AKIBAT tularnya beberapa keping gambar yang menunjukkan pekerja warga asing masih bekerja meskipun dikenakan pemakaian gelang merah jambu, heboh media sosial dibanjiri dengan komen warganet yang rata-rata tidak berpuas hati dengan apa yang mereka lihat.

Disebabkan itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah meminta orang ramai supaya mendengar penjelasan dari pihaknya terlebih dahulu sebelum memberikan komen mengenai isu tular yang tersebar pantas di media sosial.

Dr Noor Hisham dalam satu kenyataan semalam memaklumkan, pekerja tersebut masih boleh bergerak di dalam kawasan tapak binaan berkenaan kerana mereka merupakan saringan surveillance (pemantauan) dan bukan saringan kontak rapat.

Jangan komen dulu sehingga dengar penjelasan ini seperti apa yang dikongsikan oleh Dr Noor Hisham. Antaranya adalah seperti:

1. Seramai 264 daripada 273 yang telah disaring, adalah melalui saringan surveilance tapak bina.
2. Mereka berada di dalam kawasan tapak bina (rumah kongsi basement 1&2 dan rumah kongsi tepi sungai).
3. Mereka diberikan gelang pink kerana bukan warganegara untuk mengelakkan keluar dari tapak bina.
4. Tetapi mereka masih boleh bergerak di dalam tapak bina kerana ia saringan surveillance bukan saringan kontak rapat.
5. Pihak pemaju bagi kawasan pembinaan tersebut telah diminta untuk memastikan kesemua yang disaring berada dalam kawasan tapak binaan.
6. Dua orang pengawal keselamatan diletak di pintu masuk tapak bina dan pihak polis IPD wangsa maju juga melakukan pemantauan setiap hari.
7. Pemaju juga dinasihatkan untuk melakukan kerja-kerja disinfeksi.

Menerusi perkongsian yang dibuat menerusi Facebook rasmi Dr Noor Hisham semalam juga turut menjelaskan bahawa pada 13 November 2020 sehingga 15 November 2020, pemaju telah memberhentikan operasi buat sementara waktu.

Iklan

Iklan

“Pemaju menghentikan operasi bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembersihan dan nyahcemar sehingga keputusan saringan diperolehi pada 15 November.

“Release order atau pelepasan dan pemotongan gelang pink telah dilakukan pada 15 November, jam 11 pagi di tapak bina berkenaan.

“Hasil saringan mendapati terdapat satu kes positif sahaja tetapi kes ini tidak tinggal di tapak bina, tetapi menetap di luar tapak bina,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, beliau menjelaskan bahawa terdapat kontak rapat yang mana seramai lapan orang telah dikuarantin dan tempoh kuarantin ialah selama 14 hari iaitu pada 7 November sehingga 20 November.

“Kesemua pekerja yang lain adalah negatif dan telah diberikan pelepasan (release order) pada 15 November kecuali lapan orang kontak rapat kepada kes positif tadi masih menjalani tempoh kuarantin,” jelasnya lagi.