Peluang temu duga terbuka sempena Hari Malaysia
ORANG ramai kini berpeluang untuk mengisi kekosongan pekerjaan melalui sesi temu duga terbuka yang akan diadakan bersempena Hari Malaysia pada esok.
Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor Bahru, Azlinda Abdul Latif berkata, program itu adalah antara pengisian Program Jom Semarakkan Srikandi Untuk Malaysia Prihatin anjuran mereka.
"Bermula dari jam 8 pagi, kami adakan pasar pagi dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian (FAMA) dan ini membuka peluang orang ramai untuk berbelanja sambil berjimat.
"Sesi khidmat nasihat bagi usahawan juga akan berlangsung dari jam 9 pagi melibatkan Bank Simpanan Nasional (BSN), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Tekun Nasional dan Majlis Bandaraya Johor Bahru," katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, program itu diadakan di Pusat Kesihatan Komuniti Azlinda yang terletak di Balai Raya Taman Suria, Johor Bahru.
Antara syarikat korporat yang bakal mengadakan temu duga terbuka bermula pada pukul 10 pagi itu adalah Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), AEON dan syarikat e-hailing, Best Ride.
Azlinda yang juga Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, usahawan berpeluang mendapatkan khidmat nasihat mengenai pembiayaan perniagaan, pendaftaran perniagaan serta mendapatkan lesen perniagaan.
"Penganjur akan turut menyampaikan biasiswa berjumlah RM168,000 bagi 30 pelajar mendalami pendidikan Perubatan Senaman yang disalurkan oleh sebuah institusi terkemuka, MS New Symphony Exercise Clinic melalui satu sesi pada jam 3 petang."Orang ramai juga dipelawa untuk menghadiri sesi khidmat nasihat kekeluargaan yang bakal disampaikan oleh Pakar Fisiologi dan Pemakanan Sihat, Dr Adibah Alawiyah dan Pakar Kekeluargaan dari Kemajuan Masyarakat (Kemas), Rohana Mustafa.
"Kami juga akan menyampaikan pelbagai bantuan khusus untuk golongan memerlukan pada sebelah tengahari selain sesi pendidikan yang dikendalikan oleh pakar akademik dan pakar bidang kemahiran," katanya.
Menurutnya, penganjuran program sekali gus dapat membuka peluang pekerjaan penduduk setempat selain ruang penyenaraian produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) seperti barang makanan dan jahitan dihasilkan golongan B40.
Beliau berkata, program akan berlangsung dalam suasana normal baharu untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan penularan wabak Covid-19.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang