PKPB: Berbaloikah kita bersesak membeli-belah?
KETIKA pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kini PKP Bersyarat (PKPB), satu hakikat yang perlu diterima ia adalah tempoh yang sukar dengan ramai yang mengalami pelbagai masalah.
Namun jika semua asyik mahu bersenang-lenang sekarang, berkumpul, membeli-belah dengan senang hati, akibatnya mungkin kita terpaksa menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) yang berpanjangan berikutan wabak Covid-19 kini bukan sahaja menjadi ancaman di negara ini malahan dunia.
Satu persatu kluster Covid-19 muncul dengan yang terbaru dikesan adalah kluster melibatkan sebuah pusat beli-belah di Cheras, namun dengan adanya PKP dan pelbagai perancangan membolehkan ia dikawal.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan memaklumkan setakat ini 10 kes positif dilaporkan dalam kluster berkenaan melibatkan sembilan warganegara Nepal dan seorang rakyat tempatan.
Walaupun punca jangkitan kluster itu masih dalam siasatan, namun ia sesuatu yang perlu dipandang serius semua pihak bahawa jangkitan ini boleh berlaku di mana-mana, terutama di kawasan sesak seperti pusat beli-belah.
Anda rasa berbaloikah kita bersesak membeli-belah? Perlu diingat, kita masih belum ‘menang’ dan belum ‘raya’
Sebagai rekod, setakat semalam, kes harian positif baharu nampaknya masih belum jatuh ke satu angka.
Malah, ia berlegar turun dan naik sekitar dua angka, daripada 30 kes empat hari lepas, kemudian 55 dan 39 semalam.
Apatah lagi dengan kelonggaran PKP ini dan juga proses rentas negeri bagi orang ramai yang terkandas untuk pulang ke kediaman masing-masing yang bermula semalam, kita hanya mampu berharap semua orang boleh mengamalkan disiplin kendiri.
Seperti sebelum ini, kerajaan sentiasa mengingatkan bahawa penularan wabak ini masih berleluasa dan ia tertakluk kepada disiplin rakyat dalam memastikan ia benar-benar jatuh ke angka sifar.
Dr Noor Hisham juga menegaskan walaupun pihaknya mempunyai kemampuan dari segi kemudahan dan fasiliti, ia menjadi tanggungjawab sosial bersama bukan hanya Kementerian Kesihatan atau kerajaan tetapi rakyat Malaysia untuk mencegah penularan wabak terbabit.
Jangan ambil kesempatan atas kelonggaran yang diberi oleh pihak kerajaan dengan anda bebas keluar terutama membeli belah atau berkunjung ke tempat penuh sesak dengan orang ramai.
Ternyata perbuatan itu pastinya akan mengundang padah jika orang ramai masih culas dalam aspek displin kendiri.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang