BEBERAPA hari lalu, tular mengenai pewarna merah yang terdapat pada makanan dan kosmetik adalah berpunca daripada serangga yang bernama cochineal.

Rata-rata daripada mereka meluahkan rasa takut dan bakal ‘menolak’ makanan yang mengandungi sumber itu.

Namun, adakah semua makanan dan kosmetik yang berwarna merah diperoleh daripada serangga itu?

Merungkai mengenainya, SinarPlus berkongsi pandangan daripada Pensyarah Quest International University, Dr Maisara Shahrom Raja Shahrom.

Tulisnya dalam Facebook, serangga cochineal menghasilkan pigmen yang berwarna merah tua, carmine yang dipanggil asid karminik (carminic acid) yang disimpan di dalam usus mereka dengan tujuan untuk menangkis pemangsa.

“Untuk menghasilkan pewarna merah, serangga cochineal ini akan diekstrak dengan dikeringkan, digesek dan dihancurkan menjadi serbuk.

SERANGGA cochineal.

“Serbuk ini akan menghasilkan warna merah tua apabila dicampurkan dengan air,” terangnya.

Sebenarnya, Di Amerika Syarikat, pewarna carmine diklasifikasikan sebagai pewarna yang dikecualikan daripada pensijilan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA).

Di Eropah pula, carmine yang digunakan dalam makanan disenaraikan sebagai cochineal, asid carminic atau natural red number 4 dan ditetapkan sebagai E-120 dalam senarai aditif yang diluluskan.

“Kegunaan makanan yang menggunakan carmine termasuklah daging diproses (sosej), daging ketam tiruan, kek, pastri dan yogurt. Selain itu, pewarna carmine juga terdapat dalam gincu, cat, dakwat dan jus,” maklumnya.

Bagaimanapun, beritahu Dr Maisara, bukanlah semua pewarna merah menggunakan pewarna carmine.

“Ini kerana terdapat dua kategori pewarna iaitu pewarna tiruan dan pewarna semula jadi.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

“Pewarna tiruan boleh dihasilkan seperti pewarna Azo yang sangat stabil dan tahan daya haba. Namun begitu, kajian menunjukkan beberapa pewarna Azo adalah bersifat karsinogenik yang sangat bahaya pada kesihatan.

“Sebaliknya, pewarna semula jadi pula boleh didapati daripada pelbagai sumber tumbuhan dan haiwan seperti anthocyanins yang boleh didapati daripada sumber sayur kubis merah dan beri, betalain daripada sumber ubi bit (beetroot), carotenoids diperoleh daripada sumber lobak, tomato dan oren,” jelasnya.

Namun begitu, pewarna-pewarna tersebut jarang digunakan kerana ian tidak begitu stabil.

“Kehadiran suhu yang tinggi, oksigen, cahaya dan perubahan nilai pH boleh memecahkan warna merah tersebut.

“Ini berbeza dengan pewarna merah carmine. Ia sering digunakan kerana sangat stabil pada julat pH yang luas (3.5 hingga 8) dan juga mempunyai kestabilan haba, cahaya dan oksidasi yang sangat baik,” ujarnya.

Adakah pewarna carmine ini HALAL?

Merujuk kepada standard yang ditetapkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam, Malaysia, mereka berpendapat bahawa serangga cochineal adalah tidak berbahaya dan sebarang bahan pewarna yang dihasilkan daripadanya boleh digunakan oleh manusia.

Iklan

Dari segi undang-undang, Peraturan Makanan 1985 ada menyatakan bahawa pewarna carmine dibenarkan, berdasarkan Amalan Pengilangan Baik (GMP).

Namun begitu, ekstrak cochineal atau asid carminic dalam makanan dan minuman boleh memulakan atau mencetuskan tindak balas alahan pada sesetengah individu.

Antaranya boleh mencetuskan tindak balas hipersensitiviti akut seperti angioedema (pembengkakan kulit), rhinoconjunctivitis dan asma.

Oleh itu, bagi yang mempunyai alahan carmine dan seorang yang vegan, anda perlulah menyemak senarai bahan-bahan pada makanan, minuman dan bahan kosmetik.

Iklan

Jadi, jika anda tergolong dalam kelompok itu, ingat, perhatikan terlebih dahulu jika terdapat carmine atau derivatif carmine iaitu ekstrak cochineal, natural red 4 dan E-120.

Baca juga: Awas jauhi pantai, fenomena air pasang besar landa 4 negeri mulai 4 Nov

Semoga informasi bermanfaat untuk rujukan kita bersama!

Foto geneticliteracyproject.org

Jangan lupa follow kami di Instagram!