Pasca Covid-19 : Golongan belia digalakkan untuk ceburi bidang pertanian
SATU cabaran yang cukup hebat ketika ini ialah apabila satu dunia dilanda wabak Covid-19 yang sehingga kini masih belum ditemui penawarnya.
Ia memberi impak yang cukup besar kepada kehidupan semua orang, terutamanya apabila ramai penduduk dilaporkan kehilangan pekerjaan.
Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan yang dikeluarkan baru-baru ini, kadar pengangguran dalam negara kita meningkat 17.1 peratus kepada lebih 600,000 orang pada Mac 2020.
Apa yang lebih membimbangkan adalah apabila golongan belia menjadi penyumbang kepada statistik tersebut sebanyak 6.9 peratus.
Kemungkinan besar ini akan memberi tekanan kepada golongan belia kerana kesukaran mendapatkan pekerjaan bagi menjana sumber pendapatan.
Kemungkinan belia yang menganggur akan duduk lebih lama di rumah kerana tidak banyak tempat untuk mengisi masa lapang atau ruang kosongnya.
Jadi, antara perkara yang boleh dilakukan bagi memanfaatkan masa yang terluang, golongan belia boleh mengambil peluang melakukan aktiviti berkebun di sekitar rumah.
Mudah-mudahan dengan terisinya kelompongan dan kekosongan itu, dapat mengelakkan diri mereka daripada kemurungan dan mungkin masalah jiwa.
Mulakan langkah kecil
Golongan belia perlu disedarkan untuk berkebun di rumah. Mungkin boleh mulakan dengan cuba-cuba dahulu tanam pokok dalam pasu. Mudah dan tidak memerlukan kos yang besar.
Dengan cara ini, sekurang-kurangnya golongan belia dapat menimba pengetahuan, menambah kemahiran dan memupuk minat bertani.
Kemudian apabila sudah berjaya dengan langkah kecil mungkin boleh luaskan lagi aktiviti pertanian. Lakukan pula dengan langkah yang lebih besar.
Pertanian dilihat mampu memberikan pulangan lumayan sekiranya ia dilakukan secara serius terutamanya dengan mulakan tanah terbiar yang ada.
Kerajaan dan Jabatan pertanian khususnya perlu bertindak memberi dorongan kepada mereka agar boleh merealisasikan matlamat yang telah ditetapkan negara dalam industri AgroMakanan termasuk mengeksport ke luar negara.
Selain itu, kerajaan perlu mengumpulkan dan menambahkan lagi maklumat-maklumat belia tani yang berjaya sebagai suatu suntikan semangat.
Justeru, SinarPlus juga ingin mengajak semua rakyat Malaysia supaya dapat bersama-sama merealisasikan slogan Kementerian Pertanian dan Asas Tani “Pertanian itu adalah Perniagaan”.
Jadikanlah pertanian itu suatu jihad. Selain sumber makanan, pertanian mendatangkan hasil yang menguntungkan jika ia diberikan keutamaan khususnya dalam kalangan belia masa kini.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang