SEMALAM kita dikejutkan dengan insiden kemalangan melibatkan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) bernombor 40 dan 81 laluan Kelana Jaya.

Siasatan awal polis mendapati tren membawa penumpang telah bertembung dengan sebuah tren rosak yang sedang dipandu uji secara kawalan manual tanpa diselaras dengan pusat kawalan.

Perlanggaran itu memberikan impak yang cukup besar apabila seramai 47 penumpang dilaporkan parah manakala 166 pula cedera ringan.

Lebih mengejutkan, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong mendedahkan kejadian terbabit adalah pertama kali berlaku selepas 23 tahun perkhidmatan LRT beroperasi di negara ini.

Bayangkan, pertembungan yang kuat itu bukan sahaja menyebabkan panel kaca tingkap pecah berderai, malah sesetengah penumpang terpelanting dari kedudukan asal.

Tular menerusi laman sosial klip video dan gambar yang mempamerkan keadaan penumpang terpaksa menahan kesakitan sementara menunggu bantuan tiba.

kemalangan tren
PERLANGGARAN tren LRT laluan Kelana Jaya, pada Isnin telah menyebabkan 47 penumpang parah manakala 166 pula cedera ringan. Gambar hiasan

Ada yang berlumuran darah, cedera pada bahagian mata, sakit dada dan hanya mampu menangis barangkali terlalu terkejut dengan insiden disifatkan berlaku ‘sekelip mata’.

Kalaulah Bibir Merah antara mangsa kejadian mungkin sudah mengalami panik melampau kerana mempunyai masalah psikologi Claustrophobia. Ia adalah sejenis ketakutan berlebihan di ruang sempit atau tertutup seperti lift, tempat gelap atau ruang tanpa jendela.

Lebih-lebih lagi, kemalangan dua tren LRT itu berlaku di terowong bawah tanah berhampiran Stesen KLCC.

Tambahan pula, Jabatan Bomba dan Penyelamat ada memaklum operasi mengeluarkan mangsa menjadi sukar kerana terowong laluan kecemasan sempit dengan kelebaran kurang satu meter (m) dan sejauh antara 100 hingga 150m ke stesen berhampiran.

Rentetan insiden terbabit bantuan khas RM1,000 akan diberikan kepada 213 mangsa terlibat.

kemalangan trenPengerusi Prasarana Berhad, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, dua bantuan lain adalah bagi menampung kos perubatan, rawatan susulan dan sebagainya bersesuaian dengan kecederaan yang ditanggung penumpang.

“Dan bantuan sara hidup bagi mereka (mangsa) yang kehilangan pendapatan akibat insiden ini,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Persoalannya, adakah bantuan khas sebanyak RM1,000 mencukupi meredakan trauma dan cedera dialami para penumpang. Malah, ketika meninjau ruangan komen Facebook Sinar Harian, Bibir Merah ada yang kurang bersetuju dengan nilai berkenaan.

“RM1,000 tidak berbaloi dalam keadaan sekarang. Dengan trauma lagi. Saya tiada ahli keluarga terlibat, tetapi atas dasar prihatin keadaan rakyat yang serba mencabar,” titip seorang warga maya.

Selain itu, ada yang menyarankan supaya pampasan lebih tinggi diberikan kepada mangsa: “Seorang kena bayar sekurang-kurangnya RM50,000 kerana ia melibatkan nyawa.”

Bukan itu sahaja, terdapat juga perkongsian yang berbunyi: “Saya tidak bersetuju RM1,000 sahaja harga trauma dan nyawa?

“Lantik badan berwibawa untuk kenal pasti berapa jumlah pampasan kecederaan dan trauma yang sepatutnya dibayar. Ini nyawa manusia.”

kemalangan trenBerbicara soal pampasan ataupun hak yang boleh dituntut mangsa insiden LRT, Bibir Merah kongsikan penjelasan daripada peguam, Mufarwa Farid. Menerusi satu perkongsian di laman sosial Facebook, beliau menerangkan satu persatu dalam bentuk soal dan jawab.

Berikut keterangan Mufarwa Farid:
1) Boleh ke penumpang yang tercedera saman pemilik LRT?
Ya, boleh sangat.

2) Apa yang boleh mereka saman?
– Ganti rugi yuran perubatan
– Ganti rugi kesakitan
– Ganti rugi kecederaan emosi
– Ganti rugi kerugian sekiranya tidak dapat bekerja disebabkan kemalangan ini
– Dan lain-lain

3) Berapa boleh dapat?
Susah nak cakap. Kalau nak letak harga rasanya dalam RM5,000 hingga RM50,000 kot. Tapi mungkin kurang, dan mungkin lebih. Semua bergantung kepada tahap serius kecederaan dan nilai kehilangan.

kemalangan tren4) Masing-masing kena pasang peguam ke?
Ya. Carilah peguam yang pakar bab-bab saman sivil. Ada beberapa peguam yang mahir bab-bab ini, ada yang tidak. Pilihlah yang trusted, malah kalau mereka guna satu peguam terus pun boleh. Saman secara kolektif. Yuran guaman nanti pandai-pandailah deal.

Iklan

5) Bila boleh saman?
Esok pun boleh. Tapi elok saman selepas dapat laporan perubatan. Bagi elok dulu luka-luka baru fikir pasal hal saman-menyaman.

6) Kalau ada insurans, boleh lagi ke saman?
Insurans tu insurans. Saman, samanlah. Dua perkara berbeza. Kita boleh dapat dua-dua.

7) Kalau ada yang maut nak saman macam mana?
Rasanya tiada siapa terkorban dalam kes ini. Tapi kalaulah ada, ahli keluargalah akan samankan.

8) Kenapa nak salahkan pemilik LRT?

Inikan kemalangan. Semua orang tak jangka boleh berlaku. Sebab benda tak jangkalah kita nak saman orang yang perlu bertanggungjawab.

Kalau sebut kemalangan semua orang tak jangka. Jadi, kita perlu timbulkan soalan:

i- Betul ke benda ini tak jangka?
ii- Dan kalau betul ia kes yang tak dijangka, siapa perlu ambil langkah pencegahan?
iii- Orang yang perlu ambil langkah pencegahan itu, betul ke dia ambil langkah pencegahan?

Iklan

Kalau syarikat dah ambil langkah pencegahan sepenuhnya, tetapi insiden masih berlaku kemungkinan mereka boleh terlepas. Tapi, kalau terbukti yang syarikat tidak ambil langkah pencegahan sepenuhnya, maka mereka bersalah.

9) Kalau penumpang yang tak cedera fizikal, tapi dia trauma. Boleh saman tak?
Boleh. Tapi ganti ruginya mungkin tak sebanyak yang cedera fizikal.

10) Sampai bila mangsa boleh saman?
Tempoh mangsa kemalangan boleh saman adalah enam tahun selepas kemalangan. Lepas enam tahun saman susah nak dilayan.

“Kita doakan agar semua penumpang dalam keadaan selamat, sejahtera, tidak alami kesusahan dan dipermudahkan urusan.

“Moga kesemua dapat keadilan sewajarnya,” tulis Mufarwa Farid sebelum menutup bicara.

 

Sumber: Facebook Mufarwa Farid dan Bernama