KENAIKAN kos sara hidup nampaknya semakin tidak dapat dielakkan. Ia pasti membebankan kewangan pengguna di negara ini terutamanya apabila ia dipengaruhi kenaikan harga barangan keperluan seperti minyak masak botol, ayam mentah dan telur ayam yang menjadi bahan makanan utama rakyat negara ini.

Bagaimanapun, kenaikan harga barangan ini sebenarnya tidak berlaku hanya di negara ini sahaja tetapi diseluruh dunia akibat beberapa faktor. Antaranya, permintaan yang meningkat selepas ekonomi dilonggarkan apabila pandemik Covid-19 semakin terkawal, perang Rusia dan Ukraine serta harga bahan api yang meningkat.

Dalam tempoh 12 bulan sehingga Jun, Indeks Harga Pengguna (IHP) Amerika Syarikat (AS) dilaporkan melonjak 9.1 peratus disebabkan kos bahan api dan makanan yang kekal tinggi di negara itu.

Kenaikan inflasi merupakan kenaikan tahunan tertinggi dalam tempoh 40 tahun setengah di negara kuasa besar itu sejak November 1981, selepas mencatat kenaikan sebanyak 8.6 peratus pada Mei lalu.

Sejajar peningkatan inflasi itu, Rizab Persekutuan (Fed) dikatakan mempunyai alasan kukuh untuk meningkatkan lagi kadar faedah di negara itu sebanyak 75 mata asas.

Kadar inflasi di Malaysia dijangka kekal tinggi untuk tempoh beberapa bulan akan datang berikutan pelbagai faktor yang mendorong kenaikan aliran meningkat berterusan dalam kos input dan gangguan rantaian bekalan global yang berpanjangan.

Sama seperti di AS, Bank Negara Malaysia (BNM) juga dijangka meningkatkan kadar dasar semalaman (OPR) yang memainkan peranan penting dalam penentuan kadar faedah pinjaman yang dikenakan kepada pengguna.

TA Securities dalam laporannya dipetik berkata, harga makanan yang melambung tinggi dan kos pengangkutan yang mahal dijangka terus mendominasi inflasi Malaysia dalam beberapa bulan akan datang.

Secara umumnya, inflasi merupakan kenaikan harga yang berlaku bagi barangan dan perkhidmatan dalam satu tempoh masa tertentu. Ia diukur berdasarkan pengiraan IHP yang menilai perubahan harga barangan tertentu.

Oleh kerana inflasi dijangka kekal menjadi cabaran kepada rakyat negara ini, mengharapkan harga turun atau peningkatan dalam gaji dalam masa terdekat mungkin satu perkara yang agak mustahil.

Iklan

Justeru, pengguna dinasihatkan untuk berbelanja secara berhemah dan mengambil pendekatan melihat masa depan, bukannya perbelanjaan hari ini semata-mata.

Memahami realiti bahawa nilai wang hari ini semakin mengecil berbanding empat hingga lima tahun lalu, pengguna sewajarnya membuka mata dan mula mengambil langkah proaktif untuk menyusun semula kewangan serta mengambil pendekatan untuk berbelanja secara berhemah.

Apabila berbelanja, berikan tumpuan kepada keperluan dan kurangkan perbelanjaan untuk kehendak.

Oleh kerana kos pinjaman dijangka meningkat berikutan peningkatan OPR, pengguna dinasihatkan supaya tidak menambah hutang baharu. Sebaliknya, memberi tumpuan untuk melangsaikan hutang sedia ada terutamanya yang mempunyai kadar faedah tinggi seperti kad kredit dan pinjaman peribadi.

Iklan

Hutang dengan kadar faedah tinggi tidak membantu pengguna mengatasi inflasi, sebaliknya boleh menyebabkan mereka terus menerus berdepan masalah kewangan yang membebankan.

Justeru, adalah lebih baik mengurangkan penggunaan kad kredit untuk perbelanjaan runcit, sebaliknya gunakan tunai supaya keluar masuk aliran tunai dapat dikawal dan tiada perbelanjaan melebihi kemampuan.

Sememangnya waktu ini merupakan satu waktu yang sukar, justeru tumpuan utama mestilah kepada kelangsungan hidup diri dan keluarga untuk kehidupan yang sejahtera serta kewangan yang merdeka.