JIKA sebelum ini kita bebas ke mana-mana dan menjalani rutin harian seperti biasa, buat masa ini semuanya harus akur mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tambahan lagi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan tempoh PKP akan dilanjutkan sehingga 14 April ini. Keputusan yang dibuat oleh pihak kerajaan itu semestinya mendapat pelbagai respon daripada orang ramai.

Namun, apa pun alasan pihak kerajaan, Sinar Plus percaya matlamatnya hanya satu iaitu bagi memutuskan rantaian jangkitan agar jumlah individu yang dijangkiti wabak Covid-19 mampu dikurangkan dan sekali gus dihapuskan.

Pada masa sama, ramai juga yang sedang ‘gila’ jadinya apabila terpaksa ‘berkurung’ di rumah. Mungkin kerana tidak biasa duduk diam di rumah dan ada pula yang sanggup ingkar dengan ‘curi-curi’ keluar untuk melepak dengan kawan-kawan!

Perbuatan tersebut sudah pastinya tidak bertanggungjawab dan menyusahkan ramai pihak termasuk diri sendiri.

Alasan mereka kononnya stres duduk di rumah kerana pergerakan terbatas dan rasa tidak selesa mungkin juga disebabkan persekitaran tempat tinggal mereka itu sendiri.

Maka, bermulalah bermacam kerja dan idea ‘gila’ sehingga ada yang dilihat terlalu melampau dan ada juga yang melepaskan marah mereka kepada anak-anak kerana gagal mengawal emosi.

Kegagalan mengawal aspek ini akhirnya menentukan ke mana hala tekanan itu dilepaskan.

Mungkin ada yang terpaksa bekerja dari rumah sepanjang PKP ni. Bila anak buat bising dan ganggu sikit mulalah hati tu nak naik angin dan nak melenting.

Semua itu berlaku bila kita gagal mengawal emosi dan secara tidak langsung kita akan mengalami tekanan serta berdepan dengan kemurungan.

Pakar Perunding Psikiatri Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Suzaily Wahab berkata, tekanan boleh dielak dengan memikirkan sesuatu secara rasional mengikut kemampuan.

Kata mudahnya berfikir secara positif.

Beliau berkata, tekanan disebabkan gangguan perasaan, apabila seseorang menilai situasi tertentu akan berlaku melebihi daripada keupayaan mereka untuk melaksanakannya.

Iklan

Keadaan sedemikian katanya, menyumbang kepada perubahan fizikal dalam sistem badan terutama meningkatkan degupan jantung dan pernafasan. Kesan segera menyebabkan individu berhadapan situasi tidak stabil

Kegagalan mengawal aspek ini akhirnya menentukan ke mana hala tekanan itu dilepaskan. Lumrah kehidupan tidak dapat lari daripada tekanan, berpunca melalui pelbagai faktor dan lebih parah ia memberi kesan kepada kesihatan mental.

Buruk akibatnya jika seseorang gagal mengawal tekanan, emosi dan perasaan sama ada ketika berdepan dalam situasi atau persekitaran tertentu walaupun di dalam rumah.

Sebelum membarah, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing menjaga tahap tekanan mereka.

Iklan

Cara paling mudah adalah mengamalkan gaya hidup sihat dan melakukan pelbagai aktiviti bersama bagi mengelakkan kebosanan.

Sinar Plus kongsikan kepada anda kesan-kesan kemurungan dan cara atasi tekanan seperti:

Kesan kemurungan:

• Kehilangan atau kenaikan berat badan secara ketara
• Sukar tidur
• Gangguan psikomotor
• Keletihan
• Ketidakupayaan menumpukan perhatian
• Sedih keterlaluan

Cara atasi tekanan

• Bersenam dengan kerap
• Amal gaya hidup sihat
• Latih merehatkan diri
• Saling berkomunikasi
• Memberi keutamaan mengikut kepentingan
• Lakukan aktiviti yang menyeronokkan bersama keluarga