KESATUAN Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mempersoalkan motif seorang wanita yang mempertikai guru tidak mengawal dan memantau pelajar selepas waktu sekolah, seperti disiarkan sebuah akhbar tempatan yang kemudian tular di media sosial.

Menerusi artikel ditulis Izyan Qistina Qusairi, turut disertakan gambar beberapa pelajar berjalan beriringan di luar pagar sekolah tanpa kelibat guru.

Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock menerusi kenyataan hari ini mempertikaikan masa gambar tersebut diambil iaitu setelah lama pelajar dilepaskan dan tidak berebut meninggalkan sekolah.

Justeru, katanya, tidak adil sekiranya guru dihakimi hanya melalui gambar tersebut kerana tugas guru menjaga pelajar telah tamat apabila semua urusan di sekolah selesai dilaksanakan.

KESATUAN Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mempersoalkan motif seorang wanita yang mempertikai guru tidak mengawal dan memantau pelajar selepas waktu sekolah, seperti disiarkan sebuah akhbar tempatan yang kemudian tular di media sosial.

 

Iklan

“Urusan antara guru dan pelajar hanya bermula di pintu pagar utama dan berakhir di tempat yang sama mengikut waktu yang telah ditetapkan.

“Justeru, NUTP ingin bertanya kepada masyarakat, di manakah ibu bapa yang sepatutnya membawa anak-anak mereka pulang dan bukan melepaskan tanggungjawab tersebut kepada guru sahaja?,” katanya.

Beliau berkata, tugas guru bermula sebelum fajar menyinsing iaitu berdiri dan menyambut kedatangan pelajar, memastikan suhu badan diambil setiap hari mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Guru juga, katanya, memastikan pelajar berada dalam keadaan selesa di bilik darjah, selain merupakan individu yang sentiasa memberi dorongan, galakan dan peringatan kepada murid.

Iklan

Persoal dan mempertikai guru tidak memantau pelajar selepas waktu sekolah tidak wajar - NUTP

“Semasa Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) rancak berjalan, guru menyelesaikan beberapa perkara penting seperti kes ponteng, disiplin pelajar, pelajar berkeliaran di sekolah, kes curi dan Iain-Iain lagi.

“Namun tugas tersebut tidak hanya berhenti di situ, guru turut membuat persediaan menyambut kedatangan orang kenamaan, pegawai dari kementerian, membaiki kerosakan di tandas, bumbung sekolah dan menjaga perihal kantin dan pelbagai lagi hanya untuk memastikan keselesaan dan keselamatan pelajar ketika berada di sekolah.

“Apabila tamat waktu persekolahan, guru yang dilantik untuk bertugas perlu berada di pagar sekolah bagi memastikan pelajar berjalan dan melintas jalan raya dengan selamat dan menenangkan keadaan apabila pelajar bergegas hendak pulang dari sekolah,” katanya.

Berikut adalah artikel asal yang ditulis oleh Izyan Qistina yang diterbitkan oleh akhbar tempatan baru-baru ini :

SAUDARA PENGARANG,

Penularan pandemik Covid-19 masih belum berakhir, malah angka jangkitan semakin meningkat sejak kebelakangan ini sekali gus amat merisaukan.

Walaupun tiada tanda untuk pulih, orang ramai tetap mengambil kesempatan untuk bercuti di dalam negara.

Ya, ia amat bagus dalam membantu ekonomi untuk pulih, namun apa yang dirisaukan adalah kemungkinan virus itu berjangkit amat tinggi terutama melibatkan kanak-kanak.

Apabila di sekolah, kanak-kanak ini bergaul sehingga lupa pesanan untuk menjaga penjarakan sosial dan tidak menyentuh sesama mereka.

Lihat sahaja cara mereka bermain dan berbual selepas tamat sesi persekolahan, langsung tidak akur kepada arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.

Tiada pula kelihatan guru mengawal atau memantau pelajar di luar sekolah yang agak bebas bergaul dan bermain.

Bukan hendak menyalahkan guru yang terbeban dengan tanggungjawab mengajar, namun sekiranya ada pemantauan daripada pihak sekolah, kemungkinan pelajar akan lebih patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

Ini kerana kita tidak pasti pergaulan pelajar di luar sekolah, ke mana mereka pergi dan berjumpa dengan siapa sekali gus kebolehjangkitan itu amat tinggi.

Justeru, amat penting untuk pihak sekolah sentiasa berwaspada dan meningkatkan peraturan terutama ketika wabak ini masih berada pada tahap merisaukan.

IZYAN QISTINA QUSAIRI