PERINTAH Kawalan Pergerakan hari ini memasuki hari ke enam. dah nak seminggu dah pun. Bila dilihat reaksi orang ramai rasa nak marah, pelik, tak faham dan panas hati pun ada bila segelintir mereka berperangai seolah tiada tamadun.

Nak suruh duduk rumah pun susah! Arahan dari pihak berkuasa tak nak dengar. Macam-macam alasan diberi dan ada yang sampai membuat rakaman berhimpun kenduri kepala kambing katanya! Cukup-cukup tak faham!

Makin difikir makin rasa nak marah. Namun tak semua berkelakuan seperti mereka, ada juga yang berkongsi perkara yang positif di laman sosial masing-masing seperti baru-baru ni tular berkenaan kopi Dalgona. Kopi pun boleh tular tau.

Kopi Dalgona katanya mula tular di tiktok apabila ramai yang buat kopi tersebut dan memuat naik melalui aplikasi tiktok. Kemudian tular pula di Instagram bila ramai yang dah mencuba. Sehinggalah kini menjadi ikutan di Facebook.

Sinar Plus pun mencari resipi yang dikatakan tular tersebut dan ternyata cara pembuatannya sangat mudah. Memang sesuai sangatlah dicuba tambahan pula sekarang kita dalam tempoh ‘berkurung’ di rumah.

Cik abang pun boleh buatkan untuk anak isteri tercinta. Senang sangat buatnya. Bila lagi nak masuk dapur bang!

Bahan-bahan

2 sudu teh serbuk Nescafe.
2 sudu gula
2 sudu air panas
Susu kotak penuh krim
Ais

Iklan

Ya! Itu sahaja bahan-bahannya. Kalau rasa nak lebih premium, anda juga boleh gunakan Nescafe Gold sebagai perasa tambahan. Tapi jangan pekat sangat sebagai contoh guna satu sudu Nescafe Classic dan tambah satu sudu Nescafe Gold. Baru la padu!

Kalau anda nak kurang manis pula anda boleh gunakan gula kastor. Ikut cita rasa dan selera masing-masing la ye.

Cara Pembuatan Kopi Dalgona

Iklan

1. Bancuh serbuk Nescafe bersama gula dan air panas.
2. Pukul atau gaul bancuhan tersebut sehingga pekat dan berbuih.
3. Tuangkan susu kotak full cream ke dalam gelas yang berisi ais.
4. Ambik campuran nescafe yang telah dipekatkan itu dan masukkan dalam gelas yang telah berisi air susu tadi.
5. Sebagai hiasan, ambil secubit nescafe dan taburkan sedikit di bahagian atas.

Dah siap! Senang sangat kan. Selamat mencuba!