SINAR Plus telah menemubual seorang pelajar Malaysia, Nazmi Nordin yang kini meneruskan pengajiannya di Hong Kong.

Menurut Nazmi apabila ditanya mengenai Covid-19, dia memberitahu keadaan di Hong Kong masih terkawal walaupun ada peningkatan kes dilaporkan hampir setiap hari.

“Rata-rata penduduk di sini menjalankan rutin harian seperti biasa di samping mengamalkan personal hygiene seperti memakai mask setiap masa, menggunakan hand sanitizer di samping mengurangkan aktiviti luar mahupun pergi ke tempat yang ramai orang.

“Institusi Pendidikan seperti sekolah dan taska masih ditutup sementara Universiti, pembelajaran berjalan secara atas talian (online) dengan menggunakan aplikasi Zoom Video Conferencing,” kongsinya apabila dihubungi Sinar Plus baru-baru ini.

Tambah Nazmi lagi, pekerja di pejabat diberi pilihan tempoh bekerja seperti kerja separuh hari atau bekerja pada hari Isnin, Rabu dan Jumaat sahaja dalam seminggu.

Bertanya mengenai langkah-langkah yang diperkenalkan oleh kerajaan Hong Kong dalam menangani masalah terbabit, Nazmi berkata, kerajaan Hong Kong telah mengambil tindakan drastik dengan menutup pintu masuk sempadan yang menghubungkan Hong Kong dengan Tanah Besar China.

Pelajar berusia 30 tahun itu juga menyatakan bahawa tempat-tempat awam di sana disediakan automatic hand sanitizer dispenser ditambah dengan kawalan ketat di Lapangan Terbang Hong Kong bagi mereka yang baru tiba atau hendak keluar dari negara tersebut.

Masyarakat setempat juga perlu melalui saringan body temperature check untuk masuk ke tempat ibadah seperti masjid dan gereja.

“Kami pelajar-pelajar Malaysia mengambil langkah keselamatan seperti melakukan online teaching, sentiasa berada di lokasi hostel masing-masing malah sentiasa peka dan keep in touch dengan info yang diberikan dalam group whatsapp ‘Persatuan Pelajar Malaysia di HK’.

Iklan

“Aktiviti saya dan rakan di sini berjalan seperti biasa. Saya dah minta kebenaran dari hospital untuk kembali bekerja di makmal memandangkan saya di tahun akhir pengajian,” kata pelajar The Chinese University of Hong Kong, jurusan PhD in Imaging & Interventional Radiology.

Sementra itu, Nazmi turut menyatakan Kedutaan Malaysia di sana sangat prihatin berkenaan kebajikan dia dan rakan-rakan.

Iklan

“Jika terdapat sebarang masalah kami memang berurusan terus dengan kedutaan dan Alhamdulillah kedutaan sendiri akan tampil menghulurkan pelbagai bantuan tanpa mengira waktu termasuk memberi kami keperluan mask secara percuma.

“Saya juga berharap pelajar-pelajar lain yang berada di sini supaya tidak mudah panik dan sentiasa mengambil langkah keselamatan serta berjaga-jaga dengan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan pihak berwajib.

“Sama-sama kita doakan agar semua urusan kita dipermudahkan dan terhindar daripada segala kemudaratan serta wabak covid-19 ini mampu ghaib di dunia satu hari nanti,” katanya.