PENINGKATAN secara mendadak pembelian peralatan elektrik oleh pengguna secara dalam talian sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu menimbulkan kerisauan sesetengah pihak kerana peralatan elektrik yang tidak mempunyai logo kelulusan SIRIM-ST dikhuatiri mengundang padah.

Perlu diingat, setiap produk yang diluluskan oleh SIRIM adalah untuk mengelakkan risiko terkena renjatan elektrik, apa juga bahaya yang berkaitan dengan sumber tenaga, bahaya yang berkaitan dengan kepanasan dan kebakaran, bahaya yang berkaitan dengan bahan mekanikal, serta bahaya yang berkaitan dengan radiasi dan kimia. Bak kata, bahaya yang boleh membahayakan hidup anda dan keluarga.

Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menyifatkan peralatan elektrik yang tiada logo SIRIM-ST ibarat bom jangka yang sangat berbahaya kepada pengguna kerana pada bila-bila masa ia boleh mengakibatkan litar pintas.

“Hal ini adalah kerana barangan tersebut tidak melalui ujian ketahanan dan keselamatan mengikut piawaian keselamatan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

FOMCA mengingatkan pengguna untuk membuat semakan logo SIRIM-ST pada peralatan dan wayar penyambung terlebih dahulu sebelum membeli.

“Telah menjadi trend pembelian panik sebiji air fryer. Semenjak PKP berkuat kuasa, setiap rumah mesti ada sebiji air fryer atau mungkin lebih dari satu!

Iklan

“Bukan sahaja air fryer malah kelengkapan peralatan elektrik untuk membuat kek atau kuih juga turut menjadi kelengkapan asas bagi pengguna yang mula bekerja dari rumah,” menurut FOMCA.

Iklan

FOMCA memberitahu pada tahun 2018 didapati sebanyak 58 peratus peralatan elektrik tidak mempunyai logo kelulusan SIRIM-ST.

Untuk mengetahui lebih lanjut, anda juga boleh layari SIRIM QAS International atau anda juga boleh memuat turun aplikasi SIRIM ke telefon pintar anda di App Store dan Google Play Store.