SEPERTI kita sedia maklum, maka hari ini bermulalah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kuala Lumpur, Putrajaya Selangor dan juga Sabah.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, pengguna kini digalakkan membuat pembelian secara dalam talian ketika pelaksanaan PKPB di kawasan masing-masing.

“Pembelian secara dalam talian secara tidak langsung dapat membantu memutuskan rantaian pandemik Covid-19.

“Langkah itu juga dapat mengurangkan pergerakan fizikal ke premis perniagaan,” katanya.

Pesanan ini berikutan orang ramai mula panik kerana mungkin fobia terhadap wabak Covid-19 dan PKPB yang akan dilaksanakan selama 14 hari.

Nanta juga berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendapat maklumat dari lapangan bahawa berlaku pembelian panik di beberapa tempat selepas pengumuman PKPB oleh Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin.

“Rakyat Malaysia dinasihatkan bertenang dan tidak membuat pembelian panik kerana perbuatan tersebut tidak sepatutnya berlaku di negara kita,” kata Nanta.

Beliau turut menegaskan bekalan barang terutama barang makanan dan barang keperluan utama dijamin mencukupi pada harga yang stabil dan munasabah.

Tambahnya, KPDNHEP mempunyai 2,269 anggota penguat kuasa di seluruh negara yang sentiasa memantau dan memeriksa bagi memastikan bekalan mencukupi dan harga barang stabil tanpa kenaikan mendadak.

PKPB : Orang ramai mula kembali ‘perangai’ pembelian panik, masih ramai yang tak faham!

Iklan

KPDNHEP, katanya juga telah membuktikan melalui tindakan yang diambil dapat memastikan bekalan makanan tidak terputus semasa Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan dahulu.

Nanta dalam pada itu berkata pengilang, pengeluar, pemborong dan peruncit diingatkan supaya memastikan semua bekalan keperluan sentiasa mencukupi.

Iklan

Jika pengguna mendapati ada peniaga yang tidak mematuhi undang-undang, mereka boleh menyalurkan aduan kepada KPDNHEP melalui portal e-aduan@kpdnhep.gov.my, menghubungi call centre di talian 1800 886 800 atau e-mel kepada e-aduan@kpdnhep.gov.my, katanya.

Aduan juga boleh disalurkan melalui aplikasi telefon pintar Ez ADU, dengan menghubungi enforcement command centre (ECC) di talian telefon 03-8882 6245 / 6088 atau talian telefon  Malaysia Government Call Centre (MYGCC)  di nombor 03-8000 8000 atau Whatsapp ke 019- 279 4317.