IBADAH korban akan dilakukan hari raya Aidiladha iaitu bersamaan 10 Zulhijah (selepas selesai solat hari raya) dan pada hari-hari tasyrik bersamaan 11, 12 ,13 Zulhijah.

Sembelihan haiwan korban seperti unta, lembu dan kambing yang dilakukan adalah sunat muakkad mengikut mazhab Syafie.

ALLAH SWT telah mensyariatkan ibadah korban kepada golongan yang berkemampuan untuk melaksanakannya melalui dalil firman-NYA:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

Maksudnya: Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).

Manakala para ulama Syafi’iyyah telah menetapkan bahawa hukum melakukan ibadah korban ialah sunat muakkad secara kifayah bagi ahli-ahli di dalam sebuah keluarga.

Justeru, ibadah korban sangat digalakkan bagi sesiapa yang berkemampuan dalam sesebuah keluarga. Apabila salah seorang daripada anggota keluarga telah menyertai ibadah korban, maka sudah memadai bagi semua ahli keluarga dengan mendapat pahalanya. (Rujuk Tawsyih ‘ala Ibn Qasim: 527)

Pun begitu, mungkin ramai yang masih keliru dan melakukan kesilapan termasuk dalam pengagihan daging korban, pemberian upah tukang sembelih dan pelapah serta memasak daging korban untuk disedekahkan kepada fakir miskin.

Gambar hiasan (Kredit foto: Pexels)

PENGAGIHAN DAGING KORBAN

Menurut Pejabat Nufti WIlayah Persekutuan, pembahagian daging korban ditentukan menerusi status korban tersebut iaitu sama ada korban sunat, korban nazar atau yang telah ditentukan untuk dijadikan korban.

Jika haiwan korban tersebut merupakan korban sunat, maka sunat juga baginya untuk memakan sebahagian daripada daging haiwan korban tersebut.

Bagaimanapun, harus untuk mengagihkan kesemua daging korban tersebut kepada orang lain. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Jabir RA, bahawa baginda SAW telah melakukan korban:

فَنَحَرَ ثَلَاثًا وَسِتَّينَ بَدَنَةً بِيَدِهِ ثُمَّ أَعْطَى عَلِيًّا فَنَحَرَ مَا غَبَرَ وَأَشْرَكَهُ فِي هَدْيِهِ ثُمَّ أَمَرَ مِنْ كُلِّ بَدَنة بِبَضْعَةٍ فَجَعَلَتْ فِي قِدرٍ فَطَبَخَتْ فَأَكَلَا مِن لَحْمِهَا وَشُرْبَا مِن مَرْقِهَا

Maksudnya: Baginda SAW menyembelih 63 ekor unta, kemudian Baginda SAW memberikan kepada Ali Ibn Abi Talib untuk menyembelih apa yang terbaki. Lalu Baginda SAW menyuruh supaya bagi setiap satu unta itu dibahagikan kepada beberapa orang. Kemudian dimasukkan ke dalam periuk lalu dimasak. Setelah itu mereka berdua makan dagingnya dan kuahnya.

Oleh itu, daging korban tersebut boleh dibahagikan kepada beberapa cara, antaranya:

1-Disunatkan untuk orang yang melakukan korban untuk mengambil 1/3 daripada daging korban tersebut untuk diri sendiri dan menyedekahkan 2/3 daripada bakinya kepada golongan fakir miskin.

2-Atau, orang yang melakukan korban mengambil 1/3 daripada daging korban, dan mengagihkan 1/3 baki daripadanya kepada golongan fakir miskin dan 1/3 lagi daripadanya diberikan sebagai hadiah kepada golongan kaya (seperti saudara-mara atau jiran-tetangga). Dalam hal ini, memberi sedekah kepada 2/3 kepada golongan miskin lebih afdal daripada memberi hadiah kepada golongan kaya.

3-Namun cara yang afdal ialah seseorang yang melakukan korban tersebut menyedekahkan keseluruhan daripada daging korban dan memakan sedikit sahaja daripadanya sebagai sekadar mengambil berkat. Hal ini kerana menyedekahkan keseluruhan daging tersebut merupakan amalan yang mendekatkan diri kepada ALLAH SWT dan menjauhkan diri daripada sikap mementingkan diri sendiri. Manakala, memakan sedikit daripada daging tersebut sebagai beramal dengan zahir ayat al-Quran dan mengikut sunnah yang dilakukan oleh Nabi SAW. (Rujuk al-Mu’tamad Fi Fiqh al-Syafie: 485)

Bagaimanapun jika haiwan korban tersebut merupakan sebagai korban nazar atau korban wajib yang telah ditentukan, maka wajib bagi individu yang melakukan korban menyedekahkan kesemua daging korban tersebut kepada golongan fakir miskin dan tidak harus untuk beliau memakan sebahagian daripadanya. (Rujuk al-Mu’tamad Fi Fiqh al-Syafie: 485)

Gambar hiasan (Kredit foto: Pexels)

TUKANG SEMBELIH, PELAPAH TIDAK BOLEH DIUPAH DAGING KORBAN

Memberi upah daging haiwan korban kepada tukang sembelih atau pelapah daging juga banyak berlaku dalam masyarakat kita.

