BARU-BARU ini terdapat pernyataan daripada salah seorang pemilik Facebook bertanyakan, benarkah bayam dimasak dengan ikan bilis boleh menyebabkan batu karang kerana terbentuknya kalsium oxalate?

Melalui platform yang sama, Dr Fatimah Salim menjawabnya dengan begitu jelas ia tidak benar sama sekali.

Katanya, sebenarnya bayam itu sendiri tanpa ikan bilis boleh membentuk calcium oxalate jika diambil secara kerap dan berlebihan seperti siang malam makan bayam dengan jumlah yang banyak.

“Bayam tinggi dengan kandungan bahan kimia asid oxalik yang mana boleh terurai membentuk bes oxalate.

“Semasa proses penyediaan dan memasak, bes oxalate berkenaan mampu bertindak balas dengan ion-ion mineral (seperti iron, calcium, copper, magnesium) lalu membentuk garam oxalate,” jelasnya.

Ketahuilah bahawa mineral dalam bentuk garam itu sangat sukar untuk diserap oleh badan.

Mengulas lanjut mengenai itu, Dr Fatimah berkongsi, ia bergantung kepada sistem badan, garam oxalate itu boleh termendak dalam saluran kencing membentuk batu karang.

“Untuk mengelakkan berlakunya keadaan itu, minumlah air yang banyak untuk mengurangkan ketepuan garam oxalate dalam air kencing,” pesannya.

Oleh itu, makanlah bayam (juga makanan lain) sekadarnya dan fahami dan ambil tahu tahap kesihatan diri.

“Ingat, konsep segala yang berlebihan boleh membawa mudarat,” katanya.

Pada masa sama, Dr Fatimah turut berkongsikan mengenai bahan-bahan kimia dalam bayam:

1. Bayam merupakan sejenis tumbuhan dari genus Amaranthus, famili Amaranthaceae. Terdapat 60 spesis dalam genus itu yang mana ada yang ditanam sebagai sayur, tumbuhan hiasan dan pseudocereal (bijirin bukan cereal- tidak bergluten). Di Malaysia, selain daripada bayam merah, bayam hijau juga mendominasi pasaran tempatan.

Iklan

2. Secara perbandingan, jenis bahan kimia semula jadi dalam semua bayam adalah sama, cuma komposisinya berbeza yang menyumbang kepada kepelbagian spesis. Bayam mengandungi bahan kimia semula jadi utama daripada kumpulan betalain, carotenoid, saponin, steroid, flavonoid, coumarin, sesquiterpene, fatty acids, amino acids dan phenolic lain.

3. Warna pada bayam disebabkan oleh kehadiran bahan kimia pewarna (pigment) semula jadi seperti kumpulan klorofil (biru kehijauan ke hijau gelap), betalain dan carotenoid (kuning, oren dan merah). Untuk bayam merah, warna merah keunguan adalah disebabkan oleh kehadiran bahan kimia daripada kumpulan betalain iaitu amaranthin.

4. Kesemua fitokimia ini mampu memberikan pelbagai manfaat kepada tubuh badan kita termasuk membantu dalam mengawal keseimbangan kimia aktiviti sel-sel badan. Namun, kebanyakkan fitokimia yang banyak manfaat, mudah termusnah oleh haba memasak. Untuk mendapatkan manfaat kesihatan ini secara optimum, bayam (juga sayuran lain) haruslah dimasak dengan seketika.

Iklan

5. Selain daripada fitokimia ini, bayam juga kaya dengan bahan kimia yang perlu untuk pertumbuhan dan kesihatan umum badan seperti mineral termasuklah zat besi (iron) dan kuprum (copper) yang diperlukan untuk pembentukan sel darah merah.

ANEKDOT

• Memasak bayam (juga sayur hijau yang lain) dengan lama akan menyebabkan banyak zat temusnah. Maka, belajar untuk masak secukupnya sahaja.
• Menutup bayam (juga sayur hijau lain) setelah masak akan menyebabkan banyak zat termusnah juga dek kerana tinggalan haba yang terperangkap. Buka penutup untuk bebaskan haba.
• Serapan badan zat besi dalam bayam biasa diganggu oleh bahan kimia oxalate. Maka, penambahan sedikit cuka semasa memasak boleh membantu kadar serapan.
• Bayam tinggi dengan zat kalium ( potasium). Mereka yang ada masalah buah pinggang, jangan ambil kerap.
• Bayam juga sangat tinggi kandungan vitamin K (4 kali dari keperluan harian). Ada potensi interaksi dengan ubat pencair darah warfarin. Maka, yang berkaitan elakkan pengambilan bersama.