JIKA dahulu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, antara berita yang sering ditunggu-tunggu oleh ramai pihak terhadap perkembangan Covid-19 termasuklah berkaitan kebenaran mengadakan majlis akad nikah dan resepsi perkahwinan.

Mana tidaknya, sejak PKP dilaksanakan, segala majlis perhimpunan yang melibatkan kelompok berkumpulan dalam skala yang ramai tidak dibenarkan termasuk mengadakan majlis resepsi perkahwinan.

Namun, sejak gelombang pertama Covid-19 menunjukkan penurunan bacaan kes dan dilihat sedikit terkawal, bermula 1 Julai lalu resepsi majlis perkahwinan telah kembali dibenarkan tapi perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Ternyata berita tersebut mampu memberikan nafas lega buat bakal raja sehari dan ahli keluarga mereka yang bakal melangsungkan majlis perkahwinan seperti yang telah dirancang.

Nampaknya kebimbangan orang ramai terhadap perkara tersebut kembali ‘menghantui’ sejak gelombang ketiga Covid-19 menyerang sehinggakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) terpaksa dilaksanakan pada kawasan-kawasan tertentu.

Rileks! Tenang dulu dan jangan cepat buat kesimpulan awal.

Kalau korang nak tahu, kerajaan juga kini bersetuju membenarkan majlis perkahwinan diteruskan di kawasan yang dikenakan PKPB, namun perlu mematuhi SOP yang agak ketat.

Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kawasan terlibat adalah Klang, Tawau, Kunak, Semporna dan Lahad Datu di Sabah yang kini dilanjutkan tempoh PKPB berkuat kuasa 13 hingga 26 Okt ini.

Antara SOP yang perlu bagi mengadakan majlis resepsi perkahwinan sepanjang PKPB adalah seperti :

1. Setiap majlis perkahwinan di kawasan kampung atau taman perumahan di kawasan berkenaan perlu di bawah pengawasan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

2. Jika majlis diadakan di hotel, ia di bawah pengawasan pihak pengurusan hotel.

3. Penganjuran majlis perkahwinan yang kurang daripada 100 jemputan memerlukan pengawasan dua anggota RELA, 100 hingga 300 jemputan (tiga anggota RELA) dan 300 hingga 500 jemputan (empat anggota RELA).

Iklan

4. Sekiranya melebihi 500 jemputan, maka jumlah anggota RELA akan ditetapkan jabatan itu mengikut jumlah kehadiran dan ruang kawasan penganjuran majlis.

5. Jemputan dari luar kawasan PKPB perlu menunjukkan kad jemputan majlis perkahwinan yang ingin dihadiri ketika melalui sekatan jalan raya yang diadakan di kawasan terbabit.

6. Hidangan makanan dalam bentuk buffet atau layan diri adalah tidak dibenarkan.

Iklan

7. Penganjur perlu memastikan tetamu makan dalam kedudukan penjarakan sosial dan tidak berkumpul semasa makan.

8. Tetamu dilarang berkumpul atau berhimpun di luar ruang majlis sebelum atau selepas selesai majlis.

9. Majlis tidak dibenarkan sekiranya penganjur sukar untuk mengawal keadaan dan perilaku tetamu.

Semoga bermanfaat dan sama-samalah kita memainkan peranan dan berusaha membendung wabak ini agar ia tidak terus menular.