HARI pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula semalam menyaksikan pasukan keselamatan yang bertungkus-lumus mengawal pergerakan di sekatan jalan raya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) menangguhkan tugas mereka dan menumpukan kepada pematuhan SOP pula.

Jalan-jalan raya akan kembali sesak seperti biasa, pejabat-pejabat mula riuh rendah dan restoran mula dengan pengunjung secara berperingkat dan juga masih mengamalkan jarak sosial.

PKPP juga menyaksikan keyakinan warga kota menjalani kehidupan harian dengan normal baharu.

Kes baharu Covid-19 yang mencatat angka terendah semalam iaitu dua kes sahaja petanda baik menunjukkan negara kita bakal menuju sifar kes sekali gus bebas daripada pandemik itu sedikit masa lagi.

Namun, ia semua bergantung kepada kepatuhan orang ramai melakukan kawalan kendiri dan mengikut semua prosedur operasi standard (SOP) memandangkan tiada lagi kawalan pergerakan dan negara dalam fasa pemulihan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menarik balik semua sekatan jalan raya kecuali di kawasan lorong tikus bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pula akan terus membantu PDRM iaitu memastikan pematuhan SOP seperti di pasar awam dan pasar malam serta di kawasan tumpuan orang ramai termasuk di kawasan rehat dan rawat (R&R) dalam tempoh PKPP ini.

Perlu diingat juga, SOP menaiki kenderaan persendirian iaitu empat penumpang atau mengikut kapasiti kenderaan dengan syarat dari rumah dan keluarga yang sama, kekal walaupun ketika tempoh PKPP ini.

Iklan

Bagi sektor pendidikan pula, semalam Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan semua sekolah di seluruh negara akan dibuka semula mulai 24 Jun namun, hanya melibatkan pelajar yang akan menduduki peperiksaan awam dan antarabangsa yang setara pada tahun ini.

Beliau berkata ini membabitkan pelajar yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) serta peperiksaan antarabangsa yang setara.

Iklan

Pihak berkuasa agama beberapa negeri turut mengumumkan kapasiti jemaah solat berjemaah di masjid dan surau ditambah berbanding semasa PKPB.

Antaranya Perlis yang mempertingkatkan jumlah jemaah solat Jumaat dan solat lima waktu kepada bilangan maksimum berdasarkan keluasan masjid masing-masing, mengambil kira pematuhan SOP dan jarakan dua meter antara jemaah.