PENANGAN wabak Covid-19 kini benar-benar membimbangkan. Terdapat beberapa negara yang mula melaksanakan dasar tutup pintu untuk keluar masuk bagi mengawal penyebaran wabak itu.

Tidak kurang juga negara seperti di Wuhan, China dan Itali yang sudah mula melaksanakan ‘perintah berkurung’ bagi membendung gejala jangkitan menakutkan Covid-19.

Ya, wabak berkenaan kini mengundang pelbagai natijah. Yang pasti, impak pandemiknya ibarat tamparan hebat terhadap kegiatan ekonomi dan kegiatan perniagaan yang menjadi semakin lembap.

Hendak ‘cari makan’ atau keluar bekerja juga perlu berjaga-jaga.

Pun demikian, Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Muzaffar Syah Mallow atau Dr Muzaffar menegaskan, pihak pengurusan tempat kerja dalam negara kita sama ada di sektor kerajaan ataupun di sektor swasta perlulah prihatin.

Majikan juga perlu bertanggungjawab memastikan dengan sedaya upaya supaya tahap kesihatan dan keselamatan semua pekerja mereka di tempat kerja adalah terjaga dan terjamin.

“Pihak pengurusan di tempat kerja perlu juga memastikan semua pekerja mereka tidak terdedah dengan sebarang jenis bahan-bahan pencemaran berbahaya dan sebarang jenis penyakit berjangkit yang sedang merebak pada masa kini.

“Wabak ini misalnya boleh menjejaskan tahap kesihatan dan keselamatan diri pekerja, keluarga dan orang sekeliling. Covid-19 yang sedang melanda di beberapa buah negara dunia termasuklah di Malaysia pada ketika ini,” katanya dalam kenyataan kepada Sinar Plus baru-baru ini.

Dr Muzaffar

Menurut beliau, keprihatinan pihak berkenaan penting memandangkan pada masa ini lebih 100,000 orang telah dilaporkan dijangkiti dengan virus terbabit dan beribu-ribu jumlah kematian yang telah dilaporkan akibat jangkitan virus berkenaan dari serata dunia.

Tegasnya, apa yang lebih menakutkan ramai pihak ialah tiadanya vaksin khusus pada masa kini yang boleh digunakan bagi mengatasi masalah virus berbahaya itu dengan segera.

Golongan warga emas serta individu yang mengalami masalah kesihatan yang kronik lebih berisiko tinggi mengalami kesan teruk akibat daripada jangkitan virus terbabit.

“Memandangkan virus berkenaan adalah berbahaya, adalah menjadi tanggungjawab utama pihak pengurusan tempat kerja di semua sektor untuk memastikan semua pekerja mereka tidak terdedah dengan sebarang risiko yang boleh menjejaskan tahap kesihatan dan keselamatan semua pekerja mereka.

“Pihak pengurusan tempat kerja perlu memastikan keadaan persekitaran di tempat kerja berada dalam keadaan yang sihat dan selamat untuk semua pekerja. Pihak pengurusan tempat kerja juga perlu mengambil kira tahap risiko yang perlu dihadapi oleh semua pekerja mereka yang perlu bergerak untuk ke tempat kerja dari rumah.

“Sekiranya keadaan persekitaran pada masa kini didapati tidak sihat dan selamat, maka pihak pengurusan tempat kerja perlu mengambil sebarang langkah yang sewajarnya. Lindungi semua pekerja mereka daripada terdedah dengan sebarang jenis masalah yang boleh membawa bahaya kepada diri semua pekerja mereka. Ini termasuklah dengan masalah jangkitan virus yang sedang berlaku pada masa kini,” katanya.

Tidak perlu kehadiran fizikal

Menurut Dr Muzaffar, pihak pengurusan tempat kerja boleh memberi pertimbangan untuk melaksanakan sepenuhnya sistem bekerja waktu kerja anjal ataupun waktu kerja secara fleksibel kepada semua pekerja mereka.

