MENERUSI satu temu bual yang dibuat oleh sebuah akhbar tempatan, salah seorang bekas pesakit yang dijangkiti wabak Covid-19 berkongsi bahawa individu yang dijangkiti wabak tersebut perlulah bersikap tenang dan sentiasa positif untuk kembali sihat.

Individu tersebut yang merupakan Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia, Ariffin Mamat, menyifatkan pesakit masih boleh sembuh walaupun belum ada vaksin bagi mencegah wabak berkenaan.

“Penyakit ini masih boleh dirawat jika individu terbabit sebelum itu mengamalkan gaya hidup sihat.

“Wabak Covid-19 memberi tanda awal seperti selsema. Badan kita sendiri boleh melawan kuman itu. Jadi, untuk diri kita melawan kuman, minda perlu positif dan kita kena ada harapan sembuh, jangan berputus asa.

“Kita jangan rasa sedih, takut dan menggunakan masa dengan sebaik mungkin dengan tidur yang cukup. Sebenarnya, apabila badan kita kuat dan menjaga kesihatan sebelum itu, kita akan mudah melawan penyakit,” katanya berkongsi pengalaman ketika ditemu bual dalam sebuah program berkaitan COVID-19, semalam.

Ariffin disahkan positif Covid-19 pada 5 Mac lalu dan terpaksa dikuarantin di Hospital Sungai Buloh bagi mendapat rawatan kesihatan, sebelum disahkan bebas daripada virus itu beberapa hari lalu.

Beliau berkata, dirinya tidak ada simptom seperti demam teruk dan selsema, namun doktor mengesahkan positif Covid-19 disebabkan ada berhubung rapat dengan individu yang lebih awal disahkan positif.

Iklan

Katanya, beliau juga tidak diberikan ubat khusus merawat Covid-19 oleh hospital, sebaliknya hanya mendapat rawatan daripada simptom batuk yang dialaminya.

“Saya sebenarnya tidak ada simptom, hanya batuk sikit-sikit. Kami (pesakit) ditempatkan di satu bilik dihuni empat orang, semua positif. Setiap orang ada simptom masing-masing, ada demam dan batuk.

Iklan

“Ubat yang diberi hanya untuk melawan (memulihkan) simptom (seperti batuk). Jadi badan kita kena kuat dari segi mental, emosi supaya kita positif dan kuat melawan virus ini. Virus tidak mahu ada dalam badan apabila kita kuat,” katanya.

Beliau sebelum itu hadir dua kali ke hospital untuk mendapatkan pengesahan sama ada dirinya positif Covid-19 atau tidak dan hanya tahu selepas sampel diuji makmal.