Oleh Dr Mohd Nasir Masroom

PUASA merupakan ibadah wajib yang ketiga dalam rukun Islam yang juga diwajibkan kepada umat-umat terdahulu.

Dari segi pengertian, puasa adalah ibadah yang dilakukan dengan menahan diri daripada makan dan minum dan segala yang membatalkannya dengan niat yang ikhlas kerana ALLAH SWT.

Al-Qaradhawi menyatakan, berpuasa adalah ibadah yang mencegah daripada makan dan minum serta menggauli isteri dari terbit fajar hingga terbenam matahari.

Walaupun puasa menyebabkan seseorang itu lapar dan dahaga, tetapi pada hakikatnya ia mempunyai banyak kelebihan terutama dalam jiwa seseorang.

Seorang Mukmin yang berpuasa wajib menahan jiwanya daripada tuntutan hawa nafsu dengan niat untuk mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.

Al-Quran sendiri telah menjelaskan matlamat utama berpuasa adalah untuk mencapai ketakwaan. Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” (Surah Al-Baqarah, ayat 2)

Tafsir Jalalain menyebut, dengan mengerjakan amalan berpuasa dapat menghindarkan diri daripada melakukan perbuatan maksiat.

Ini kerana puasa dapat meredakan keinginan syahwat yang menjadi punca melakukan maksiat, manakala Ibn Kathir pula menyatakan bahawa puasa mengandungi penyucian, pembersihan dan penjernihan diri daripada kebiasaan yang buruk dan akhlak yang tercela.

Puasa juga dapat menyucikan badan dan menyempitkan jalan-jalan syaitan yang boleh mendorong orang melakukan maksiat. Pandangan itu adalah berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Wahai para pemuda, sesiapa yang mampu dari kalangan kamu untuk berkahwin, maka berkahwinlah. Dan sesiapa yang tidak berkemampuan, maka ke atasnya berpuasa. Sesungguhnya puasa merupakan penawar baginya.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Menurut Al-Asqalani makna asal perkataan al-wija’ (الوجاء) adalah perbuatan kembiri atau kasi (castration), tetapi yang dimaksudkan dalam hadis tersebut adalah puasa dapat memutuskan atau mengurangkan nafsu sayhwat.

Ini bermakna kepada pemuda-pemuda yang tidak berkemampuan untuk berkahwin, Rasulullah SAW menganjurkan agar mereka berpuasa untuk mengurangkan nafsu syahwat mereka.

Melalui puasa, Muslim diajar supaya bersabar. Bersabar menunggu masa berbuka, bersabar menahan diri dari makan dan minum, bersabar untuk tidak mencampuri isteri pada siang hari dan bersabar menghadapi kelaparan dan kedahagaan puasa itu sendiri.

Peranan puasa juga jelas disebutkan oleh Rasulullah SAW agar orang yang berpuasa sentiasa sabar dalam menghadapi provokasi daripada orang lain yang mengajak kepada persengketaan dan pergaduhan.

PERISAI

Selain itu, puasa juga menjadi perisai atau “الجنة” iaitu perisai yang menghalang orang yang berpuasa dari api neraka.

Puasa juga merupakan perisai yang menjaga dan menghalang orang yang berpuasa daripada kerosakan-kerosakan akibat mengikut tuntutan syahwat.

Dengan kata lain, puasa yang dapat menghalang seseorang daripada mengikut tuntutan syahwatnya di dunia ini akan menjadi perisai kepadanya daripada azab neraka di akhirat nanti.

Perbuatan mengumpat pula boleh menjejaskan kualiti amalan berpuasa sehingga ada pandangan yang mengatakan bahawa perbuatan mengumpat boleh membatalkan puasa dan orang ini wajib mengganti (qada’) puasa tersebut. Malah, jika orang yang sedang berpuasa tetapi melakukan maksiat dengan sengaja, sama ada melalui perbuatan atau perkataan, maka batal puasanya.

Selain itu, puasa adalah amalan ibadah yang unik kerana peranannya dalam melatih jiwa hingga hilang penyakit-penyakit hati dan mengisi hati dengan sifat-sifat mulia yang dapat membentuk peribadi mereka yang berpuasa.

Amalan puasa dapat menjaga diri orang yang melakukannya daripada perilaku yang boleh menjuruskan diri kepada maksiat dan dapat mengelakkan diri daripada mengeluarkan perkataan-perkataan yang menyakitkan hati orang lain seperti memaki, mencarut dan lucah.

Puasa juga dapat menghalang seseorang daripada berkelahi dan bergaduh sesama sendiri. Sikap dan akhlak yang baik ini sudah pasti dapat mengekalkan keharmonian hubungan seseorang dengan orang lain yang berada di sekitarnya.

Jika seseorang yang berpuasa dapat mengamalkan saranan-saranan tersebut, maka tidak diragukan lagi bahawa puasa dapat melahirkan insan-insan yang mempunyai jiwa yang sihat dan mampu menahan diri daripada melakukan perkara yang boleh menyakitkan hati dan perasaan orang lain.

BERSIHKAN JIWA

Dari sudut kesihatan jiwa, perasaan marah, dendam, dengki dan benci adalah punca kepada masalah jiwa.

Jiwa yang dipenuhi perasaan negatif ini tidak mungkin dapat membuahkan sikap bekerjasama, toleransi, berkasih sayang dan bertimbang rasa dalam masyarakat.

Namun, melalui ibadah puasa yang dijalani dapat membentuk jiwa yang sabar, meraih sifat ihsan, berkasih sayang sesama makhluk dan hormat menghormati.

Orang yang berpuasa dapat mengalami sendiri penderitaan orang yang sedang kelaparan dan kehausan akibat kemiskinan, bencana dan perang.

Sifat ihsan inilah yang dapat memandu manusia untuk saling tolong menolong, simpati, menghulur bantuan dan berbuat baik sesama makhluk.

Dengan berpuasa, orang-orang kaya akan merasakan kelaparan sebagaimana yang dirasai oleh orang-orang miskin.

Dengan itu, timbul rasa kasih dan ihsan kepada golongan yang tidak berkemampuan sehingga mendorong orang-orang kaya untuk berbuat baik dan membantu fakir miskin.

Kesannya daripada situasi itu, maka terjalinlah ikatan kasih sayang, hormat menghormati, bantu membantu dan saling memerlukan antara satu sama lain.

Menurut al-Qaradhawi, terdapat banyak kelebihan puasa kepada orang yang berpuasa.

Antaranya adalah puasa dapat menguatkan jiwa (roh), puasa boleh menyihatkan badan dan puasa mendidik kehendak manusia yang sering tidak puas dengan apa yang ada.

Jasad manusia sentiasa mendorong manusia untuk mencapai tuntutan hawa nafsu yang rendah, sedangkan roh mendorong manusia untuk memenuhi tuntutan iman yang tinggi.

Sekiranya manusia patuh kepada keinginan roh dalam memenuhi tuntutan jasad dan naluri menguasai akalnya, mereka boleh menjadi hina seperti binatang kerana lebih mengutamakan kepentingan dan dorongan nafsu berbanding dorongan iman dan akal.

Maka di sinilah peranan puasa dalam membebaskan manusia daripada dikuasai oleh naluri nafsunya.

Puasa juga memiliki faedah dan manfaat dalam bidang perubatan dalam mengubati penyakit tubuh badan.

TERAPI

Selain itu, puasa juga merupakan salah satu terapi yang efisien dalam melepaskan diri dariPADA perasaan bersalah dan berdosa serta dari tekanan perasaan dan kemurungan atau penyakit kejiwaan yang lain. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan keimanan dan pengharapan, diampunkan baginya dosa-dosanya yang terdahulu.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Menurut Al-Asqalani, hadis tersebut membawa maksud sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan iaitu pecaya dengan sepenuh hati tentang janji pahala yang akan diberikan oleh ALLAH SWT.

Mereka juga berpuasa dengan penuh pengharapan agar diberikan pahala daripada ibadah puasanya semata-mata kerana-NYA, bukan kerana mahu menunjuk-nunjuk (riya’), maka ALLAH SWT menjanjikan keampunan dari dosa-dosa yang pernah dilakukan sebelum ini.

Iklan

Dalam hal berkenaan, puasa yang dapat menjadi alat kepada penyucian jiwa perlu memenuhi dua syarat.

