UMUM sedia tahu, bermula 10 Jun ini Malaysia sedang dalam fasa pemulihan daripada wabak pandemik Covid-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bermula 10 Jun maka bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang mana pelbagai peraturan sebelum ini tidak dibenarkan telah mendapat kebenaran.

Bermula 10 Jun juga orang ramai telah dibenarkan untuk merentas negeri sama ada pulang ke kampung atau menjalankan aktiviti harian seperti sebelum ini.

SinarPlus percaya ramai yang mula merancang perjalanan untuk pulang ke kampung tambahan kita masih lagi dalam bulan Syawal.

Plus Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan jumlah trafik harian melonjak sehingga 15 peratus mulai esok, susulan keputusan kerajaan membuka lebih banyak sektor ekonomi dan membenarkan pergerakan rentas negeri dalam tempoh PKPP nanti.

Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail berkata, unjuran itu berdasarkan catatan jumlah trafik harian sejak 4 Mei sehingga minggu terakhir Ramadan, yang menjangkau lebih sejuta kenderaan pada hari bekerja biasa dan meningkat dengan stabil ketika negara masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Dengan kenaikan yang stabil sejak 1 Jun, PLUS menjangkakan jumlah trafik melonjak antara 10 hingga 15 peratus setiap hari, bermula pada minggu pertama PKPP pada 12, 13, dan 14 Jun ini. PLUS yakin berupaya mengendalikan jumlah trafik sepanjang tempoh PKPP.

“Di bawah PKPP, kebanyakan gerai makanan (termasuk tempat makan) di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) akan beroperasi mulai 15 Jun dan pelanggan berpeluang untuk menjamu selera di R&R, sambil mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Semua perkhidmatan Food Truck akan turut beroperasi di R&R dan hentian sebelah terpilih mulai 15 Jun. Bagaimanapun, kemudahan bersolat di surau masih tidak dibuka sehingga satu tarikh yang akan diumumkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan

Azman turut menyatakan sebelum penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas, kadar trafik harian PLUS adalah sebanyak 1.6 juta kenderaan sehari, dan jumlah itu meningkat kepada dua juta sehari pada musim-musim perayaan.

Selain itu beliau berkata, bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19, pengendali lebuh raya itu memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) sejak pelaksanaan PKP, iaitu sentiasa membersih dan menyelenggara kawasan R&R, hentian sebelah dan plaza tol.

Pengguna lebuh raya juga perlu merancang perjalanan dengan betul dan bijak.

Iklan

PLUS turut menyediakan penanda jarak sosial bagi laluan menghala ke tandas awam, untuk memberi peringatan keselamatan kepada pelanggan lebuh raya termasuk peringatan mengelak aktiviti berkumpul di R&R.

Untuk maklumat lanjut, pengguna boleh melayari laman sesawang PLUS di www.plus.com.my atau menghubungi talian PLUSLine 1800 88 0000.