BILA kita nak cuba satu resipi baru, mesti tak pandai nak mengagak banyak mana bahan perasa yang perlu dimasukkan. Lagi-lagi garam.

Jika terkurang tak apa boleh ditambah tapi jika terlebih kan dah mula panik tak tahu nak buat apa. Paling tidak mesti tambah air tapi pasti cair pula jadi kuahnya.

Jangan risau, ada beberapa cara untuk anda selamatkan lauk tersebut dan membetulkan rasa masakan supaya tidak terlalu masin. Bahan-bahannya juga mudah untuk dicari di dapur.

1.Pelepah pisang

Pelepah pisang merupakan salah satu bahan yang boleh seimbangkan semula rasa pada masakan yang terlebih masin.

Sediakan saiz kecil potongan pelepah ini, lalu masukkan ke dalam masakan anda dan biarkan hingga mendidih. Kemudian buang pelepah ini bila hendak menghidang.

2.Kentang

Potong ubi kentang dengan potongan dadu kemudian masukkan ke dalam masakan dan biarkan sehingga ubi kentang empuk. Selain dapat mengurangkan rasa masin, secara tidak langsung anda telah menambahkan lauk ke dalam masakan anda.

Jika tiada ubi kentang, boleh juga guna sayur-sayuran yang mempunyai kandungan air yang banyak seperti timun dan terung.

3.Imbangkan rasa manis dan masam

Boleh gunakan perasa lain untuk meneutralkan kembali rasa makanan. Tambahkan sesudu gula, kacaukan dan kemudian tambahkan sesudu perasa masam seperti cuka atau perahan limau nipis.

Boleh ulang beberapa kali sehingga mencapai rasa yang diinginkan. Boleh juga cuba untuk memekatkan kuah lagi dengan cara menambah santan sehingga cukup rasa.

Iklan

4.Beras

Sediakan sehelai kain nipis kemudian masukkan segenggam beras dan ikatkan seperti sup bunjut. Lalu anda bolehlah masukkan ke dalam masakan anda. Beras ini akan menyerap lebihan rasa masin dan bila rasa masakan itu sudah mula seimbang, bolehlah keluarkan bunjut beras tersebut.

5.Hampas kelapa

Dengan teknik yang sama seperti membuat bunjut beras, anda boleh ambil sejemput hampas kelapa ikatkan supaya menjadi bunjut. Masukkan bunjut ke dalam lauk dan masak bersama dalam 15 ke 20 minit.

Iklan

Bunjut hampas kelapa dapat membantu membuang rasa masin berlebihan dan turut memberi rasa lemak pada lauk. Kemudian, boleh keluarkan bunjut tadi dari lauk.

Jadi untuk mereka yang sering kurang yakin untuk mengagak bahan perasa yang perlu dimasukkan ke dalam masakan bolehlah cuba cara-cara ini.

Jangan mudah panik dan jangan putus asa bila masakan yang dimasak tidak jadi seperti yang diinginkan. Semoga bermanfaat.

PENULIS: NURUL ADRIANA
FOTO: YOURTANGO, CANVA