PADA 1 Mac 2020 lalu telah bermulanya tempoh pengisytiharan pendapatan bagi Tahun Taksiran 2019. Bahasa mudahnya musim e-filing datang lagi!

Bagi mereka yang baru menempoh alam pekerjaan dan baru mula nak bayar cukai pendapatan, mesti masih belum tahu cara isi eFiling bagi pengiraan cukai pendapatan.

Jangan risau, dalam artikel ini, Sinar Plus akan berkongsi langkah demi langkah bagaimana cara isi e-filing dengan betul.

Pendaftaran

Pendaftaran boleh dibuat secara online atau atas talian melalui portal rasmi http://edaftar.hasil.gov.my

Bagi pengguna kali pertama, sila ikuti beberapa langkah mudah di bawah:

1. Lengkapkan borang pendaftaran online

Layari http://edaftar.hasil.gov.my/dafsgjpn.php untuk mendaftar kali pertama. Anda akan dibawa ke halaman seperti berikut:

cara daftar efiling

Selepas selesai anda akan diberi satu nombor permohonan contohnya Ai-a78629uf9797d23

Pastikan anda catat nombor tersebut untuk digunakan ketika mahu menyemak status pendaftaran kelak.

2. Muat naik dokumen diperlukan

Anda kemudiannya diminta untuk memuat naik salinan dokumen berikut:

  • Pasport bagi bukan warganegara Malaysia yang tidak menjalankan perniagaan.
  • Sijil pendaftaran perniagaan bagi warganegara Malaysia yang menjalankan perniagaan.
  • Pasport dan sijil pendaftaran perniagaan bagi bukan warganegara Malaysia yang menjalankan perniagaan.

Ketika memuat naik dokumen pengenalan anda, pastikan hanya muka depan yang dengan jelas menunjukkan nama dan no. pengenalan diperlukan.

3. Semak status permohonan

Selepas beberapa hari, anda boleh membuat semakan online status permohonan di http://edaftar.hasil.gov.my/info.php

Jika permohonan disahkan, anda akan diberikan nombor PIN yang akan digunakan semasa mengisi efiling pula nanti.

Peringatan: Permohonan e-Daftar akan dibatalkan sekiranya tiada dokumen lengkap diterima dalam tempoh 14 hari dari tarikh permohonan dan pemohon dikehendaki membuat semula permohonan baru berserta dokumen yang lengkap.

Iklan

Cara kemaskini e-filling

1. Layari ezHASiL

Layari portal https://ez.hasil.gov.my/CI/ dan pada bahagian Log Masuk sila isi segala maklumat yang diperlukan kemudian klik Hantar.

2. Pilih eBorang

Anda kemudian akan dibawa ke halaman eBorang. Di sini pastikan anda pilih eBorang yang betul sama ada:

  • e-E: Majikan
  • e-BE: Individu warganegara Malaysia yang tiada punca pendapatan perniagaan
  • e-B: Individu warganegara Malaysia yang ada punca pendapatan perniagaan
  • e-BT: Pekerja Berpengetahuan atau Pekerja Berpakaran warganegara Malaysia
  • e-P: Perniagaan perkongsian
  • e-M: Individu bukan warganegara Malaysia
  • e-MT: Pekerja Berpengetahuan atau Pekerja Berpakaran warganegara Malaysia
  • Bagi anda yang bekerja makan gaji tanpa perniagaan pilih borang e-BE.

Maklumat pada borang terbahagi kepada 4 bahagian iaitu:

  • Maklumat Individu.
  • Pendapatan berkanun, jumlah pendapatan dan pendapatan tahun kebelakangan yang belum dilaporkan.
  • Pelepasan / Rebat / Tolakan Cukai / Pelepasan Cukai.
  • Rumusan.

Sila isi dengan lengkap kesemua maklumat yang diperlukan bagi memudahkan proses pengiraan cukai pendapatan anda.

Iklan

Akhir sekali anda perlu sahkan borang taksiran kemudian hantar kepada pihak LHDN secara online.

Jika anda sudah berpuas hati dengan borang yang diisi, sila klik Tandatangan & Hantar.

Apabila butang Tandatangan & Hantar ditekan, skrin Tandatangan akan dipaparkan. Masukkan No pengenalan dan kata laluan yang tepat untuk menghantar borang yang telah diisi. Huruf besar atau kecil yang dimasukkan hendaklah tepat seperti yang telah ditetapkan sebelum ini.

Selesai pendaftaran eFiling cukai pendapatan 2018 / 2019 anda.

Untuk info lanjut, muat turun PDF cara mengisi eFiling di sini https://ez.hasil.gov.my/CI/Panduan/PanduanCI_eBorang.pdf