Hakikatnya, sebuah hadis yang sahih menjelaskan terdapat larangan untuk memberikan bahagian daging korban sebagai upah kepada penyembelih.

Hadis yang telah diriwayatkan daripada ‘Ali bin Abi Talib RA iaitu:

أَمَرَنِي النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم أَنْ أَقُومَ عَلَى الْبُدْنِ، وَلاَ أُعْطِيَ عَلَيْهَا شَيْئًا فِي جِزَارَتِهَا

Maksudnya: Rasulullah SAW telah mengarahkan aku untuk melakukan sembelihan terhadap unta dan mengarahkan juga kepadaku agar tidak memberi daging daripadanya sebagai upah kepada penyembelih dan pelapahnya.

Riwayat Al-Bukhari (1716) & Muslim (1317)

Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah juga ada menyebutkan di dalam kitabnya al-Minhaj iaitu syarah kepada hadis-hadis di dalam Sahih Muslim dengan mengatakan:

“Tidak dibenarkan untuk memberikan sesuatu daripada bahagian korban kepada al-Jazzar (tukang sembelih) dan inilah mazhab kami dan dengannya juga adalah pendapat ‘Atho, al-Nakha’ie, Malik, Ahmad, Ishak dan dihikayatkan daripada Ibn al-Munzir daripada Ibn Umar daripada Ahmad dan Ishak bahawa dibolehkan untuk menjual kulit sembelihan hadyu dan bersedekah dengan harganya”.

[Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim. Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, 9/65].

Iklan

Pun begitu, sekiranya tukang sembelih itu sendiri termasuk daripada kalangan fakir miskin, maka pemberian daging korban kepadanya dibolehkan di samping upah menyembelih.

Orang yang berkorban sendiri itu juga diharuskan untuk memberi daging korban kepada penyembelih dan pelapah sebagai hadiah kerana ia adalah hak orang yang berkorban.

Gambar hiasan (Kredit foto: Pexels)

DAGING TIADA PENAMA? INI CARA BAHAGI

Ibadah korban yang berkongsi bahagian pada seekor lembu dengan bahagian yang tidak diniat korban adalah harus menurut mazhab al-Syafi’i.

Bahagian yang diniat korban pada haiwan tersebut sah ibadahnya manakala pengagihan dagingnya wajib mengikut syarat pembahagian daging korban.

Manakala bahagian lembu yang tidak ada penama atau tidak diniatkan untuk korban dikira sebagai sedekah secara umum .

Ia tidak dikira sebagai ibadah korban kerana tidak diniatkan untuk korban. Daging pada bahagian tersebut boleh disedekah atau digunakan tanpa perlu mengikut cara pembahagian daging korban.

Gambar hiasan

PERSOALAN SEDEKAH DAGING KORBAN SIAP DIMASAK

Seperkara lagi perlu diambil perhatian ialah kekeliruan mengadakan jamuan dengan memasak kesemua daging korban tersebut dan dijamukan kepada golongan fakir miskin.

Perlu diketahui bahawa daging korban wajib disedekahkan kepada golongan fakir miskin dalam keadaan mentah dan bukannya yang telah dimasak atau dikeringkan.

al-Sheikh Muhammad Ibn Ahmad al-Syathiri di dalam kitabnya Syarh al-Yaqut al-Nafis menyebutkan:

وَ يُجْزِئُ نِيءٌ غَيْرُ تَافِهٍ مِن لَحْمِ المُتَطَوَّعِ بِهَا

Iklan

Maksudnya: Sahnya daging korban itu adalah dengan disedekahkan dalam keadaan mentah, apa yang tidak rosak, daripada daging korban yang sunat. (Rujuk Syarh al-Yaqut al-Nafis: 828)

فَلَا يَكْفِى إِعْطَاؤُهُ مَطْبُوخًا وَ لَا قَدِيدًا

Maksudnya: Tidak memadai untuk memberi sedekah daging korban tersebut dalam keadaan sudah dimasak atau sudah dikeringkan (diawet dengan garam). (Rujuk Syarh al-Yaqut al-Nafis: 828)

Semoga panduan yang dikongsikan ini memberikan manfaat dan merungkai kekeliruan terutama dalam hal berkaitan ibadah korban.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 1, 2, 3, 4

Kredit foto utama: Freepik

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!