PKP didik orang ramai guna sistem cashless
KETIKA Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 yang bermula 18 Mac lalu, rutin harian orang ramai dalam segenap aspek termasuklah dalam urusan perbelanjaan keperluan harian turut dirasakan terjejas berikutan terbatasnya pergerakan.
Namun hari demi hari berlalu, transaksi tanpa tunai yang suatu ketika dahulu agak asing bagi sesetengah individu, kini mula mendapat tempat dan keterbatasan itu telah memaksa segenap lapisan masyarakat menguasai sepenuhnya semua kemudahan aplikasi tanpa tunai.
Pembayaran secara tunai meskipun masih menjadi antara pilihan segelintir masyarakat, namun ramai yang kini mula selesa dan beralih kepada pembayaran tanpa tunai bagi segala jenis urusan termasuk pembelian barangan, pembayaran bil utiliti, makanan, pembaharuan insurans dan lain-lain, tanpa rasa bimbang.
PKP yang dilaksanakan selama ini dan bakal memasuki fasa keempat esok sehingga 12 Mei, menjadi medan terbaik untuk merealisasikan hasrat kerajaan mewujudkan masyarakat tanpa tunai seperti mana yang dilakukan di negara luar.
Pembayaran tanpa tunai atau sistem e-pembayaran merupakan kaedah melakukan transaksi barangan dan perkhidmatan melalui sistem pembayaran elektronik atau sistem pembayaran dalam talian.
Sistem pembayaran elektronik telah berkembang sejak sedekad yang lalu disebabkan oleh kepesatan dalam sektor perbankan dan peningkatan pembelian melalui internet.
Ketika dunia semakin maju dengan pembangunan teknologi, sistem pembayaran elektronik dan peranti pemprosesan pembayaran turut mengalami perubahan yang pesat.
PKP dilihat adalah masa yang terbaik mendidik orang ramai akan kebaikan pembayaran dalam talian.
Sinar Plus juga percaya antara normal baharu yang terhasil daripada pandemik ini adalah urusan dalam talian terutamanya transaksi kewangan.
Trend pembelian dan pembayaran secara dalam talian dilihat satu trend yang positif kerana mampu membawa kepada evolusi masyarakat tanpa tunai dalam membentuk negara yang lebih moden dan efisien.
Memetik laporan Bernama, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pengurusan Rekod, Fakulti Pengurusan Maklumat, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Perdana, Shah Alam, Selangor, Dr Mohd Nizam Yunus berkata, pembelian secara dalam talian atau online kini berada di puncak berikutan kebimbangan masyarakat terhadap kemungkinan wang tunai ketika urusan pembelian, turut 'dijangkiti’ Covid-19, selain patuh terhadap PKP dengan kekal berada di rumah.
"Sememangnya saya bersetuju bahawa PKP adalah masa yang terbaik mendidik masyarakat akan kebaikan pembayaran dalam talian.
“Ketika PKP, kita juga dapat melihat trend peniaga yang berniaga dari rumah juga menerima pembayaran menerusi transaksi perbankan internet dan kita dapat simpulkan telah wujud kepercayaan yang kuat antara pembeli dan penjual dalam tempoh ini,” katanya.
Pastinya ini adalah satu perubahan positif buat negara bukan? Walaupun kita tidak dibenarkan pergi kemana-mana sepanjang tempoh PKP, namun urusan jual beli tetap mampu diteruskan seperti kebiasaan.
Secara tidak langsung sistem pembayaran elektronik negara semakin berkembang. #PastiAdaSinar
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang