Kesiannya kucing, anjing diseksa, dipijak sampai mati. Apalah dosa mereka?

A
A
A

ENTAH apalah dosa besar yang dibuat oleh haiwan yang bernama kucing ini hingga tergamak segelintir individu bertindak mencabut nyawanya.

Racun apa yang diberi, akhirnya menyebabkan haiwan manja kesayangan Nabi SAW itu menggeletek kesakitan sebelum menemui ajalnya.

Itu aduan yang diterima Persatuan Haiwan Malaysia yang dikongsikan di Facebooknya kelmarin hingga mengundang reaksi kecewa dan marah orang ramai.

Video mendapat hampir 300k tontonan itu yang dikongsikan dalam status yang dimuatnaik menunjukkan dua ekor kucing sedang terbaring berdengus kesakitan yang amat sangat.

Lebih memilukan kedua-dua ekor haiwan itu turut menggelupur dan mulut berbuih.

Menurut, persatuan haiwan itu, seorang pemilik kucing mendakwa tentang kucing-kucingnya diberikan makan ayam goreng mengandungi racun pembunuh.

"Dakwaan ini adalah satu dakwaan berat dan merupakan jenayah pembunuhan haiwan.

"Animal Malaysia minta pemilik kucing-kucing malang ini tampil untuk buat aduan secara rasmi kepada pihak berkuasa jika yakin dan punyai asas untuk mendakwa pelaku.

"Animal Malaysia difahamkan jiran memberi cebisan-cebisan ayam yang dilempar kepada kucingnya menyebabkan semua kucing yang terlibat memakan ayam menggelupur kejang dan mulut berbuih. Ia satu perbuatan kejam dan amat mendukacitakan," kata Persatuan Haiwan Malaysia.

Dalam pada itu, badan bukan kerajaan itu meminta kepada pemilik yang memerlukan bantuan sekiranya berdepan isu kekejaman seumpamanya supaya berhubung dengan Persatuan Haiwan Malaysia.

Anjing digantung hidup-hidup

Satu lagi kes yang menyakitkan hati dan jiwa bukan sahaja kepada pencinta haiwan tetapi kepada insan normal ialah yang berlaku di Sungai Bidu, Banting, Selangor baru-baru ini.

Memang kejam, anjing berkenaan digantung hidup-hidup menggunakan tali pada pokok! Kejadian yang hanya berlaku di tepi jalan tanpa rasa bersalah itu dilakukan seorang lelaki yang sempat dirakam dalam video.

Dalam video yang dikongsikan Persatuan Haiwan Malaysia itu menunjukkan seorang lelaki yang turun dari kereta telah menegur lelaki kejam tersebut yang membiarkan anjing yang digantung lehernya menggelupur kesakitan.

Setelah dimarahi dan disuruh melepas haiwan tersebut, barulah lelaki terbabit bertindak demikian dengan memotong tali yang mengikat leher haiwan malang itu.

Itupun 'pemangsa' berkenaan masih tidak berpuas hati dengan mengeluarkan kata-kata sombong dan angkuh apabila lelaki yang minta anjing itu dilepaskan memberitahu akan memanggil polis.

"Panggillah polis...tak ada hal, saya tadak takut," antara kata-katanya.

Mengulas kes itu, menurut Persatuan Haiwan Malaysia, perbuatan berkenaan tidak boleh dimaafkan.

"Animal Malaysia menggesa mahukan penangkapan dan siasatan pengganas menggantung anjing diuruskan oleh Penguatkuasaan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (DVS) di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan bukannya oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ini kerana Animal Malaysia mahu Akta Kebajikan Haiwan 2015 dikuatkuasakan DVS terhadap kes zalim menggantung anjing ini. Mengikut Akta ini Hukuman bakal menanti adalah Penjara Minimim 1 tahun dan Maksimum 3 tahun dan Denda minimum RM20,000 dan maksimum RM100,000. Selain itu DVS ada kekuatan tempat simpanan dan kuarantin anjing sebagai barang kes yang lebih baik.

Jika kes ditangani PDRM. Seksyen 428 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman amat ringan dan tidak berbaloi. Di samping tiada tempat kuarantin khusus untuk anjing yang dizalimi.

Negara kita sudah memiliki Akta Kebajikan Haiwan 2015. Manfaatkan undang-undang binatang sedia ada yang lebih berat terhadap pengganas haiwan yang menggantung anjing ini," gesa Persatuan Haiwan Malaysia dalam status Facebooknya.

Dipijak hingga mati

Berkenaan tularnya video memperlihatkan seekor anak kucing yang dipijak-pijak oleh 'tiga ekor' wanita hingga mati sehari dua ini hingga meruntun hati netizen, Persatuan Haiwan Malaysia juga ada mengulas.

"Video beberapa individu pijak anak kucing sambil dijerut leher hingga lembik dan mati tidak ada seorang pun dapat mengesahkan kejadian bilakah ia berlaku, di mana lokasi dan beberapa maklumat lain.

Apa yang pasti video ini digambarkan berlaku di negara luar berdasarkan perabot, kondisi rumah dan cara dialek pertuturan.

Animal Malaysia merayu sesiapa ada maklumat jika benar dakwaan banyak pihak bahawa ia berlaku di Malaysia. Tolong salurkan maklumat pelaku ke Whatsapp +601120901097 segera. Kerahsiaan peribadi dijamin. Ini kerana video yang berlegar tanpa asas maklumat adalah satu gangguan emosi kepada masyarakat dan terutama anak-anak yang belom matang melihatnya," ulas pihak Persatuan Haiwan Malaysia.

Kejam bukan sesetengah manusia? Moga kita mengambil iktibar dan ingatlah setiap perbuatan ada balasannya!

Buat ibu bapa dan masyarakat, didiklah anak bangsa kita agar bukan sahaja kasih mengasihi sesama kita, tetapi ada sifat manusiawi terhadap haiwan yang tidak berdosa. -AG #PastiAdaSinar

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca