PERSATUAN Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM) dan seluruh badan-badan profesional serta badan-badan bukan kerajaan seperti di SENARAI 26 NGO di bawah menyatakan BANTAHAN berkaitan aktiviti menghisap vape dan rokok yang berleluasa di Parlimen Malaysia.

Dalam kenyataan media yang dikongsikan dengan SinarPlus hari ini, aktiviti ini dikatakan telah berlaku semenjak sidang dewan yang bermula Julai lalu tanpa penguatkuasaan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Ia menjadi lebih ketara berikutan tularnya satu video yang menunjukkan seorang Ahli Parlimen yang juga merupakan YB Menteri telah menghisap rokok elektronik atau vape semasa sesi sidang Dewan Rakyat sedang berlangsung.

“Isu ini MESTI DIPANDANG BERAT oleh pihak Kerajaan kerana merokok rokok elektronik/vape mahupun rokok konvensional di Bangunan Parlimen tidak sepatutnya lagi berlaku lantaran bangunan ini telah pun diwartakan sebagai kawasan larangan merokok,” kata kenyataan tersebut.

Terdahulu, Timbalan Yang Dipertua IKRAM Health Malaysia, Dr Mohd Afiq Mohd Nor berkongsi kenyataan media berkenaan dengan SinarPlus.

PPPKAM dan NGO (disenaraikan di bawah) dalam kenyataan itu turut menyifatkan, Parlimen juga merupakan simbol kedaulatan negara Malaysia dan ia adalah tempat di mana undang-undang digubal.

Sebagai wakil yang telah diundi ke sini, mereka sepatutnya menjadi contoh tauladan yang baik kepada rakyat,” tulis kenyataan itu lagi.

“Oleh hal yang demikian, kami mewakili 80 peratus daripada rakyat Malaysia yang tidak merokok menyuarakan RASA KESAL atas kejadian yang telah berlaku ini.

“Tabiat merokok telah terbukti boleh menyebabkan pelbagai komplikasi penyakit. Kajian terhadap kesan penggunaan rokok elektronik/vape juga telah menunjukkan implikasi kepada kesihatan terutama untuk golongan remaja dan kanak-kanak. Penggunaan rokok elektronik/vape yang dikatakan sebagai fungsi ‘harm reduction’ juga adalah tidak benar malah tiada bukti untuk mengukuhkan dakwaan tersebut.

“Sehubungan dengan itu, KAMI MENGGESA agar Kerajaan mengambil langkah drastik untuk mempertimbangkan agar LARANGAN PENUH penggunaan rokok elektronik/vape dikuatkuasakan dengan segera,” katanya.

Iklan

PPPKAM dan NGO ini juga menyatakan ucapan terima kasih dan menghargai usaha yang telah dicurahkan oleh mantan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam menjadikan seluruh kawasan Parlimen sebagai kawasan bebas daripada sebarang bentuk amalan merokok dengan menutup secara rasminya bilik merokok di Parlimen pada 15 Oktober 2018.

“Kami juga menggesa agar YB Menteri Kesihatan terkini, YB Dato’ Sri Dr Adham Baba akan terus menyambung usaha-usaha ini bagi memastikan Parlimen yang menjadi simbol kedaulatan negara tidak kembali tercemar dengan tabiat yang buruk ini.

Sekian, terima kasih. “Menuju Malaysia Bebas Daripada Amalan Merokok 2045” #ParlimenBebasDaripadaRokokDanVape,” akhiri kenyataan berkenaan.

Iklan

SENARAI NGO:

1. Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM)
2. Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia (IKRAM Health)
3. Akademi Farmasi Malaysia
4. Ikatan Pengamal Perubatan & Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik)
5. Pertubuhan Wanita Malaysia untuk Kawalan Tembakau & Kesihatan (MyWATCH)
6. Delegation of Nurses
7. NCD Consultant Chapter
8. Pertubuhan Teratak Rahmah Wanita Islam
9.Yayasan Atfal Jannah
10. The International Women’s Alliance for Family Institution and Quality Education (WAFIQ)
11. Medical Mythbusters Malaysia (M3)
12. Malaysian Association for Adolescent Health (MAHA)
13. Persatuan Alumni Perubatan Universiti Malaya
14. Asthma Malaysia
15. Malaysian Thoracic Society (MTS)
16. Pertubuhan Ayah Jangan Merokok
17. Pertubuhan Green Lung Malaysia
18. Public Health Malaysia (PHM)
19. Johor Bebas Asap Rokok (JBAR)
20. Persatuan Pendidikan Dan Penyelidikan Untuk Pengguna-Pengguna Pahang (ERA Pahang)
21. Selangor Bebas Asap Rokok (SELBAR)
22. Persatuan Pelindung Pengguna Kelantan
23. Kelab Projek Milenium : Pelajar Ini Nekad Tidak Akan meRokok (Kelab PM-PINTAR)
24. Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)
25. Persatuan Suara Konsumer Sarawak (Consumer Voice Association of Sarawak)
26. Consumers Affair & Protection Society of Sabah (CAPS)

-AG #JanganPutusAsaMalaysia