SELAIN daripada KJ, ramai lagi barisan menteri turut mendapat perhatian netizen selepas pembentangan kabinet kerajaan baharu, Perikatan Nasional (PN) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

Seperti dijangka, timbul pelbagai versi pandangan masyarakat terhadap barisan menteri baharu ini. Salah seorang daripadanya adalah Menteri Alam Sekitar, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Seorang penyokong Pakatan Harapan, Iswardy Morni mempersoalkan sama ada Menteri Alam Sekitar baru itu mampu berbahasa Inggeris.

Menerusi video yang tular di media sosial dia mendakwa tidak pernah menyaksikan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menggunakan bahasa itu.

“Saya tertarik hendak tahu macam mana dia cakap orang putih. Saya tak pernah dengar Tuan Ibrahim ini cakap orang putih.

“Jadi hendak tahu juga macam mana dia cakap orang putih,” katanya.

Persoalan tersebut mendapat perhatian ramai masyarakat termasuk bekas pelajar menteri itu sendiri yang dikenali sebagai Suhaili Baharudin di laman facebooknya.

Suhaili memuat naik status bercerita pengalamannya sewaktu menjadi pelajar di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Ikuti perkongsiannya yang menggelar dirinya sebagai Kak Eli:

Kak Eli tak minat nak cerita pasal politik. Sekadar ambil tahu yang terkini pastu dah. Tapi semalam terbaca orang mengutuk ustaz den ni di Facebook. Menabur cerita dia tak pandai English la itu ini, tak boleh buat kerja la.

Dia lecturer kami di UiTM. Tolong faham yang bahasa penghantar dan bahasa utama kami di universiti itu adalah English. Semua subjek mesti English. Sebab itulah zaman tu produk UiTM ni kalau grad senang dapat kerja. Sebab kualiti InsyaALLAH. (saja nak bongkak sikit dengan uni aku ni haha)

Dia mengajar Kak Eli di semester pertama. Umur baru 18 dan kami semua masih dalam mood remaja yang sedang menggila. Bertudung tapi keluar jambul, baju merepek-repek dan entah macam-macam pesen lagi.

Kalau time dia masuk kelas, kami sangat teruja sebab dia ada aura tersendiri. Orangnya sangat tenang, bercakap tu penuh hikmah dan kelakar juga. Kadang-kadang kami fikir dia ni boleh tengok orang sebab selalu sangat apa yang dia teka tu betul.

Kau tahu tak risaunya kami ni sampai kalau dia masuk kelas, kami akan tutup dahi dengan tudung bukan main beria hahah sebab masa tu kami fikir ustaz boleh baca dahi kami.

Pernah tengah-tengah belajar tu dia berdiri dekat white board tiba-tiba tegur,

‘Suhaili, awak orang mana?’

‘Jerantut ustaz.’

Dia diam lama dengan muka yang sangat sukar ditafsir. Masa itu kau berdebar jangan cerita.

‘Suhaili, awak jaga mak awak elok-elok.’

Itu saja ayat mati dia. Tak ada angin tak ada ribut puting beliung dan kau terkesima. Sebab ustaz macam tahu masalah Kak Eli masa itu. Sejak dari itu aku malas dah duduk depan time dia mengajar. Karang keluar pulak segala rahsia terpendam ni haha seram hoi.

Iklan

Kadang tengah syok belajar tu dia tiba-tiba je dia akan sebut nama orang dalam kelas dan cakap sesuatu yang related dengan kehidupan kita, yang mana tak ada seorang pun dalam kelas tu tahu. Walaupun sesama kawan-kawan.

Dia takkan merendah-rendahkan student dia, orangnya kelakar dan berhemah. Sentiasa kemas dan segak terutama bila berbaju Melayu. Kau tahu dia bukan biasa-biasa bila berdiri depan dia. Oh paling best dalam kelas sebab dia suka bercerita tentang kehidupan.

Apa saja tentang pelajaran, sejarah atau kehidupan itu kalau di kongsi akan menjadikan student terpesona. Dan kami akan berusaha nak buat yang terbaik. Itu dia.

Selepas belajar ada waktu santai kami mendengar dia bercerita. Pernah sekali beliau cerita yang arwah atuk dia meninggal. Tapi selepas berbelas-belas tahun selepas itu kalau dia balik kampung dan tidur di rumah itu, tengah malam akan terdengar-dengar suara atuk dia mengaji Quran di dalam bilik.

Ya, keluarganya daripada orang yang baik-baik.

Masa itu dia dah mula sibuk dengan politik. Dia keluar dari uiTM dan Kak Eli juga. Entahkan masa itu den dalam keadaan darah muda dan selepas itu apply semula course lain dan diterima semula di uni yang sama. Tapi ustaz aku ni tak masuk balik hahah.

Iklan

Ustaz,

Ustaz adalah antara pendidik kami yang terbaik. Melayan dan menyantuni kami dengan penuh adab dan hikmah. Tak terasa kami berjauhan dengan keluarga menimba ilmu bila bersama dengan ustaz kerana ustaz selalu membawa minda kami mengembara. Yang penting ustaz selalu pesan jagalah ibu dan bapa.

Semua orang tidak sempurna and we’re not perfect either.

Hidup kita ini adalah untuk menuju ke hujung penghidupan. Sama ada kita melakukan sesuatu atau duduk saja tidak melakukan apa-apa, waktu tetap akan berjalan. ❤

Selamat bertugas ustaz.

ANEKDOT

Biodata Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man

Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) Jabatan dan Kepimpinan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Sarjana Dakwah dan Kepimpinan di UKM
Pernah berkhidmat sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford, Kuala Lipis dan bertugas sebagai pensyarah kanan selama 14 tahun di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Jengka, Pahang dan Manjong, Perak.