihan dan amalkan jarak fizikal satu meter.

Sementara itu penandaan bagi penjarakan fizikal juga disediakan di setiap ruang solat kawasan mengambil wuduk untuk memastikan jarak fizikal satu meter.

Tambahnya, PLUS juga memastikan surau dan kemudahan awam lain sentiasa disanitasi secara berjadual.