BARU-BARU ini tular di media sosial seorang individu yang digelar ‘Pakcik Shell’ dilaporkan turun padang bagi bertemu sendiri dengan pelajar yang dirakam memakai baju Shell ketika hadir mengambil keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Perbuatan Pakcik Shell ini sangat memberikan inspirasi kepada warganet.

Kecil orangnya, sungguh mudah tersenyum dan sangat mesra. Anak kelahiran Kelantan itu sebenarnya mempunyai permulaan hidup yang sangat sederhana.

Dilahirkan di Pasir Puteh, Kelantan, anak kepada sepasang pasangan guru itu dibesarkan oleh datuknya di kampung Kedai Buloh, sebuah perkampungan nelayan di pinggir Sungai Kelantan berhampiran dengan Pantai Cahaya Bulan (PCB), Kota Bahru. Datuknya hanyalah seorang nelayan sementara neneknya menjual bunga sanggul.

Pakcik Shell atau nama sebenarnya Shairan Huzani Husain itu merupakan Pengarah Urusan Shell Malaysia sejak dari 2016. Wow, pakcik boss rupanya!

Dalam satu perkongsian dari portal permotoran tempatan, Careta.my, walaupun Shairan baru menjawat jawatan tinggi itu lima tahun yang lalu, beliau bagaimanapun sudah bekerja dengan Shell sejak dari tahun 1993 lagi.

Kerjayanya bermula di Shell Chemical yang menghasilkan produk ubat nyamuk jenama Shelltox pada ketika itu. Sehinggalah beliau dihantar ke India untuk meluaskan empayar perniagaan mereka.

Royal Dutch Shell, syarikat induk Shell telah memberikannya satu tugasan yang berat untuk memulakan perniagaan Shell di negara India.

“Saya ingat lagi bagaimana saya memujuk isteri dan keluarga untuk mengikut saya ke India. Apa yang saya lakukan ialah saya tunjukkan beliau gambar-gambar poskad yang menarik akan negara tersebut.

“Sampai di lapangan terbang Bangalore, isterinya berkata gambar di dalam poskad tersebut langsung tidak sama dengan keadaan sebenar!” gelak Shairan mengenangkan peristiwa tersebut.

Shairan seterusnya menetap di Taj West End Hotel dan membuka sebuah pejabat sementara Shell India di hotel tersebut.

“Pejabat pertama Royal Dutch Shell di India ialah sebuah bilik kecil di hotel Taj West End. Saya membeli empat kerusi, satu mesin faks dan meja yang saya pinjam dari hotel.

“Dan itulah permulaan Shell di India. Sehingga kini, nama di dalam lesen perniagaan Shell di India masih mempunyai nama saya!” sambung beliau.

Menurut beliau, sepanjang empat tahun berada di sana, mereka telah berjaya membuka sehingga 30 stesen minyak di negara itu sebelum memutuskannya untuk pulang ke tanah air.

Iklan

Kerana kejayaannya mengemudi Shell di India, Shairan kemudiannya ditugaskan pula untuk menjaga rangkaian stesen minyak syarikat itu di serata dunia.

Sejak daripada itu, Shairan tidak memandang ke belakang di dalam kariernya bersama Shell.

Dengan syarikat minyak global itu, beliau pernah ditugaskan di bahagian Corporate Finance, Forex Trading, bahagian upstream di Miri tetapi akhirnya beliau bertemu dengan sesuatu yang menarik minat beliau iaitu bahagian retail atau runcit.

Shairan ditugaskan untuk menjaga stesen-stesen minyak Shell di dalam negara dan antara yang pertama ialah stesen minyak Shell di Glenmarie.

Iklan

“Saya pernah mencuci tandas di stesen tersebut pun,” cerita Shairan sambil ketawa kepada portal berkenaan.

Menurut Shairan, dia melakukan pelbagai tugasan sepanjang tempoh perkhidmatannya di Shell dan dia sendiri menyifatkan Shell amat mementingkan kemajuan kerjaya untuk pekerja-pekerja mereka.

Maka terjawab sudah mengapa dia sendiri yang turun padang untuk bersama-sama dengan pekerjanya yang baru sahaja mendapat keputusan SPM dan turut memberikan hadiah dan dorongan buat mereka.

Pakcik Shell hebat!