MARAH. Satu ungkapan mudah yang kadangkala boleh dijadikan sebagai bahan jenaka, tetapi pada masa sama perasaan marah itu juga mampu mengundang banyak keburukan.

Jika anda seorang peminat filem Melayu klasik, dialog yang dilontarkan oleh Seniman Negara, Allahyarham Tan Sri P.Ramlee dalam filem Tiga Abdul: “Ayahanda jangan marah nanti kena jual” dan “Ayahanda marah tak?”.

Secara ringkasnya, kedua-dua dialog filem tersebut memberi gambaran apa yang akan berlaku kepada individu terbabit sekiranya mereka gagal mengawal perasaan marah.

Bermula dengan rasa tidak puas hati, maka tercetuslah dendam sehinggakan ada yang sanggup bertindak di luar jangkaan seperti membunuh.

Sekiranya kita lihat semula, perkara itu berpunca hanya kerana kegagalan individu terbabit mengawal perasaan marah.

Malah, Rasulullah SAW berkata dalam sabdanya:”Sesungguhnya syaitan menyusup dalam diri manusia melalui aliran darah”. (HR Bukhari 3281 dan Muslim 2175)

Disebabkan itu, apabila seseorang itu berada dalam keadaan marah, sangat mudah buat mereka untuk mengeluarkan kata-kata nista dan bertindak mengikut emosi.

Justeru, SinarPlus ingin kongsikan cara bagaimana untuk mengawal kemarahan dan diharapkan dapat membantu anda agar lebih bersabar dalam mengharungi dugaan:

1. Ubah posisi

Apabila sedang marah, tekanan darah akan menjadi tidak teratur sehingga menyebabkan kadar degupan jantung bergerak pantas manakala pernafasan pula berubah menjadi laju.

Dalam keadaan begitu, sebaiknya kita untuk menukar posisi dari duduk kepada berdiri atau berbaring. Pejamkan mata seketika dan menarik nafas, tahan kemudian hembuskan.

Lakukan teknik penafasan itu sebanyak lima atau enam kali.

2. Berwuduk

Seperti mana yang diperkatakan tadi, syaitan itu bergerak menerusi aliran darah dalam badan. Malah, syaitan juga diciptakan daripada api yang sememangnya menjadi salah satu simbol kepada ‘api’ kemarahan.

Oleh itu, sekiranya perasaan marah itu dirasakan sudah tidak mampu dibendung, ambillah wuduk dan lakukanlah solat sunat dua rakaat.

Iklan

3. Berdiam diri

Apabila berada dalam keadaan marah, cubalah untuk mendiamkan diri. Memang benar perkara tersebut nyata sukar untuk dilakukan, tetapi berilah masa kepada diri sendiri untuk bertenang.

Setelah tempoh bertenang, pemikiran rasional itu akan kembali sekali gus membuka ruang untuk mencari jalan penyelesaian masalah.

4. Buangkan sifat negatif

Cuba didik diri untuk tidak terlalu melihat setiap permasalahan itu sebagai halangan. Apabila berlakunya masalah, kita seharusnya tidak memberi fokus kepada hal tersebut sehingga menyebabkan tekanan perasaan.

Iklan

Tekanan yang dirasai itu secara tidak langsung memudahkan perasaan marah untuk mendominasi diri. Oleh itu, cuba untuk lebih kreatif dalam melihat masalah kerana ia dapat membantu untuk membendung perasaan marah.

Secara kesimpulannya cara terbaik untuk mengatasi kemarahan itu ialah dengan bersabar. Hal ini kerana Rasulullah SAW bersabda: “Bukannya kuat (kerana dapat mengalahkan orang) dengan bergaduh, tetapi kekuatan sebenarnya ialah orang yang dapat mengawal dirinya ketika marah.” (HR Bukhari 5649)

Oleh itu, diharapkan perkongsian ini dapat memberi inspirasi untuk menjadi individu yang lebih bersabar dan rasional dalam melakukan tindakan.

 

Nota: Marilah kita bersama-sama memutuskan rantaian Covid-19 dengan cara duduk di rumah. Sekiranya terdapat urusan penting di luar, pakai pelitup muka, gunakan sanitasi tangan dan jaga jarak sosial 1 meter. Ingat! silap langkah membawa padah. #kitaharungibersama #kitajagakita