KES kematian akibat wabak Covid-19 semakin meningkat saban hari. Hal ini tentunya memerlukan proses pengurusan yang cekap agar pengebumian dapat dilakukan dengan pantas.

Di Malaysia, jumlah kumulatif kes positif mencecah 565,533 kes dengan kadar sembuh sebanyak 86%. Bagi kadar kematian keseluruhan dunia adalah 2.1% manakala kadar kematian di Malaysia sehingga 30 Mei 2021 adalah 0.48%.

Kematian di Malaysia akibat wabak maut ini adalah 83 kematian bagi setiap 1 juta penduduk iaitu berjumlah 2,729 kes setakat semalam.

Kajian saintifik dan laporan forensik hasil “post mortem” membuktikan bahawa jenazah pesakit Covid-19 misalnya bendalir yang keluar dari jenazah mempunyai potensi kebolehjangkitan.

Oleh itu, KKM telah menyediakan tatacara tertentu bagi pengendalian jenazah pesakit COVID-19 untuk membendung penularan pandemik ini.

Menurut Pengerusi Eksekutif Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM),Ustaz Muhammad Rafieudin Zainal Rasid, menerusi perkongsian di laman Facebook, beliau melahirkan rasa kecewa terhadap sebilangan pihak yang menguruskan tanah perkuburan di sekitar ibu negara serta negeri Selangor.

Beliau turut mengutarakan empat perkara utama yang menjadi kebimbangannya dalam menunaikan tanggungjawab fardhu kifayah ini terutamanya perkara yang berkaitan birokrasi seperti kuota, penempatan kubur, waktu pengebumian yang perlu mengikut waktu pejabat dan masalah kekurangan petugas.

Katanya tanah kubur  terhad apabila hanya 10 jenazah dibenarkan untuk dikebumikan setiap hari iaitu tujuh untuk kes biasa manakala berkaitan Covid-19 pula hanya tiga kes sahaja.

Apa yang menyedihkan beliau ialah situasi jenazah yang terpaksa ‘ditolak ke sana dan ke sini’ kerana si mati bukan kariah di kawasan tersebut.  Malah ada jenazah yang dikebumikan selepas 24 jam kerana kesukaran mendapatkan kubur kerana isu kuota dan luar kariah.

Iklan

“Isu tanah kubur dihadkan. Perkara yang sangat mengecewakan saya adalah apabila urusan pengebumian jenazah terpaksa ditangguhkan kerana masalah-masalah birokrasi pihak berwajib,” kongsi Rafieudin.

“Jangan letak kuota harian untuk mengebumikan jenazah. Kematian semakin hari semakin bertambah. Jenazah pesakit Covid-19 terpaksa disimpan di bilik mayat hospital sehingga berlaku lambakan jenazah.

“ Jangan utamakan kariah saja, benarkanlah tanah perkuburan untuk penduduk luar kariah juga. Itukan kubur wakaf. Lagipun sangat bahaya dan berisiko tinggi untuk bawa pulang jenazah Covid19 ke kampung asal.

“Jangan hadkan waktu pengebumian sama macam waktu kerja pejabat. Kematian berlaku pada bila-bila masa. Menyegerakan pengebumiannya adalah satu kefarduan. Mati itu bukan ‘office hour’!

“Tambahkan bilangan petugas di tanah perkuburan. Jika tidak mampu, maka buka tawaran sukarelawan kepada orang awam. Berikan taklimat prosedur operasi standard (SOP) yang berkaitan,” kongsi Rafieudin.

Beliau turut berharap perkara ini dapat membuka mata dan minda pihak berkaitan seterusnya mempermudahkan urusan berhubung perkara ini.

Iklan

Syukur adanya badan bukan kerajaan seperti SPJM yang sukarela membantu dalam hal pengebumian pesakit Covid-19 ini. SinarPlus mendoakan agar lebih ramai lagi tampil secara membantu dalam hal membabit menguruskan jenazah Covid-19 ini.

Sumber: Skuad Pengurusan Jenazah – SPJ Malaysia