Pertama, puasa yang dilakukan dengan penuh keimanan dan pengharapan pahala daripada ALLAH SWT semata-mata.

Kedua, orang yang berpuasa perlu menjauhkan diri daripada melakukan perbuatan maksiat sebagaimana hakikat sebenar puasa itu sendiri.

Bagi orang yang berpuasa, tetapi mereka tidak meninggalkan perkara-perkara yang dilarang atau yang diharamkan dengan melakukan kemungkaran dan maksiat serta tidak menghormati bulan Ramadan, maka puasa yang dilakukannya hanyalah berbentuk ibadah yang dilakukan secara tradisi dan kebiasaan sahaja.

Sebaliknya, terdapat golongan orang yang berpuasa, tetapi mereka tidak dapat menikmati kelebihan-kelebihan berpuasa. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Ramai orang yang berpuasa, tetapi dia tidak memperolehi apa-apa dari puasanya kecuali lapar.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Menurut Al-Ghazali, ada ulama yang berpendapat bahawa orang yang berpuasa tetapi tidak mendapat apa-apa daripada puasanya adalah mereka yang berbuka dengan makanan yang haram.

Namun, ia juga bermaksud seseorang yang berpuasa dengan menahan diri daripada makan makanan yang halal, tetapi apabila berbuka mereka memakan daging manusia kerana mengumpat orang lain.

Ada juga ulama yang berpandangan, orang yang berpuasa tetapi tidak menjaga anggota tubuhnya daripada melakukan perbuatan berdosa, tiada akan mendapat kelebihan berpuasa.

Terdapat empat faedah puasa yang paling besar dalam penyucian dan pembersihan jiwa iaitu:

1) Melatih jiwa untuk menyempurnakan rasa perhambaan kepada ALLAH SWT.

2) Memperkuat motivasi dan melatih kesabaran.

3) Melatih jiwa untuk melawan hawa nafsu.

Iklan

4) Mengenal erti kemiskinan.

Al-Ghazali menyebut enam perkara yang perlu dilakukan oleh orang yang berpuasa untuk memperolehi kesan, hikmah dan kelebihan berpuasa yang dapat menyucikan dan membersihkan jiwa manusia:

1) Memejamkan mata dan menahan pandangan daripada segala sesuatu yang tercela dan dibenci atau kepada sesuatu yang menyebabkan kelalaian hati serta melupakannya dari berzikir atau ingat kepada ALLAH SWT.

2) Menjaga lidah daripada perkara yang tidak bermanfaat, berdusta, mengumpat, mengadu domba, perkataan kotor, caci maki, permusuhan dan riak

3) Menahan pendengaran daripada mendengar segala yang dibenci kerana segala yang haram diucapkan maka haram didengar.

4) Menahan anggota badan yang lain daripada perbuatan dosa sama ada tangan, kaki dari segala yang dibenci. Demikian juga menahan perut daripada memakan makanan yang syubhat pada waktu berbuka.

5) Tidak terlampau banyak makan pada waktu berbuka sekalipun makanan tersebut halal dan diperolei daripada jalan yang halal.

6) Selepas berbuka, sentiasa mendidik hati dengan penuh mengharap dan takut agar amalan puasa yang dilakukan seharian diterima dan diberikan ganjaran yang setimpal.

Ini bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW. “Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dan perbuatan dusta, maka sesungguhnya Allah SWT tidak memerlukan dia meninggalkan makan dan minumnya (puasanya).” (Hadis Riwayat Bukhari)

Kesimpulannya, puasa adalah satu amalan yang dapat mendidik manusia untuk mengamalkan sifat mahmudah dan membuang sifat mazmumah.

Sifat mazmumah seperti benci, marah dan dendam adalah sifat yang mendorong seseorang untuk melakukan kezaliman dan kejahatan jika tidak ditangani dengan betul.

Sifat buruk itu boleh menyebabkan berlaku tekanan perasaan, kemurungan dan ketakutan yang menyumbang kepada jiwa kacau dan bercelaru.

Oleh yang demikian, puasa adalah salah satu cara yang ditunjukkan oleh Islam dalam menangani sifat-sifat negatif.

Dr Mohd Nasir Masroom ialah Timbalan Pengarah Pusat Islam, Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor