IMPAK buruk Covid-19 sememangnya sudah hangat dirasakan di seluruh dunia.

Koronavirus secara tidak sengaja menjadi faktor pemersatu yang memaksa perubahan dalam gaya hidup pada skala global.

Berikut antara kesan yang sudahpun berlaku kepada kehidupan manusia di muka bumi ini natijah daripada Covid-19.

1) Pengurangan pelepasan karbon

Satu kesan yang tidak dijangkakan mungkin adalah penangannya kepada kadar perubahan iklim dunia.

Biarpun serangan askar Covid-19 meletuskan ‘pelurunya’ di seluruh dunia, ada juga kebaikan disebaliknya yang tidak disedari.

Tatkala bukan sahaja di Malaysia, bahkan di seluruh dunia semua orang hanya ‘berkurung’ di rumah bagi mengelak virus jahat itu, kurangnya bilangan kenderaan di jalan raya turut mengurangkan pelepasan karbon dari ekzos kenderaan.

Yang pasti, bumi dapat bernafas segar dan lancar tanpa asap kenderaan yang mencemarkan alam selama ini buat sementara waktu.

Itu juga antara pandangan Pengarah urusan perunding perancangan Masterplan Limited dan ahli Pasukan Petugas Kewarganegaraan Mengenai Penggunaan Tanah, Ian Brownlee yang berkongsi pendapatnya mengenai perkara berkenaan dalam South China Morning Post.

2) Pengurangan tenaga kerja

Menurut Ian, hampir semua ‘penggunaan’ biasa sebelum ini mesti dikurangkan.

Pengurangan itu termasuklah dari segi pengurangan penggunaan tenaga kerja termasuklah di bahagian pengilangan dan pembuatan.

Sasaran pemerintah di seluruh dunia kini tidak lagi hanya berkaitan dengan omset dan pertumbuhan ekonomi, tetapi juga untuk kualiti hidup. Ya, ramai yang belum mampu menerima perubahan tersebut.

3) Kurang permintaan minyak

Pengurangan pengangkutan barangan antarabangsa, pelancongan dan perjalanan udara itu termasuklah mengurangkan pengangkutan kargo jarak jauh.

Aktiviti industri dan pengangkutan yang berkurangan telah menurunkan permintaan untuk minyak.

4) Perubahan gaya hidup

Sekatan ke atas pergerakan orang ramai misalnya untuk melancong dan keluar negara telah memaksa perubahan gaya hidup.

Menurut Ian, ramai yang mencari alternatif yang lebih ‘cekap’, misalnya dengan memilih melancong di dalam negara.

“Di China sendiri, Covid telah memberi kesan. Yang pertama, pengurangan perjalanan dengan udara dan kapal pesiar. Lebih ramai yang memilih bercuti di rumah.

“Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa menganggarkan bahawa permintaan penumpang di Asia Pasifik boleh jatuh 23 peratus,” katanya.

Iklan

Menurutnya, kedua, pada saat ini lebih kurang orang yang membeli-belah dan makan di luar. Orang ramai memilih hanya berbelanja mengikut keperluan dan kualiti.

5) Ubah cara perniagaan dan pendidikan dijalankan

Akhir sekali, epidemik koronavirus di China sendiri dikatakan telah mengubah cara perniagaan dan pendidikan dijalankan.

Kata Ian, kerajaan telah menutup sekolah dan meminta kakitangan awam dan pekerja sektor swasta bekerja dari rumah.

Orang ramai perlu belajar bagaimana untuk menjalankan perbincangan kumpulan dan mengajar secara dalam talian. Syarikat dan sekolah telah memasang teknologi untuk memastikan arahan berkenaan dipatuhi.

“Perubahan ini mengurangkan keperluan untuk mengembara, menjimatkan masa dan mengurangkan permintaan ruang pejabat. Tidak mustahil dengannya perubahan cepat akan memaksa Hong Kong menjadi ‘bandar pintar’,” kata Ian.

Ya, buat beberapa negara, pakar-pakar perubatan mengatakan bahawa Covid-19 tidak akan berakhir tahun ini kerana penularannya telah merebak ke seluruh dunia.

Iklan

Namun, perubahan dalam tingkah laku dan aktiviti ekonomi akan menjadi lebih mantap sebagai cara biasa untuk mengadaptasi apa yang berlaku.

“Kita tidak boleh kembali seperti apa yang berlaku sebelum Covid-19. Perubahan gaya hidup yang dipaksa ke atas kita, seperti sekatan melancong dan mengurangkan belanja.

“Pengulas ekonomi melihat Covid-19 memberi kesan kepada ekonomi. Kadar faedah yang rendah, nilai aset yang melambung dan penggunaan berasaskan kredit,” katanya.

Tulis Ian lagi, oleh itu negara terjejas seperti China perlu membangunkan sektor mesra alam, seperti industri kreatif dan seni.

Kerajaan tidak seharusnya menyokong perniagaan yang tenggelam, tetapi melabur dalam latihan semula sumber tenaga sebagai aset baharu.

Kesemua itu adalah apa yang sedang berlaku di China. Barangkali negara kita boleh mengambil pengajarannya.

Wahai rakyat Malaysia… sudahkah kita semua bersedia?