PERKARA yang paling dibimbang oleh calon yang bakal menduduki peperiksaan besar tahun ini seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) adalah apabila mereka tiba-tiba dijangkiti Covid-19 atau menjadi kontak rapat terhadap penyakit tersebut.

Mana tidaknya, calon peperiksaan utama yang positif Covid-19 atau dalam tempoh kuarantin mahupun kontak rapat dengan pesakit lain tidak akan dibenarkan menduduki peperiksaan itu bersama calon pelajar lain.

Namun, calon yang berkenaan hanya dibenarkan menduduki peperiksaan selepas selesai menjalani rawatan atau habis tempoh kuarantin.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim yang memaklumkan calon yang berkenaan perlu mendapat pengesahan kesihatan dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berhampiran sebelum boleh mengikuti peperiksaan kembali di sekolah.

Menurut laporan portal akhbar tempatan, gred SPM dan STPM tidak akan diturunkan, semua pelajar perlu jalani program transisi selama 43 hari.

Iklan

“Calon yang berkenaan akan dibekalkan dengan set kertas peperiksaan berbeza namun dengan standard sama berbanding calon yang menduduki peperiksaan mengikut takwim ditetapkan.

“Calon itu juga perlu mempunyai surat atau bukti yang menyatakan disahkan positif virus Covid-19 atau dalam tempoh kuarantin daripada doktor bertauliah.

“KPM akan mengumumkan tarikh peperiksaan untuk kertas alternatif itu kemudian,” katanya.

Tambahnya lagi, jika calon berkenaan sudah tamat menjalani tempoh kuarantin dan rawatan serta diakui PKD, namun ketika itu tempoh takwim peperiksaan masih berlangsung, maka calon itu boleh sambung mendudukinya.

Namun persoalan utama orang ramai kini adalah adakah KPM akan membatalkan beberapa peperiksaan awam seandainya pandemik Covid-19 masih berlanjutan?

Iklan

Sehingga hari ini, KPM bagaimanapun masih belum memuktamadkan sebarang keputusan mengenainya dan pertimbangan masih dibuat.

“Saya tak boleh menyatakannya lagi kerana yang kita buat keputusan sebelum ini untuk 2020 sahaja. KPM belum buat keputusan untuk 2021.

“Kita perlu tunggu sebab ia masih dalam pertimbangan. Kita ada banyak pelan sebenarnya (bagi peperiksaan awam), tetapi yang mana satu sesuai… kita belum boleh umumkan,” katanya.