Pengusaha bas sekolah kini jadi pemandu lori, terkesan akibat Covid-19

Pengusaha bas sekolah kini jadi pemandu lori, terkesan akibat Covid-19
Pengusaha bas sekolah kini jadi pemandu lori, terkesan akibat Covid-19
A
A
A

PENGUSAHA bas sekolah yang beroperasi di sepanjang Jalan Dato Mohd Musa/Jalan Muara Tuang, Kota Samaran, Sarawak, mendakwa telah terjejas teruk akibat penularan pandemik Covid-19.

Memetik laporan portal media tempatan, jurucakap kumpulan itu, Jimmy Holiday Ambang berkata, mereka tidak dapat meneruskan operasi kerana dibebani pelbagai kos yang menyaksikan rata-rata pengusaha bas terpaksa mengeluarkan purata belanja antara RM1,000 hingga RM1,500 sebulan untuk menjaga kenderaan mereka meskipun sepanjang tempoh sekolah ditutup iaitu sejak Mac lepas.

Sejak sekolah ditutup sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada Mac 2020 dan dibuka semula pada Julai lepas, terdapat penurunan ketara dalam jumlah pelajar yang menaiki bas sekolah.

“Kami tidak dapat mencari wang, apatah lagi menyimpannya. Simpanan yang ada pun sudah habis,” katanya.

Presiden Habitat untuk Program Asli dan Bandar (Hidup) George Young Si Ricord Jr, yang dihubungi pengusaha bas terbabit untuk mengetengahkan masalah mereka berkata, pihak berkuasa negeri dapat membantu kumpulan itu dengan memberi bayaran sekali bayar kepada mereka sebanyak RM1,200 atau bantuan kewangan lain sehingga sekolah dibuka semula pada Mac 2021.

Beliau juga meminta moratorium bagi pembayaran pinjaman bank atau syarikat pemberi pinjam wang dipanjangkan kepada kesemua pengusaha ini serta menggesa pihak berkuasa memberi layanan yang sama kepada mereka seperti yang diterima oleh pemandu teksi dan perkhidmatan e-hailing.

George berkata, pengusaha bas sekolah turut meminta Puspakom melonggarkan syarat pemeriksaan kenderaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan kerana kos bagi tujuan itu membebankan mereka.

Katanya sesetengah pengusaha bas sekolah kini terpaksa menjadi pemandu lori untuk menyara hidup dan meskipun sekolah ditutup, sesetengahnya masih perlu membayar gaji kepada pemandu serta mencarum kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

Beliau juga berharap program subsidi gaji di bawah Perkeso boleh dipanjangkan kepada pengusaha bas terbabit memandangkan kebanyakannya mempunyai anak yang masih bersekolah atau belajar di kolej namun kerana tidak memperoleh pendapatan sejak Mac 2020, mereka terpaksa bertahan dengan simpanan yang sedikit.

BERNAMA

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca