SUDAH beberapa hari makanan dalam rumah terpaksa dicatu supaya dapat berjimat.

Sedang runsing memikirkan kaedah mengisi kocek yang semakin kempis, anak-anak yang masih kecil pula merengek nak makan itu, nak permainan ini.

Disuruh anak itu bermain sendiri dengan dipantau adik-beradik lain yang juga masih hijau. Ada yang tak kena, menjerit-jeritlah mereka hingga bergaduh dek perkara yang tak memuaskan hati masing-masing.

Makin lama perbalahan makin bingit. Disebabkan tak tahan mendengar anak-anak yang enggan mendengar kata supaya duduk diam, si bapa mengambil rotan dan dilibasnya anak-anaknya.

Si ibu yang sedang sibuk menyelongkar rak untuk melihat stok makanan yang masih bersisa untuk ditenggek atas dapur, mendengar sayup-sayup suara anak yang merayu.

“Maaf ayah, kami tak buat lagi. Maaf ayah…….,” itulah suara yang diulang berkali-kali oleh tiga anak kecil yang berusia, 12, tiga dan empat tahun. Semua berbirat menerima ‘habuan’ masing-masing akibat bising.

Tak tahan mendengar rayuan itu, si ibu tadi menjenguk anak-anaknya. Niatnya hanya untuk menghentikan perbuatan si suami yang sememangnya seorang yang panas baran daripada terus merotan si kecil.

Ibu muda itu masak amat akan perangai suaminya. Marah dan stres sedikit, mulalah naik tangan dan kaki.

Jika pada hari biasa pun emosinya itu susah dikawal, diuji pula dengan kesempitan hidup kali ini, lebih lagilah suaminya itu ‘naik gila’.

“Sudahlah abang, budak kecik ni apa mereka tahu.”

“Diammmm. Jangan tambah runsing aku!,” jerkah si suami.

Dan pangggg!!!… berdarah bibirnya ditempeleng suaminya sebelum lelaki itu berlalu pergi. Entah buat kali keberapa penangan itu diterimanya pada minggu itu, si isteri malang itu sendiri tak pasti.

Memang sudah menjadi ‘makanan’ mereka mendapat habuan sedemkian kerana sifat seorang suami dan ayah yang berlatarbelakangnya manusia yang tidak tahu dapat mengawal emosi.

Itu hanya secebis kisah kehidupan akibat tekanan mental yang tidak tertanggung oleh seseorang. Biasanya mereka yang lebih lemah seperti wanita dan kanak-kanaklah yang menjadi mangsanya.

Pasti ramai yang berdepan situasi berkenaan, bukan? Kalau sudah ketua keluarpun tidak dapat mengawal diri, apatah lagi yang menjadi mangsa, tekanan dalaman yang tidak dapat diluahkan

Barangkali ramai yang sudah ‘panas’ duduk di rumah? Runsing tidak dapat bekerja, yang mana itu bermaksud apabila tak membanting tulang, ‘duit’ tak masuk.

Yang pasti ada 1,001 lagi tekanan boleh berlaku pada seseorang. Ironinya, bagi meluahkan perasan tekanan itu, ramai yang mengambil jalan mudah yang mana orang lain pula yang menjadi punching bag bagi melempiaskan tekanan itu.

Apatah lagi di musim Covid-19 ini yang memang menguji emosi setiap insan yang mana sememangnya runsing dengan ketidaktentuan hidup dan masa depan.

Perkongsian Pegawai Perubatan Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban, Negeri Sembilan, Dr Ahmad Luqman Bukhari menerusi hantaran di Facebooknya, turut menulis tentang perkara berkaitan.

Dr Ahmad Luqman Bukhari

Seperkara yang pasti, awaslah buat golongan ibu bapa yang suka mendera terutamanya jika adalah anak kecil yang tidak tahu apa-apa. Kesannya sangat menakutkan.

Berikut antara perkongsian Dr Ahmad Luqman di Facebooknya baru-baru ini:

“Rasa sempit sangat sangat dada ni bila dapat tahu makin banyak kes penderaan berlaku sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ni berjalan.

Rupa-rupanya perkhidmatan Talian Kasih dah terima hampir 2,000 panggilan berkait dengan isu kanak kanak dan penderaan domestik sejak dua minggu lalu.

Peningkatan sebanyak 57 peratus dalam masa 14 hari saja!

