BAGI memastikan masyarakat mematuhi prosedur standard operasi (SOP) ditetapkan antaranya tidak merentas daerah dan negeri pihak polis ambil inisiatif menjalankan pemantauan di kawasan perumahan.

Pada masa sama, berkolaboratif dengan jiran tetangga sekiranya terdapat jiran sebelah, depan ataupun belakang pulang ke kampung tanpa kebenaran polis.

Maklumat sedemikian diperlukan bagi membolehkan pihak polis mengambil tindakan tegas terhadap individu yang masih berdegil dan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Aidilfitri 2021.

“Polis Perlis juga akan meningkatkan jumlah keanggotaan bagi memastikan pematuhan SOP dan mengambil tindakan tegas terhadap individu di kawasan perumahan, termasuk memperketatkan kawalan di sempadan negeri, stesen bas dan stesen kereta api.”

Demikian kenyataan daripada Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad yang turut memaklumkan bahawa pematuhan SOP di negeri tersebut adalah tinggi sebanyak 98 peratus.

Mengulas mengenai pertambahan kenderaan dikesan di Perlis sejak kebelakangan ini, Surina memberitahu, jumlah direkodkan kira-kira lima peratus dan tahap tidak serius berbanding hari biasa.

Situasi itu berpunca susulan ibu bapa hadir mengambil anak mereka yang menuntut di institusi pengajian tinggi untuk pulang beraya termasuk penduduk dari Kedah yang berulang-alik bekerja di Perlis

Rondaan pematuhan SOP Aidilfitri secara menyeluruh di sekitar Kangar juga sudah bermula hari ini.

Sementelah, pada hari raya nanti rondaan dari rumah ke rumah dilakukan bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP ditetapkan.

Jom kita semak semula SOP Aidilfitri ditetapkan Majlis Keselamatan Negara.

SOP Hari Raya Aidilfitri

TAKBIR RAYA

• Bagi kawasan PKP, PKPB dan PKPP takbir raya di masjid atau surau dibenarkan mengikut ketetapan pihak berkuasa agama negeri. Namun begitu, bagi kawasan PKPD, adalah tidak dibenarkan.

• Amalan takbir dari rumah ke rumah tidak dibenarkan di semua kawasan.

SOLAT SUNAT HARI RAYA

• Bagi kawasan PKP, PKPB dan PKPP, solat sunat Hari Raya Aidilfitri dibenarkan berlangsung di masjid dan surau, namun dengan jumlah kehadiran dan penyertaan jemaah lelaki, wanita dan kanak-kanak mengikut ketetapan pihak berkuasa agama negeri.

• Solat sunat hari raya Aidilfitri di masjid dan surau tidak dibenarkan di kawasan PKPD.

Iklan

• Jamuan selepas solat hari raya di masjid/surau, rumah terbuka hari raya, ziarah tanah perkuburan adalah tidak dibenarkan di kawasan PKP dan PKPD.

• Bagi kawasan PKPB dan PKPP, jamuan selepas solat Hari Raya Aidilfitri di masjid dan surau dibenarkan tertakluk kepada pihak berkuasa agama negeri. Jawatankuasa masjid/surau digalakkan menyediakan juadah secara berbungkus dan diedarkan kepada para jemaah untuk dibawa pulang.

KUNJUNG MENGUNJUNG DAN ZIARAH PERKUBURAN

• Ziarah hari raya bagi kawasan PKP adalah dibenarkan pada 1 Syawal sahaja dengan kehadiran tetamu tidak melebihi 15 orang pada satu-satu masa mengikut saiz rumah dengan penjarakan fizikal.

• Bagi kawasan PKPB dan PKPP adalah dibenarkan pada 1 sehingga 3 Syawal sahaja. Namun begitu bagi kawasan PKPB kehadiran tetamu terhad kepada 20 orang pada satu-satu masa mengikut saiz rumah dengan penjarakan fizikal.
• Bagi kawasan PKPP ziarah hari raya dibenarkan dengan kehadiran tetamu tidak melebihi 25 orang pada satu-satu masa mengikut saiz rumah dengan penjarakan fizikal.
• Dalam memastikan penularan wabak terkawal, tuan rumah digalakkan menyediakan alat pengimbas suhu badan, menggunakan QR Code MySejahtera atau menyediakan buku bagi mencatatkan nama dan nombor telefon tetamu.
• Ziarah tanah kubur dibenarkan bagi kawasan PKPB dan PKPP dengan syarat had tidak melebihi enam orang bagi satu lot/petak kubur serta tidak lebih daripada 30 minit.
• Ziarah tanah kubur bagi kawasan PKP dan PKPD adalah tidak dibenarkan.
• Bagi kawasan PKPD, sambutan Hari Raya Aidilfitiri hanya dibenarkan dalam kalangan ahli keluarga dari rumah sama sahaja. Ini bermakna mereka tidak dibenarkan keluar rumah untuk amalan kunjung mengunjung.
• Penganjuran sebarang majlis/ rumah terbuka hari raya bagi semua kawasan adalah tidak dibenarkan.

Iklan

Diharapkan korang menjalankan tanggungjawab melaporkan sekiranya jiran sebelah melanggar SOP tau.

Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

Usah jadikan hari raya yang bakal diraikan beberapa hari lagi menjadi penyebab peningkatan kluster baharu. #kitajagakita