SEDIH mendengar cerita seorang isteri koma apabila didakwa dipukul suami yang sepatutnya menjadi insan melindungi bukannya bertindak di luar kawalan sehingga mendatangkan kecederaan.

Lebih memilukan, wanita itu diperlakukan sedemikian rupa dalam keadaan sedang hamil.

Bagaimanapun, suaminya, Rosmaini Abd Raof, 38, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mabel Sheela Victor Mutiah di Mahkamah Sesyen Johor Bharu hari ini.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan isteri keduanya, Jahidah Nordin dengan memukul bahagian kepala, muka dan tangan.

Ini termasuklah, menghentak kaki pada belakang badan mangsa sehingga menyebabkan kecederaan parah.

Kejadian berlaku di sebuah rumah di Blok B, Scott Tower, Jalan Tani, Kampung Aman, Larkin, Johor Bahru pada 4 Mei

Apa yang mengejutkan, disangkakan dua rupa-rupanya lelaki terbabit mempunyai empat orang isteri dan tujuh orang anak.

Dia didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara hingga tujuh tahun dan denda serta 326A kanun sama yang memperuntukan hukuman penjara hingga dua tahun jika sabit kesalahan.

Pegawai pendakwa raya, Nur Sulehan Abd Rahman menawarkan jaminan sebanyak RM30,000, namun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar jumlah jaminan.

Dengan alasan dia perlu menanggung tiga lagi isteri dan tujuh orang anak.

Hakim kemudiannya menetapkan ikat jamin sebanyak RM7,000 dengan dua orang penjamin dan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan.

Tertuduh juga dilarang mengganggu mangsa. Sebutan semula kes ditetapkan pada 25 Julai depan.

Iklan

Terdahulu, suspek didakwa memukul isteri keduanya yang merupakan kakitangan awam sehingga parah.

Iklan

Mangsa yang hamil empat minggu dilaporkan mengalami kecederaan pada kepala sehingga sebahagian tengkorak terpaksa dibuang akibat pendarahan.

Dimaklumkan, rahang, tulang belakang dan rusuknya juga retak dipercayai dipukul lelaki terbabit.

Kejadian itu tular selepas adik mangsa, Fazariah Nordin memuat naik keadaan wanita berkenaan di laman sosial.