Lailatul Qadar: Malaikat turun untuk mengucapkan 'salam sejahtera' kepada seluruh penduduk bumi

A
A
A

FASA 10 malam terakhir pada bulan Ramadan terdapat satu malam yang dinamakan dengan malam al-Qadar atau istilah dalam bahasa Arab disebut sebagai ‘Lailatul Qadar’.

Masyarakat Islam di Malaysia dan seluruh dunia sedang berada di fasa 10 malam terakhir Ramadan, sekali gus berpeluang untuk memburu dan mendapatkan keistimewaan Lailatul Qadar.

Perkataan Lailatul Qadar terdiri daripada dua kalimah. Pertama, ‘Lailah’ yang memberi maksud apabila tenggelamnya matahari sehingga terbitnya fajar atau berlawanan dengan siang hari.

Kalimah kedua pula ialah ‘al-Qadar’ yang memberi maksud kemuliaan atau hukum dan ketetapan.

Ibn Qudamah dalam kitabnya al-Mughni menjelaskan bahawa malam al-qadar ialah malam yang mulia, diberkati, diagungkan dan mempunyai banyak kelebihan.

Lailatul Qadar juga dikenali dengan nama ‘Lailatul Syaraf’ yang bermaksud malam kemuliaan atau ‘Lailatul Tajalli’ yang bermakna malam ALLAH SWT melimpahkan cahaya dan hidayah-NYA kepada orang berpuasa dan beribadat pada sebelah malamnya.

Terdapat pelbagai keistimewaan Lailatul Qadar yang disediakan bagi umat Islam yang ingin mengambil peluang pada malam tersebut.

PERTAMA:Pada malam ini, ALLAH SWT menurunkan kitab suci utama iaitu al-Quran al-Karim. Pemilihan waktu dan tempat yang tertentu untuk diberikan keutamaan mempunyai hikmah tersendiri yang tinggi dan besar.

Adakah wujud kemuliaan yang lebih agung dari suatu malam yang menjadi permulaan turunnya cahaya dan petunjuk kepada seluruh manusia setelah berlalunya beberapa abad kaum Quraisy yang berada dalam kesesatan menyembah berhala?

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan." (Surah al-Qadr, ayat 1)

ALLAH SWT telah menurunkan al-Quran secara keseluruhan sekali gus dari ‘Lauhul Mahfuzh’ ke ‘Baitul ‘Izzah’ yang ada di langit dunia.

Kemudian ALLAH menurunkan al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW secara beransur-ansur sesuai dengan peristiwa dan kejadian yang berlaku sepanjang 23 tahun.

KEDUA:Malam ini lebih baik daripada 1,000 bulan dan bersamaan dengan lebih kurang 83 tahun.

Terdapat pandangan menyatakan lebih baik dari 1,000 bulan adalah solat dan amalan pada Lailatul Qadar lebih baik dari solat dan puasa pada 1,000 bulan yang tidak terdapat dalam Lailatul Qadar.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Malam kemuliaan itu lebih baik daripada 1,000 bulan.” (Surah al-Qadr, ayat 1 hingga 3)

Lazimnya, bangsa Arab mengira angka 1,000 sebagai suatu jumlah yang sangat besar. Oleh itu, sebutan 1,000 dalam ayat tersebut bukanlah bermakna 1,000 sahaja bahkan lebih.

KETIGA: Malam tersebut penuh keberkatan. Malam penuh berkat ini adalah malam Lailatul Qadar kerana banyak malaikat yang akan turun kerana pelbagai keberkatan pada malam tersebut. Akan turunnya malaikat menandakan melimpahnya berkat dan rahmat.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya KAMI menurunkannya pada suatu malam yang diberkati dan sesungguhnya Kami-lah yang memberi peringatan.” (Surah al-Dukhan, ayat 3)

KEEMPAT: Lailatul Qadar diiringi juga dengan turunnya para malaikat yang diketuai oleh ‘al-Ruh’ iaitu malaikat Jibril pada malam al-Qadar dalam suatu angkatan yang besar untuk memberi taufik dan hidayah kepada orang berpuasa dengan seikhlas hati.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Pada malam itu, turun para malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka.” (Surah al-Qadar, ayat 4)

Keistimewaan ‘al-Ruh’ atau malaikat Jibril yang disebut dalam ayat di atas adalah bagi menunjukkan kemuliaan dan keutamaan malaikat Jibril.

Malaikat turun ketika ada yang membacakan al-Quran, begitu juga akan mengelilingi orang yang berada dalam majlis zikir dan majlis ilmu.

Malaikat akan meletakkan sayap-sayap pada penuntut ilmu kerana sangat mengagungkan dan memuliakan.

KELIMA: Malaikat turun untuk mengucapkan “salam sejahtera” kepada seluruh penduduk bumi.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Sejahteralah malam (yang penuh berkat) itu hingga terbit fajar!” (Surah al-Qadar, ayat 5)

Ibn Kathir dalam kitab Tafsir al-Quran al ‘Azhim menukilkan pendapat Mujahid yang menyatakan malam tersebut penuh keselamatan kerana syaitan tidak dapat berbuat sesuatu pada malam tersebut, baik berbuat buruk atau mengganggu yang lain.

Selain itu, turut membawa makna bahawa pada malam tersebut banyak yang terselamat daripada hukuman dan seksaan kerana telah melakukan ketaatan pada ALLAH SWT pada malam tersebut.

KEENAM: Malam penulisan dan dicatatkan takdir tahunan seseorang. Imam Nawawi dalam kitab Syarh Muslim menjelaskan bahawa catatan takdir tahunan tersebut tentu saja didahului oleh ilmu dan penulisan ALLAH SWT.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah.” (Surah al-Dukhan, ayat 4)

Ibnu Kathir mentafsirkan bahawa pada Lailatul Qadar akan diperhalusi di Lauhul Mahfuzh mengenai penulisan takdir dalam setahun, seterusnya akan dicatat ajal maut dan rezeki.

Selain itu, turut juga akan dicatat segala sesuatu sehingga akhir dalam setahun.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “ALLAH menghapuskan apa yang DIA kehendaki dan menetapkan (apa yang DIA kehendaki), dan di sisi-NYAlah terdapat Ummul kitab (Luh mahfuz).” (Surah al-Ra’d, ayat 39)

KETUJUH: Pengampunan dosa setiap orang yang menghidupkan malam Lailatul Qadar.

Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Sesiapa melaksanakan solat pada malam lailatul qadar kerana iman dan mengharap pahala dari Allah, maka dosa-dosanya yang telah lalu akan diampunkan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Ibnu Hajar al-Asqalani menyatakan bahawa yang dimaksudkan ‘kerana iman’ adalah membenarkan janji ALLAH SWT iaitu pahala yang diberikan kepada orang yang menghidupkan malam tersebut.

Sementara, ‘mengharap pahala’ bermakna mengharap pahala daripada sisi ALLAH SWT, bukan kerana mengharap selainnya seperti berbuat riak.

Demikianlah beberapa keistimewaan Lailatul Qadar yang wajar diusahakan dan dimanfaatkan oleh setiap masyarakat Islam.

Ya ALLAH, kurniakanlah kami rezeki bertemu dengan Lailatul Qadar pada tahun ini. Amin YRA.

DR AZRI BHARI

Pensyarah Kanan,

Akademi Pengajian Islam Kontemporari,

Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, Selangor

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca