KINI merupakan masa untuk berjimat cermat. Nilai matawang Ringgit Malaysia juga semakin rendah, harga barangan semakin tinggi.

Oleh sebab itu, belanja barang dapur semakin besar jumlahnya. Mesti ramai antara kita sedang berfikir cara yang paling praktikal untuk menjimatkan perbelanjaan dapur.

Cara apa lagi yang paling baik untuk diguna pakai? Sinar Plus kongsikan beberapa tip yang mungkin dapat membantu.

1. Bajet.

Membuat bajet adalah langkah yang sangat penting dalam berjimat. Selain anda dapat merancang perbelanjaan, bajet juga akan memastikan anda tidak menggunakan duit lebih daripada yang sepatutnya.

Dari situ, anda  dapat tentukan peruntukan untuk setiap perkara dengan baik. Melalui bajet, kita dapat merancang apa yang kita harus beli untuk perbelanjaan dapur.

2. Jualan murah dan kupon

Sekarang amat mudah untuk kita bandingkan harga barangan yang dijual antara pasaraya dengan hanya merujuk internet dan juga aplikasi telefon pintar.

Faktor persaingan antara pasaraya menyebabkan mereka berlumba-lumba mengadakan promosi atau jualan murah untuk meningkatkan jualan.

Jadi gunakan peluang ini untuk membandingkan harga antara pasaraya supaya anda dapat membeli dengan harga yang berbaloi.

Selain itu, di akhbar-akhbar, aplikasi dan juga risalah terdapat banyak kupon penjimatan. Mungkin nampak kecil, tapi sebenarnya menyumbang kepada penjimatan juga.

3. Simpanan stok

Bagi barangan yang tahan lama seperti minyak, tepung, beras dan bahan pencuci, anda boleh cuba membeli dalam kuantiti yang banyak supaya mendapat harga borong.

Perancangan jauh ke hadapan adalah sangat penting! Barangan yang tahan lama lebih berbaloi jika dibeli dengan harga borong kerana ia boleh disimpan lama dan tidak mudah rosak. Tip ini tidak sesuai untuk makanan basah.

4. Inventori

Bina sistem inventori yang mudah untuk kita rujuk. Gunakan konsep seperti di pasaraya iaitu ‘First In First Out’ atau FIFO.

Iklan

Konsep ini ialah barang yang kita beli dahulu, akan kita guna dahulu. Jika ada tarikh luput, mengikut tarikh luput. Susun atur barangan dapur juga mengikut tarih luput atau bila ia dibuat.

Tarikh luput yang paling hampir luput, akan diletakan di bahagian hadapan sekali. Jadi apabila kita ingin mengambil stok, kita akan mengambil yang paling hampir dengan tarikh luput. Cara ini akan memastikan kita tidak terlepas pandang barangan dapur yang hampir luput.

5. Rancang menu makanan

Rancang menu makanan secara mingguan. Dengan cara ini, tidaklah kita akan membazir membeli makanan mentah yang tidak perlu hingga membazir dan dibuang. Selain itu, dengan merancang menu mingguan, kita akan lebih kreatif menyediakan makanan di rumah.

Iklan

Contohnya, minggu ini menu utama ialah ayam dan daging. Jadi menu minggu ini bolehlah pelbagaikan masakan ayam dan daging.

Begitu juga dengan sayuran. Tambahan lagi, ini dapat memastikan makanan basah dan sayuran yang kita makan adalah segar.

Selamat mencuba dan jangan lupa untuk berjimat!

Sumber: The Asian Parent