Pelaksanakan sepenuhnya sistem waktu kerja anjal atau fleksibel itu akan membenarkan para pekerja mereka melakukan atau melaksanakan tugasan tanpa perlu hadir secara fizikal ke tempat kerja.

“Sekiranya pekerja terpaksa bergerak untuk ke tempat kerja setiap hari, ia boleh mendedahkan pekerja kepada risiko jangkitan virus berkenaan melalui proses sentuhan, penyebaran melalui udara serta jangkitan secara langsung daripada individu yang telah dijangkiti dengan virus terbabit,” katanya.

Iklan

Ujar beliau, dengan kemunculan pelbagai jenis teknologi moden pada masa kini, banyak tugasan dapat dilaksanakan dengan lebih mudah serta cepat tanpa memerlukan banyak kerahan tenaga serta pembaziran masa untuk bergerak ke banyak lokasi.

Kemunculan pelbagai jenis teknologi moden pada masa kini memberi banyak kemudahan kepada para pekerja untuk menjalankan kerja mereka dari mana-mana tempat atau lokasi yang difikirkan sesuai dan selamat tanpa perlu keluar rumah atau bergerak ke banyak tempat.

“Perlu diketahui, sistem waktu kerja anjal ataupun fleksibel ini tidak hanya meliputi kemudahan bekerja fleksibel dari sudut tempoh waktu bekerja, malah ia juga boleh meliputi kemudahan fleksibel untuk bekerja di beberapa tempat atau lokasi yang berbeza tanpa perlu bergerak ke ataupun berada di satu tempat atau lokasi yang sama sahaja.

“Pada bulan Mac 2015 yang lalu, pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan sistem aturan kerja anjal ataupun fleksibel ini. Sistem aturan kerja anjal ataupun fleksibel yang diperkenalkan terbabit terbahagi kepada tiga kaedah iaitu Bekerja dari Rumah (BDR), masa kerja anjal (Flexible Working Hours) (FWH) dan waktu bekerja mingguan yang diubah suai (Modified Compressed Work Week) (Mod-Week),” katanya.

Menurut beliau, tiga kaedah bekerja berkenaan telah mendapat banyak maklum balas positif daripada banyak pihak.

Jelas Dr Muzaffar, konsep sistem kerja anjal atau fleksibel itu juga sebenarnya sudah lama diamalkan di negara-negara maju. Bekerja dari rumah atau lebih juga dikenali sebagai Small Office Home Office (SOHO) bukanlah satu perkara perkara asing didalam dunia moden kini.

Iklan

Ia semakin diterima masyarakat, lebih-lebih lagi dengan perkembangan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) pada masa kini.

Tumpuan penuh

Kongsi pensyarah muda itu lagi, banyak manfaat yang dapat diperoleh dengan melaksanakan sistem aturan kerja yang baru sedemikian.

Peningkatan tahap produktiviti para pekerja, peningkatan tahap kesihatan dan keselamatan para pekerja, serta yang paling penting tumpuan penuh yang dapat diberikan oleh para pekerja berkenaan terhadap keluarga masing-masing di rumah khususnya proses pemantauan anak-anak tanpa menjejaskan tanggungjawab terhadap pekerjaan mereka.

“Oleh yang demikian, adalah disarankan supaya para majikan dalam negara kita sama ada di sektor awam mahupun di sektor swasta dalam negara untuk memberi pertimbangan dengan serius bagi melaksanakan sistem aturan kerja anjal ataupun fleksibel itu dengan sepenuhnya di tempat kerja mereka.

“Hal itu bagi melahirkan pekerja yang lebih gembira, berproduktiviti, sihat, selamat serta yang paling penting dapat membantu para pekerja mereka menghadapi keadaan kecemasan ataupun keadaan luar jangkaan seperti suasana jerebu yang sering berlaku dalam negara kita serta di kala menghadapi risiko bahaya seperti penularan penyakit berjangkit berbahaya Covid-19 yang sedang berlaku pada ketika ini,” ungkapnya.