KADAR dasar semalaman (OPR) kembali menjadi sebutan dan perbincangan dalam kalangan masyarakat negara ini apabila Bank Negara Malaysia (BNM) secara berturut-turut menaikkan semula kadar berkenaan baru-baru ini.

Ramai berasa keliru kerana OPR dinaikkan ketika rakyat berdepan kenaikan harga barangan keperluan seperti minyak masak botol, ayam mentah dan telur.

Ini kerana kenaikan OPR dianggap akan membebankan lagi poket pengguna yang sudah sedia menipis akibat kenaikan harga barang, malah komitmen ansuran bulanan juga meningkat selari kenaikan OPR.

Kenanga Investment Bank Bhd berkata, BNM dijangka menaikkan OPR sekurang-kurangnya 25 mata asas (bps) menjelang akhir tahun ini berikutan kenaikan kadar faedah yang agresif oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS). Pada 6 Julai lalu, OPR ditingkatkan kepada 2.25 peratus.

OPR ialah kadar faedah yang ditetapkan oleh bank pusat di mana BNM menentukan kadar faedah untuk institusi kewangan yang meminjamkan wang antara satu sama lain untuk tempoh satu malam. Perubahan pada OPR akan mempengaruhi kadar faedah yang ditawarkan untuk pinjaman dan simpanan.

Namun, perlu difahami bahawa OPR memainkan peranan penting dalam menstabilkan kedudukan kewangan negara secara menyeluruh memandangkan perbelanjaan pengguna merupakan komponen penting yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Ketika ekonomi negara teruk terjejas akibat pandemik Covid-19, kadar OPR diturunkan untuk memberi lebih tunai kepada pengguna kerana penurunan OPR mengurangkan jumlah ansuran bulanan pinjaman. Malah, pada 7 Julai lalu, OPR dikurangkan ke paras terendah dalam sejarah iaitu 1.75 peratus.

Apabila pengguna mempunyai lebihan tunai, mereka akan mula berbelanja seterusnya menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara.

Kadar OPR akan sentiasa turun atau naik mengikut keperluan bagi menstabilkan pertumbuhan ekonomi negara. Perubahan ini juga akan menyebabkan kadar faedah yang dikenakan terhadap pinjaman atau simpanan pengguna berubah-ubah.

Iklan

Justeru, ia adalah antara risiko yang perlu ditangani dan difahami pengguna apabila membuat keputusan untuk meminjam atau melabur.

Apabila OPR meningkat, pulangan yang diterima daripada simpanan dalam bank juga akan meningkat. Oleh itu, ia sepatutnya mempengaruhi pengguna untuk menyimpan dan mengurangkan perbelanjaan.

Apabila perbelanjaan berkurang, maka permintaan untuk barangan juga berkurang dan seterusnya diharap akan mengurangkan harga barang serta kadar inflasi semasa.

Iklan

Kesannya mungkin tidak dirasai untuk jangka masa pendek, namun dalam jangka masa panjang ia akan mewujudkan kestabilan dalam permintaan dan penawaran produk. Ini juga diharap akan mengawal kenaikan harga barang yang kian ketara bukan sahaja disebabkan masalah dalam negara, malah disebabkan oleh faktor luaran seperti perang Rusia dan Ukraine.

Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu dan agak sukar pada masa kini, pengguna dinasihatkan supaya berbelanja dengan lebih berhemah termasuk mendidik diri untuk menyimpan dan melabur.

Malah, ketika inflasi dijangka terus menggugat keupayaan pengguna untuk berbelanja, adalah lebih baik mula melabur untuk membina tabungan demi melindungi nilai wang di tangan.

Pilihlah pelaburan yang berisiko rendah dan mampu memberi dividen melebihi inflasi untuk memastikan kuasa beli tidak mengecil. Wang yang disimpan dan dilaburkan hari ini mungkin akan menyelamatkan anda pada masa depan.