JANGAN pandang sebelah mata dengan usaha mengekang penyebaran wabak melalui pemakaian pelitup muka ya.

Pelaksanaan penetapan penggunaan pelitup muka secara meluas dalam kalangan orang ramai mampu mengurangkan penyebaran jangkitan pada populasi umum.

Ia dibuktikan apabila dua orang tukang gunting di sebuah salun gunting rambut di Springfield, Missouri, Amerika Syarikat telah dikesan positif Covid-19 setelah didapati mempunyai gejala pernafasan.

Lapor Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), walaupun telah mempunyai gejala, mereka masih terus bekerja selama lapan hari sebelum ujian dilakukan.

Dalam tempoh tersebut, 139 orang pelanggan telah terdedah kepada tukang gunting tersebut. Setiap pelanggan terdedah lebih dari 15 minit dengan jarak dekat iaitu kurang daripada satu meter dengan tukang gunting tersebut.

Dapatan insiden itu turut mendapat perhatian Public Health Malaysia.

https://www.facebook.com/publichealthmalaysia/posts/2696134137343108

“Namun syukur, tukang gunting dan semua pelanggan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan memakai pelitup muka semasa menggunting rambut.

“Saringan yang dilakukan kepada 139 pelanggan didapati tiada seorang pun pelanggan yang positif Covid-19!,” tulisnya di Facebook semalam.

Kejadian kluster gunting rambut berkenaan membuktikan kepentingan dan keberkesanan pemakaian pelitup muka dan pematuhan SOP dalam mencegah penularan jangkitan.

Iklan

Terdahulu, bermula 1 Ogos ini, pelitup muka wajib dipakai dalam pengangkutan awam dan di kawasan sesak atau tumpuan umum.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu diambil berikutan penambahan kluster-kluster jangkitan Covid-19 baharu yang dikenal pasti, selain atas nasihat Kementerian Kesihatan.

Orang ramai boleh didenda RM1,000 di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) sekiranya gagal mematuhi peraturan terbaharu itu.

Iklan

Dalam masa yang sama, kini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia turut membenarkan pemakaian pelitup muka yang dijahit sendiri, jadi kerajaan memutuskan mewajibkan pemakaiannya di kawasan tumpuan awam dan dalam pengangkutan awam sama ada di darat, udara dan laut.

Sumber: www.cdc.gov