PENULARAN kes Covid-19 kini pada tahap yang membimbangkan dengan angka yang melonjak ke angka melebihi empat ribu sejak 7 Mei lalu.

Pada 8 Mei 2021 (Jumaat) lalu, jumlah kes positif yang direkodkan kembali meningkat menjadi 4,519 dengan 25 kes kematian. Selain itu, Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) di beberapa kawasan berisiko tinggi turut telah dijalankan bagi membendung penularan wabak maut ini.

Majlis Keselamatan Negara tengah malam tadi menerusi saluran media sosialnya berkongsi arahan larangan rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara berkuatkuasa 10 Mei 2021. MKN juga tidak menyatakan tarikh akhir penguatkuasaan larangan tersebut.

LARANGAN RENTAS NEGERI & DAERAH TANPA KEBENARAN PIHAK PDRM DI SELURUH NEGARA BERKUATKUASA 10 MEI 2021

Posted by Majlis Keselamatan Negara on Saturday, May 8, 2021

Selain itu, Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah juga kembali bersiaran di sidang media. Kali terakhir beliau mengadakan sidang media harian Covid-19 bagi menyampaikan maklumat semasa dan menjawab soalan daripada wartawan berkaitan dengan penularan Covid-19 ialah pada 4 Mac lalu.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Sri Ismail Sabri Bin Yaakob juga menyatakan kedalam ciapannya di Twitter memohon kerjasama daripada rakyat dalam melandaikan keluk jangkitan baru Covid-19 agar tidak mencecah lima angka.

“Kerajaan memerlukan kolaborasi rakyat untuk sekat penularan COVID-19 supaya tidak meningkat menjadi lima angka..10,000++.

Iklan

“Jika ini berlaku sistem kesihatan kita akan runtuh,” ujar Ismail di Twitter.

Iklan

Untuk rekod, negara kini berhadapan gelombang keempat yang lebih mencabar dengan kehadiran beberapa varian hasil mutasi virus Covid-19 iaitu varian B1617 COVID-19 yang menyumbang kepada pelonjakan jangkitan di India serta varian Afrika Selatan iaitu B.1.351 yang sangat mudah berjangkit.

Ayuh korang sama-sama kita lakukan langkah pencegahan. Pakai pelitup muka dengan betul serta menjaga penjarakan fizikal bagi mengelakkan penularan wabak yang boleh mengakibatkan maut ini.

Bagi mengelakkan jangkitan berlaku, elakkan berada di kawasan sesak atau sempit, amalkan kerap mencuci tangan dan elakkan bersentuhan. Diharapkan kita semua tidak menghadiri atau mengadakan sebarang majlis sosial. #kitajagakita

Sumber: Majlis Keselamatan Negara, DGHisham, Ismail Sabri