PANDEMIK Covid-19 pastinya ramai sedia maklum yang mana ia telah membawa perubahan besar dalam gaya hidup, pekerjaan dan ekonomi masyarakat dunia dengan rakyat Malaysia tidak terkecuali menjalani era kehidupan normal baharu.

Fenomena baharu dalam kehidupan yang kini lebih bertumpu kepada dalam talian (online) itu, bagaimanapun dilihat memberi kelebihan kepada golongan belia atau lebih dikenali sebagai generasi Y dan Z yang lebih cepat menyesuaikan diri dalam mengharungi normal baharu itu.

Aktiviti seperti bekerja dari rumah, menjual barangan serta pembelajaran dalam talian yang lazimnya tidak begitu dipraktikkan sebelum ini, kini mula menjadi rutin harian dan seterusnya pada masa depan.

Malah, menurut Commerce.Asia, sektor e-dagang menjadi satu daripada segelintir industri yang berkembang maju dalam tempoh mencabar ini, apabila ekosistem itu mencatatkan peningkatan yang sangat menggalakkan pada suku pertama 2020.

Keadaan itu juga dilihat bertepatan dengan sambutan Hari Belia tahun ini yang bertemakan ‘Dekad ini, Dekad Anda’, yang menuntut belia sekarang mengisi dan membina negara untuk kelangsungan hidup 10 tahun akan datang demi menjamin negara yang maju dan makmur.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Jufitri Joha berkata, belia merupakan golongan yang paling cepat menyesuaikan diri kepada perubahan khususnya generasi Z memandangkan mereka dalam lingkungan ‘digital native’ dan sangat terhubung dengan dunia digital.

“Saya lihat dalam konteks persatuan belia, banyak aktiviti dan mesyuarat dibuat dalam talian, malah pertandingan azan juga turut dilakukan dalam talian, memang kita akui dari sudut sosial, mereka terhad untuk melakukan aktiviti di luar rumah seperti kebiasaan sebelum ini.

“Bagaimanapun, secara kesimpulannya, belia dapat menerima perubahan itu dengan cepat, bererti dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat ini merubah keadaan normal baharu,” katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, beliau berkata, golongan belia mampu membantu menggerakkan ekonomi negara yang terkesan dengan penularan ‘wabak pembunuh’ itu dengan penglibatan mereka melalui perniagaan dalam talian.

Iklan

Justeru, katanya, kerajaan perlu memperlengkapkan prasarana agar belia bergerak ke arah ekonomi digital yang menjadi ekonomi arus perdana dengan mempertingkatkan akses 4G di kawasan pedalaman dan memperluas perkhidmatan jalur lebar supaya anak muda di kawasan berkenaan tidak berhijrah ke bandar lebih-lebih lagi dengan ekonomi yang agak meruncing.

Selain itu, tambah beliau, peranan anak muda di barisan hadapan membantu negara menangani Covid-19 walaupun berdepan dengan risiko keselamatan tidak perlu dinafikan lagi.

Iklan

“Peranan dan sumbangan mereka dalam sektor gig ekonomi sebagai penghantar makanan dan barangan keperluan kepada isi rumah perlu diiktiraf kerana secara tidak langsung turut menyokong usaha kerajaan dalam mengekang penularan Covid-19,” katanya.

Menurut Jufitri, golongan itu perlu diberi jaminan sekuriti sosial termasuk dalam bentuk insurans, jaminan simpanan dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai galakan supaya terus menceburi profesion itu.

BERNAMA