Kalau ikutkan apa yang diberitahu oleh Lembaga Kaunselor Malaysia (LKM), hampir semua kes tu berlaku berpunca dari perasaan panik dan tekanan yang berlaku dalam keluarga sepanjang tempoh PKP berlangsung.

Bila satu keluarga banyak berkurung dalam rumah, mata pencarian terjejas, simpanan menyusut, memang akan beri effect yang teruk pada emosi emak dan ayah.

Tak pasal pasal anak kecil yang tak berdaya jadi tempat melepaskan tekanan.

Anak salah sikit, kena tengking!

Anak silap sikit, kena balun!

Rumah bersepah sikit, anak kena kurung!

Sekiranya berulang setiap hari, kita risau tamat tempoh PKP ni akan ada ramai anak anak yang terjejas kesihatan fizikal dan rosak emosinya.

Mak ayah yang lemah kawalan emosi ditakuti mereka akan mengalami stres yang kronik kalau benda ni dibiarkan berterusan.

Iklan

Anak yang selalu didera pulak biasanya hilang rasa selamat, rasa diri kurang disayangi, jadi terlampau rendah diri dan paling kita bimbang mereka nanti jadi sangat susah nak dibentuk dan dikawal.

Akhirnya mangsa keadaan ni semua berubah jadi makin pendiam dan kurang kreatif sebab trauma yang teruk.

Jika kita tak cegah segera, anak yang rosak emosinya suatu hari nanti berpotensi jadi perosak emosi adik beradik dan kawan-kawan di sekelilingnya!”

Ambil serius

Pesan Dr Ahmad Luqman, masalah kesihatan mental wajib diambil serius. Semua pihak perlu sama-sama memainkan peranan.

Menurutnya, perhatikan juga jiran-jiran sekeliling. Tinggal hanya di rumah sekalipun bukan bermakna kita kena jadi orang yang pentingkan diri, tanpa menghiraukan langsung apa yang berlaku pada keluarga di sebelah.

Siapa tahu keprihatinan kita mampu menyelamatkan nyawa dan masa depan kanak kanak yang didera, katanya.

“Sekiranya kalian sendiri memerlukan bantuan kaunseling atau nak laporkan mana mana kes penderaan, segeralah berhubung dengan nombor Talian Kasih – 15999.

“Tolong ya. Kongsikan info ni pada seramai mungkin yang berada dekat luar sana. Mudah-mudahan kes penderaan kanak kanak ni dapat kita banteras dan lebih banyak keluarga yang dapat diselamatkan,” kata Dr Ahmad Luqman.

Teruk dikenakan

Iklan

Sementara itu, Pakar Psikatri merangkap Pengarah Pusat Komuniti dan Kelestarian Universiti Malaya, Dr Amer Siddiq Amer Nordin juga meluahkan permasalahan mereka yang berdepan tekanan mental dan pihak yang menjadi mangsa.

Dr Amer Siddiq Amer Nordin

“Isu hari ini berat sedikit. Malahan menginsafkan. Nak menulis sedikit ini pun, terasa berat.

“Kita semua sudah tiga minggu di dalam PKP. Ada antara kita yang sudah merasai bahang ‘terperuk’ di rumah. Erti kata lain bosan.

“Tetapi ada juga dalam kalangan kita yang tidak bernasib baik. Semasa PKP ini mereka lagi teruk ‘dikenakan’ ahli keluarga masing-masing. Ada yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga – dipukul, dimalukan, malahan mungkin diganggu secara seksual. Bukan sahaja orang dewasa, tetapi juga mangsa kanak-kanak,” tulisnya di Facebooknya dua hari lalu.

Menurut Dr Amer Siddiq, kebanyakan mangsa adalah wanita tetapi ada juga kaum Adam.

Justeru, pesan beliau, maka penting untuk kita semua:

1. Memastikan kawan atau keluarga yang berisiko ditanya khabar
2. Kalau mengenali kenalan yang mangsa, membincangkan ‘code’ supaya kawan tahu bahawa mangsa dah tak tahan dan bantuan boleh diberikan (ramai yang bila nak dibantu tidak mahukan bantuan)

Bagi mangsa:

1. Ambil tahulah nombor-nombor yang membantu, 15999 misalnya. Nombor Women’s Aid Organisation (WAO) penting – 0379563488. Nombor 999 jika perlu!!!
2. Nombor @befrienderskl

“Mendengar kes-kes sebegini yang berlaku pada masa PKP memang menginsafkan. Kita semua bantulah mana mampu,” nasihat Dr Amer Siddiq.